PROGRAM CyberSAFE tingkatkan kesedaran orang ramai berkaitan keselamatan siber
PROGRAM CyberSAFE tingkatkan kesedaran orang ramai berkaitan keselamatan siber
Muhammad Saufi Hassan


SERANGAN siber bukan perkara baru malah ia sudah menjadi ancaman peringkat nasional memandangkan kebanyakan penggodam akan menyasarkan sistem pelayan strategik kerana ia memberi kesan lebih tinggi.

Ia bukan saja disasarkan kepada sistem pelayan utama malah turut menjadi mangsa adalah orang awam yang kurang memahami bentuk serangan siber masa kini.

Kewujudan pelbagai jenama antivirus antara lain bertujuan mengekang sebarang bentuk serangan sama ada ketirisan data peribadi mahupun maklumat perbankan.

Malaysia tidak terkecuali daripada serangan siber namun kepakaran yang dimiliki CyberSecurity Malaysia sehingga kini mampu untuk menangkis sebarang bentuk ancaman siber.

Dunia jenayah pada hari ini tidak tertumpu kepada jenayah fizikal yang konvensional, tetapi kecanggihan teknologi maklumat pada ketika ini membolehkan insiden jenayah mampu berlaku secara maya.

Berdasarkan statistik serangan siber di negara ini, sepanjang 2018 merekodkan 5,576 kes serangan membabitkan pelbagai bentuk dan antara yang banyak dicatatkan adalah percubaan untuk mendaftar masuk sesuatu akaun peribadi iaitu 1,805 kes.

PENERANGAN mengenai keselamatan siber kepada generasi baharu.
PENERANGAN mengenai keselamatan siber kepada generasi baharu.

Penghantaran kod jahat (malicious code) pula merekodkan kedua tertinggi iaitu 1,700 kes dan ia adalah angka yang tinggi jika orang awam tidak memberi perhatian kepada kemungkinan serangan siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai langkah khusus untuk menangani insiden serangan siber.

Menurutnya, pihaknya juga mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program kesedaran berhubung isu teknologi dan sosial yang dihadapi oleh pengguna Internet khususnya mengenai risiko yang dihadapi secara dalam talian.

“Program CyberSAFE antara lain meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan keselamatan siber dan kita menyenaraikan beberapa amalan terbaik untuk pengguna supaya mereka sentiasa dalam keadaan selamat.

“Selain daripada pelaksanaan program, kami turut membangunkan modal insan supaya lebih ramai tenaga pakar dapat dilahirkan dalam keselamatan siber di negara ini.


“CyberSecurity Malaysia menawarkan pelbagai program latihan keupayaan dan pensijilan serta platfom perkongsian pengetahuan untuk profesional, membangunkan kurikulum keselamatan siber di kolej, politeknik dan universiti,” katanya.

Amirudin berkata, bekerjasama dengan institut pengajian tinggi dalam pelbagai pembangunan modul keselamatan siber yang komprehensif bagi menarik lebih banyak rakyat Malaysia menyertai sektor keselamatan teknologi maklumat.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bertujuan memperkukuhkan keselamatan siber serantau termasuk meningkatkan tadbir urus keselamatan menerusi perkongsian maklumat.

“Formula strategi yang berkesan seperti penyelarasan undang-undang dan prosedur untuk menangani jenayah siber rentas sempadan diperkukuhkan pada setiap masa.

“Selain daripada usaha yang sudah dilaksanakan, saya mengharapkan bahawa rakyat Malaysia turut sedar berkaitan ancaman siber dan melaporkan setiap insiden menerusi e-mel kita iaitu [email protected] atau menghubungi talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 2:40 PM