Penasihat YDKMM Dr Mohd Hizul Azri Md Noor (dua dari kiri) merasmikan program Fajar Sejuta Pemuda dan aplikasi Fajar Warrior sambil diperhatikan Mohd Syafiq (kiri) dalam majlis di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Penasihat YDKMM Dr Mohd Hizul Azri Md Noor (dua dari kiri) merasmikan program Fajar Sejuta Pemuda dan aplikasi Fajar Warrior sambil diperhatikan Mohd Syafiq (kiri) dalam majlis di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) menghasilkan aplikasi telefon pintar, Fajar Warrior bagi menarik minat golongan belia menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Pengerusi YDKMM Mohd Syafiq Zainal berkata, aplikasi itu dibangunkan selaras dengan penganjuran program Fajar Sejuta Pemuda yang bertujuan mengumpul seramai satu juta jemaah bagi mengimarahkan masjid.

Katanya, mereka mengambil masa kira-kira lima bulan bagi menghasilkan aplikasi berkenaan yang boleh didapati di Google Playstore dan Apple App Store.

"Aplikasi ini diwujudkan bagi menarik minat golongan belia datang ke masjid terutama pada waktu Subuh.

"Melalui aplikasi ini, kita mensasarkan satu juta orang akan ke masjid di seluruh negara menjelang awal tahun depan," katanya selepas pelancaran program Fajar Sejuta Pemuda di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat YDKMM Dr Mohd Hizul Azri Md Noor dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya Ahmad Faisal Abd Karim.

Aplikasi Fajar Warrior yang boleh dimuat turun bermula Isnin ini dilengkapi dengan pelbagai fungsi termasuk penggera waktu solat Subuh selain mempunyai fungsi daftar masuk di mana-mana masjid bagi memudahkan data kehadiran jemaah diperolehi.

Selain itu, Mohd Syafiq berkata, program Fajar Sejuta Pemuda itu turut dilancarkan serentak di beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Program ini adalah salah satu platform pertama untuk mencetus fenomena Subuh luar biasa di Malaysia secara tidak langsung dapat melahirkan pemuda Islam berkualiti.

"Pada masa sama, kita mengadakan cabutan bertuah sempena program ini dengan menawarkan pelbagai hadiah percuma termasuk pakej mengerjakan umrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 10:36 PM