Cyber Security Talent Zone (CSTZ) di APU mendedahkan pelajar kepada kemudahan keselamatan siber terbaik di Malaysia. - FOTO APU
Cyber Security Talent Zone (CSTZ) di APU mendedahkan pelajar kepada kemudahan keselamatan siber terbaik di Malaysia. - FOTO APU
Muhamad Shaifullah Tayep

SERANGAN siber bukan sahaja memberi kesan kepada pembangunan sosial dan ekonomi, malah boleh menjejaskan sesebuah syarikat atau negara.

Ia boleh membawa kepada kerugian kewangan, kerosakan reputasi dan kemerosotan dalam keyakinan pelabur.

Justeru, penambahan tenaga kerja yang terlatih dalam bidang keselamatan siber dapat mempersiapkan organisasi untuk menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bahawa Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 25,000 tenaga kerja dalam bidang keselamatan siber menjelang 2025.

Menyahut saranan itu, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) yang diiktiraf sebagai sebuah Institusi Teknologi Digital Perdana di Malaysia dan pemenang Penyedia Pendidikan Keselamatan Siber Terbaik tampil dengan program khusus bagi mempersiapkan tenaga kerja untuk berada di barisan hadapan.

Terletak di Taman Teknologi Malaysia (TPM) Bukit Jalil, Kuala Lumpur; APU bekerjasama dengan rakan kolaborasi industri dalam mewujudkan persekitaran latihan sebenar buat bakal pakar keselamatan siber.

Pelbagai program khusus dalam keselamatan siber dan forensik digital ditawarkan, termasuk Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Teknologi Maklumat dengan Pengkhususan dalam Keselamatan Sistem Maklumat, Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Komputer (Keselamatan Siber), Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Komputer dengan Pengkhususan dalam Digital Forensik dan Sarjana Sains dalam Keselamatan Siber.

Program ini mematuhi piawaian antarabangsa dan keperluan industri, menyediakan pelajar dengan amalan keselamatan siber dunia sebenar berdasarkan pengalaman secara langsung.

Graduan juga mempunyai kelebihan laluan kerjaya yang pelbagai, dengan peluang pekerjaan dalam bidang seperti keselamatan rangkaian, tindak balas insiden, ujian penembusan, perundingan keselamatan siber, pengurusan risiko, forensik digital, pembangunan perisian dan pelbagai bidang lain.

Fakulti berpengalaman, kemudahan canggih

Di APU, pelajar mendapat manfaat daripada kepakaran ahli fakulti yang memiliki pengalaman industri, penerbitan penyelidikan dan pensijilan profesional dalam keselamatan siber.

Ini membolehkan mereka memperoleh pengalaman yang berharga dan menerima bimbingan daripada tenaga pengajar yang berpengetahuan luas.

Modul keselamatan siber APU mendapat pengiktirafan melalui kerjasama dengan rakan kolaborasi industri dan pengiktirafan daripada pensijilan peneraju industri.

Kerjasama ini membolehkan institusi menilai kurikulum secara berterusan bagi memastikan pengetahuan yang disampaikan kekal relevan, terkini dan sejajar dengan keperluan industri.

Selain itu, pelajar boleh menggunakan teknologi canggih, makmal keselamatan siber dan alatan perisian bagi menikmati pengalaman pembelajaran yang dipertingkatkan.

APU mempunyai kemudahan keselamatan siber yang canggih termasuk Pusat Simulasi dan Tindak Balas Ancaman Siber di bawah Cyber Security Talent Zone (CSTZ).

Image

Ia menampilkan teknologi terkini dan sistem pertahanan siber gred ketenteraan, mampu mensimulasikan serangan siber yang kompleks dalam persekitaran hiper-realistik.

Dengan CSTZ, pelajar akan memperoleh pengalaman yang tidak ternilai dalam memahami dan merangka strategi pertahanan bagi membolehkan mereka menangani ancaman siber sebenar.

CSTZ juga menempatkan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) yang berfungsi sepenuhnya dalam menawarkan pengalaman operasi keselamatan siber secara langsung kepada pelajar.

Di SOC, pelajar menganalisis serangan siber dan merancang tindakan balas menggunakan data masa nyata.

Platform di CSTZ menyediakan pembelajaran praktikal dalam penggodaman beretika dan tindak balas insiden yang penting untuk memupuk kemahiran profesional keselamatan.

Kerjasama, perkongsian industri

APU bekerjasama dengan firma keselamatan siber terkemuka bagi memenuhi permintaan industri yang semakin pesat berkembang.

Pelajar turut dihantar menyertai pertandingan keselamatan siber bagi meningkatkan kemahiran, di samping menggunakan pengetahuan dalam bilik darjah kepada senario kehidupan sebenar.

Pusat Penyelidikan Forensik dan Keselamatan Siber (FSeC) APU menangani permintaan pasaran dan keperluan teknologi masa depan dengan mempromosikan penyelidikan industri kolaboratif dan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran graduan.

FSec dibahagikan kepada tiga subseksyen – Bahagian Penyelidikan, Keselamatan Siber sebagai Perkhidmatan (CaaS) dan Bahagian Pelajar.

Ia menawarkan peluang pendidikan yang inovatif dan praktikal, kerjasama dalam projek penyelidikan, bengkel dan program latihan, membabitkan projek dunia sebenar dan perkhidmatan keselamatan siber.

Ketua FSeC APU Dr Julia Juremi, berkata FSeC-CaaS tampil dengan pelbagai projek termasuk penyampaian ujian penembusan dan perkhidmatan forensik digital kepada syarikat pemula dan PKS yang berorientasikan perkhidmatan baru-baru ini.

"FSeC memainkan peranan sebagai penunjuk arah yang membimbing perniagaan ke arah daya tahan dan kejayaan digital dengan memperkasakan syarikat pemula dan PKS dengan perkhidmatan keselamatan siber yang canggih," katanya.

Dedikasi universiti terhadap pendidikan keselamatan siber yang cemerlang dibuktikan melalui pencapaiannya.

Ini termasuk memenangi Anugerah Emas untuk Penyedia Pendidikan Keselamatan Siber Terbaik Asia berturut-turut dari 2019 hingga 2024, memperoleh gelaran dalam pelbagai pertandingan Capture the Flag dan Hackathon, dan menerima pingat dalam anugerah inovasi antarabangsa seperti Ekspo Teknologi Malaysia dan Karnival Universiti Antarabangsa dan e-Pembelajaran.

Di saat kecerdasan buatan (AI) semakin meluas, APU meningkatkan penawaran keselamatan sibernya dengan menaik taraf makmal keselamatan sibernya, mengambil lebih ramai pensyarah, pakar dan menyepadukan modul AI ke dalam pengajian keselamatan siber tahun pertama, yang merupakan tawaran baharu untuk pelajar lepasan SPM yang akan datang.

Naib Canselor APU Prof Dr Ho Chin Kuan, berkata misi APU untuk mewujudkan tenaga kerja keselamatan siber masa hadapan yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menangani ancaman siber yang sentiasa berkembang.

"Dengan menyediakan ekosistem pendidikan yang mantap serta memupuk perkongsian industri yang jitu, kami menyasarkan untuk melahirkan graduan yang mahir dan menerajui bidang keselamatan siber," katanya.

Ketahui lebih lanjut tentang ekosistem dan program keselamatan siber APU dengan mengunjungi Hari Terbuka APU pada 15 hingga 16 Jun 2024.

Untuk maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan, layari laman web APU.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:49 AM