ASATIZAH  memantau bacaan peserta sesamasa sesi bacaan Al-Quran secara talaqqi.
ASATIZAH memantau bacaan peserta sesamasa sesi bacaan Al-Quran secara talaqqi.
Suliati Asri


Seramai 30 peserta daripada kalangan orang kurang upaya (OKU) pendengaran di seluruh Malaysia menyertai Program Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS) 2024 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Sekretariat Sahabat FAQEH (SaF), USIM.

  Tampil membawa kelainan berbanding tahun sebelumnya, tahun ini, OTTS memfokuskan kepada konsep tadarus Al-Quran 30 juzuk berbanding amalan sebelumnya yang memfokuskan kepada membaca surah pilihan.

  Program ini yang bermula 12 Mac lalu dan berakhir hari ini (1 April) turut dikendalikan 30 asatizah dan 30 pembantu asatizah yang terdiri daripada 26 Alumni USIM.

  Penasihat SaF USIM, Dr Siti Fatimah Mohd Tawil berkata, peserta program akan dibahagikan kepada 30 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada seorang peserta OKU pendengaran, seorang asatizah dan fasilitator.

  "Program ini terbahagi kepada dua segmen iaitu pada segmen pertama, peserta akan didedahkan dengan sesi bacaan al-Quran secara talaqqi dalam kumpulan dengan pembahagian satu juzuk yang bagi setiap kumpulan.

  "Segmen kedua program mengetengahkan sesi tadabbur surah pilihan yang akan disampaikan Felo Daie Pekak UMMI.

  "Masa yang diperuntukkan untuk setiap sesi adalah selama satu jam setiap hari melalui aplikasi Google Meet,"katanya.

  Menurut Presiden SaF USIM, Akmal Hazim Mohd Zahidi, penganjuran Program OTTS ini dilihat mampu menyumbang ke arah memperkasa komuniti OKU khususnya dalam gerak kerja pembangunan spiritual OKU untuk merealisasi konsep indahnya hidup beragama.

  "Saya berharap supaya program ini dapat disebarkan dengan lebih meluas supaya lebih ramai golongan OKU mendapat manfaat dan pengetahuan mempelajari Al-Quran dalam apa jua keadaan diri kita," katanya.

SETIAP bacaan peserta akan dipantau oleh seorang Asatizah dan fasilitator yang terdiri daripada Alumni USIM.
SETIAP bacaan peserta akan dipantau oleh seorang Asatizah dan fasilitator yang terdiri daripada Alumni USIM.

  Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, UMMI amat komited dalam memperkasa mahasiswanya melalui penganjuran program inklusif berimpak tinggi bagi komuniti OKU.

  "Usaha ini selaras dengan misi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi menerusi pemerkasaan bakat dan pengetahuan bagi mencapai kesejahteraan masyarakat untuk kemajuan negara yang mampan," katanya.

  Sepanjang program ini, peserta turut didedahkan dengan kaedah dan teknik membaca al-Quran melalui Aplikasi Quran Isyarat yang sesuai dengan potensi dan ketidakupayaan mendengar serta bertutur komuniti istimewa ini.

  Inovasi Aplikasi Quran Isyarat yang dibangunkan kumpulan penyelidik UMMI membantu komuniti OKU Pendengaran di Malaysia untuk mengenal dan membaca Al-Quran dengan mengisyaratkan (membatangkan) huruf-huruf Quran (Rasm) melalui isyarat kod tangan Al-Quran yang mewakili setiap huruf.

  Aplikasi ini turut mendapat pengiktirafan 'The Malaysia Book of Records' sebagai aplikasi Quran pertama seumpamanya bagi komuniti OKU Pendengaran.

  Isyarat kod tangan Quran ini turut mendapat kelulusan penggunaan oleh Lembaga Pengawalan, Pelesenan dan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

  Penubuhan UMMI di bawah pejabat Naib Canselor USIM mulai 1 November 2023 berperanan sebagai model hibrid (pusat perkhidmatan OKU dan pusat penyelidikan inklusif) dalam menguruskan hal ehwal OKU selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di institusi pendidikan tinggi yang dilancarkan pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 6:48 AM