AHLI Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru mengangkat bakul berisi ramuan rempah untuk memasak bubur lambok.
AHLI Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru mengangkat bakul berisi ramuan rempah untuk memasak bubur lambok.

Kuala Lumpur: Pihak pengurusan Masjid Kampung Baru di sini kini bersiap sedia untuk mengagihkan bubur lambuk semasa bulan puasa seperti tahun-tahun lepas yang kali ini juga 10,000 bungkusan akan diagih setiap hari.

Ketua Bahagian Penyediaan Masakan masjid berkenaan Zainal Abidin Abdul Hamid berkata pihaknya sudah membuat persediaan untuk memasak 20 periuk bubur lambuk setiap hari.

“Walaupun orang ramai merasakan jumlah 10,000 bungkus itu banyak, namun setiap hari bungkusan bubur akan habis hingga ada yang beratur lama gagal untuk mendapatkannya,” katanya kepada Bernama semalam.

Sementara itu Imam I, Abdul Ahad Abu Bakar berkata jawatankuasa masjid juga akan membawa imam khas dari Makkah iaitu Sheikh Idris Ismail untuk mengetuai solat sunat Tarawih sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata, akan turut diadakan ialah kuliah sebelum solat Zuhur dan sebelum berbuka bagi menyemarakkan lagi pengisian Ramadan.

Bagi Masjid Al-Akram, Datok Keramat, pihak pengurusan masjid akan turut menyediakan makanan untuk berbuka puasa.

Bendaharinya, Abdul Hamid Mat Isa berkata juadah berbuka dan moreh akan disediakan untuk 200 orang dengan perbelanjaan RM1,800 sehari atas derma dan sumbangan orang ramai.

“Masjid ini yang mampu menampung sehingga 800 orang jemaah sering menjadi tumpuan semasa bulan puasa,” katanya.

Beliau berkata masjid itu juga akan mengadakan tadarus membaca al-quran setiap malam selepas solat Tarawih.

Di Masjid Al-Aman, Bukit Aman, pihak masjid turut menyediakan pelbagai program sambutan.

Iman I, Supt Ghazali Daud berkata, antara program yang akan diadakan ialah kuliah sebelum solat zohor dan pengagihan bubur lambuk seawal pukul 3 petang.

“Pihak masjid juga turut menyediakan makanan berbuka untuk 150 orang dan solat Tarawih yang akan diimamkan empat orang imam tahfiz,” katanya.

Ketiga-tiga masjid berkenaan akan turut mengadakan solat sunat Qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 11:38 AM