Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) menampilkan kelainan pada takbir Aidilfitri USIM 1438H apabila takbir raya disampaikan bersama pergerakan bahasa isyarat.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM Mohd Zaini Othman berkata, seramai 30 orang terbabit mengumandangkan takbir hari raya istimewa itu.

“Ia dijayakan dengan kerjasama persatuan orang kelainan upaya (OKU) iaitu Yayasan FAQEH, Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) serta turut disertai Sahabat FAQEH USIM dan Daie Pekak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, takbir itu dipimpin oleh pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, Dr Anuar Hasin yang juga johan qari Tilawah Al-Quran Negeri Perak 2017.

“Turut bersama ialah Naib Canselor, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Pengarah Pusat Islam Dr Khairul Anuar Mohamad,” katanya.

Menurutnya, rakaman takbir raya itu diadakan di dewan solat utama Kompleks Islam USIM pada 12 Jun lalu dengan bantuan kepakaran krew produksi Unit Multimedia dan Info-Digital Pusat Komunikasi Strategik.

“Kelainan penggunaan bahasa isyarat yang ditonjolkan oleh USIM dalam versi takbir hari raya ini adalah salah satu pendekatan dakwah mesra kepada OKU dan masyarakat.

“Universiti sebelum ini melaksanakan pelbagai pengisian dan agenda untuk meraikan dan menunjukkan rasa kebersamaan dengan golongan istimewa antaranya melalui penganjuran siri Konsert OKU Berdoa, khutbah Jumaat dengan bahasa isyarat serta menawarkan kursus Dakwah Tanpa Suara dan Al-Quran Braille di Fakulti Pengajian Quran Sunnah untuk siswa,” katanya.

Mohd Zaini berkata, mula ditayangkan secara rasmi di saluran USIM TV di platform YouTube pada malam 1 Syawal, takbir raya Aidilfitri istimewa USIM turut mendapat perhatian stesen televisyen AlHijrah apabila menyiarkannya di rancangan Assalamualaikum terbitannya pada hari raya pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2017 @ 2:51 PM
Takbir raya bahasa isyarat yang dipimpin Dr Anuar Hasin. FOTO ihsan Pusat Komunikasi Strategik USIM
Takbir raya bahasa isyarat yang dipimpin Dr Anuar Hasin. FOTO ihsan Pusat Komunikasi Strategik USIM