PELAJAR membersihkan sekitar kolam ternakan ikan yang juga satu daripada pembelajaran dalam mata pelajaran AHR.
PELAJAR membersihkan sekitar kolam ternakan ikan yang juga satu daripada pembelajaran dalam mata pelajaran AHR.
Suliati Asri


Siapa sangka, produk yang dihasilkan sekadar memenuhi tuntutan silibus mata pelajaran akuakultur dan haiwan rekreasi mendapat sambutan menggalakkan.

Lebih membanggakan produk ikan pekasam ini adalah hasil tangan sepenuhnya pelajar iaitu dari telur hingga ikan matang yang boleh dibuat pekasam.

Membawa jenama Ikan Pekasam Original Mahang, Projek Jualan Ikan Pekasam (ProJIP) ini adalah aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang mengaplikasikan teknik Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) atau juga dikenali sebagai Project Based Learning (PBL).

Pengetua Cemerlang SMK Mahang, Ruzana Md Noor berkata, sebagai satu-satunya sekolah yang menawarkan mata pelajaran vokasional iaitu akuakultur dan haiwan rekreasi (AHR) di Kedah, kejayaan pelajar berkenaan adalah satu kebanggaan buat sekolah.

Bagaimanapun katanya, ProJIP ini bukan untuk tujuan komersial sebaliknya lebih kepada pembelajaran bermakna untuk pelajar.

"Untuk bidang teknik dan vokasional, ia membabitkan empat mata pelajaran iaitu mata pelajaran vokasional AHR, reka bentuk dan teknologi (RBT), Pertanian dan Perniagaan.

"Jadi, untuk ProJIP ini, ia adalah salah satu kokurikulum untuk mata pelajaran yang perlu dilaksanakan pelajar," katanya.

Ruzana berkata, menerusi projek ini, pelajar didedahkan bagaimana menternak ikan dan menghasilkan pembenihan.

"Oleh itu, untuk ProJIP ini, ia adalah 100 peratus hasil tangan pelajar. Sebelum membuat ikan pekasam, mereka melakukan pembenihan, hasilkan telur ikan, membela ikan itu dari kecil sehingga ikan matang," katanya.

Ruzana berkata, pembelajaran bermakna dikaitkan dengan pentaksiran bilik darjah yang sekarang adalah dasar dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Jadi, dalam proses penghasilan ikan pekasam ini, setiap langkah yang pelajar buat itu mengikut standard pembelajaran dalam silibus mereka.

"Daripada mula pembenihan ikan dilakukan, membela ikan dengan memberi makan, menjaga air dalam tempoh enam bulan kemudian apabila ikan sudah cukup matang, pelajar akan mengambil hasilnya.

"Proses seterusnya adalah pelajar AHR ini menyiang ikan, membersihkan dan dengan resipi yang diberikan pembantu makmal serta carian dari internet, mereka menghasilkan ikan pekasam ini.

"Kemudian untuk proses pembungkusan pula, pelajar menggunakan pembungkusan yang kedap udara, sekali gus menjadikan produk ini tahan lama dan segar," tambahnya.

Menerusi ProJIP ini juga, pelajar juga diajar mengenai tanggungjawab terhadap diri dan ahli kumpulan selain kemahiran membuat perancangan.

Ruzana berkata, pelajar juga belajar kemahiran komunikasi, interpersonal dan intrapersonal.

"Pelajar AHR juga memperoleh ilmu kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, pemahaman visual dan menterjemahkannya.

"Akhir sekali, pelajar juga belajar menggunakan teknologi dan kelestarian alam melalui ProJIP ini," katanya.

Uniknya, kata Ruzana, projek ini merentasi mata pelajaran yang mana ia bukan saja berasaskan satu mata pelajaran semata-mata, tetapi membabitkan tiga lagi mata pelajaran teknik dan vokasional iaitu pertanian, RBT dan Perniagaan.

"Begitu juga dengan sisa dari ikan yang tidak diperlukan, ia diproses untuk menghasilkan baja organik oleh pelajar sains pertanian yang seterusnya digunakan untuk membaja pokok yang ada.

"Pembabitan pelajar RBT pula adalah di peringkat pembungkusan, penghasilan logo dan label.

"Pelajar RBT menghasilkan dan mereka bentuk pembungkusan makanan yang sesuai untuk projek ini. Manakala untuk logo pula, kami mengadakan pertandingan dalam kalangan dan memilih yang terbaik," katanya.

Pelajar perniagaan pula terbabit tidak hanya mempromosikan produk, tetapi merancang dan menguruskan perniagaan.

"Apabila ada majlis atau acara di sekolah, mereka akan membuat jualan untuk waris atau guru yang datang.

"Jadi, apabila produk ini siap dan ikan pekasam terjual, ia menggabungjalinkan empat mata pelajaran ini untuk menghasilkan produk sekolah," katanya.

Dibina pada 1969, SMK Mahang ini adalah sekolah gred A yang terletak di luar bandar. Pekan Mahang ini juga terletak di sempadan Kedah dan Pahang.

Pelajar di sini pula adalah datang dari keluarga B40 yang kebanyakannya ibu bapa adalah pekerja kilang, mengusahakan ladang sawit, buruh sawit dan sebagainya.

Justeru, dengan adanya projek seumpama ini, ia tidak hanya memberikan ilmu kemahiran kepada pelajar, tetapi membuka peluang kerjaya kepada pelajar apabila tamat belajar.

Menurut Ruzana, sebagai satu daripada enam sekolah di Malaysia yang menawarkan akuakultur dan haiwan rekreasi, ia memberi satu keistimewaan kepada SMK Mahang.

"Saya katakan ia satu keistimewaan kepada pelajar kerana mata pelajaran yang ditawarkan dalam bidang ini mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka.

"Apabila pelajar melakukan projek ini di sekolah, mereka boleh melihat hala tuju mereka di mana.

"Ilmu yang mereka pelajari ini juga boleh digunakan selepas mereka tamat sekolah nanti. Mereka bukan saja boleh menjadikan penternakan sebagai kerja sambilan, tetapi juga sumber pendapatan.

"Ia bukan saja akan membantu mereka, tetapi juga masyarakat setempat," tambahnya.

ProJIP ini sudah dibukukan dan boleh menjadi satu sumber rujukan bagi guru lain untuk melaksanakan pentaksiran bilik darjah menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek.

Setakat ini buku ProJIP terjual hampir 100 naskhah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 6:47 AM