WILLIAN (kanan) rai jaringan bersama Cesc Fabregas.
WILLIAN (kanan) rai jaringan bersama Cesc Fabregas.

London: Antonio Conte memuji ketajaman serangan skuad Chelsea selepas mara ke kelompok 16 terbaik Piala FA dengan kemenangan 4-0 ke atas Brentford sambil memberitahu pendahulu Liga Perdana itu supaya bersiap sedia menghadapi cabaran getir selepas ini.

Branislav Ivanovic, dalam aksi yang dikatakan penampilan terakhirnya buat Blues sekiranya perpindahannya menjadi akhir bulan ini menjaringkan satu gol dan membantu jaringan lain sepanjang 30 minit sebagai pemain gantian.

Ketika Ivanovic menjaringkan gol pada minit ke-69, Chelsea sudah pun berada di depan 2-0 hasil jaringan Willian dan Pedro. Michy Batshuayi melengkapkan jaringan sembilan minit sebelum tamat.

Conte membayangkan rombakan pada perlawanan liga di Liverpool awal pagi Rabu ini dan pengurus Chelsea itu berkata: “Menentang Liverpool di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah dan kami tewas di tangan mereka di sini.

“Ia pasti menjadi perlawanan mencabar tapi selepas itu, kami akan mengharungi 15 perlawanan ke garisan penamat dan anda mahu terus begini untuk menjarakkan diri dengan mereka,” katanya mengenai skuad Liverpool yang kini ketinggalan 10 mata di belakang Chelsea dan akan melangkah ke perlawanan awal pagi Rabu ini selepas tersingkir daripada Piala FA di tangan skuad divisyen dua, Wolves.

“Mereka boleh bersaing hingga ke akhirnya,” kata Conte, pengurus dari Itali.

Chelsea menang 10 perlawanan berturut-turut di laman sendiri tetapi hanya Pedro dan Cesar Azpilicueta yang mungkin disenaraikan ke Anfield diturunkan menentang kelab London, Brentford.

Bagaimanapun skuad kedua kelab itu masih terlalu kuat buat pasukan Liga Kejuaraan yang gagal menjawab gerakan dan kepantasan skuad tuan rumah.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 6:13 AM