AGIL (enam dari kiri) bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Scootvaganza Affin Bank.
AGIL (enam dari kiri) bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Scootvaganza Affin Bank.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


AFFIN Bank Berhad (Affin Bank) optimis untuk mencapai pertumbuhan lebih 15 peratus pemegang kad debit dan kreditnya menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Arifin Mohd Jamil berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 900,000 pemegang kad debit dan kredit Affin Bank.

Katanya, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan bagi menggalakkan pelanggan menjadikan Affin Bank sebagai pilihan mereka.

“Affin Bank mempunyai lebih 50,000 pemegang kad kredit dan tahun lalu kami berkembang lebih 30 peratus untuk kad debit dan kredit.

“Oleh itu, kami berhasrat untuk mengembangkan segmen kad debit dan kredit memandangkan perniagaan ini berkembang dengan sangat baik,” katanya pada sidang media selepas penyampaian hadiah kempen Scootvaganza Kini Kembali Affin Bank di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt.

Kempen Scootvaganza Kini Kembali itu berlangsung dari 16 Mei hingga 16 September lalu dengan menawarkan hadiah utama iaitu empat Vespa Primavera 150 BTS dan lapan hadiah bulanan Motosikal Allez E5.

Selain itu, dengan kerjasama Enrich, Affin Bank kini menjalankan Kempen Penggunaan Kad Affin untuk memberi 2.5 juta ganjaran Enrich Miles kepada pemegang kad Affin Bank.

Bermula 1 November lalu hingga 29 Februari 2020, pemegang kad Affin Bank secara automatik menjadi peserta apabila mereka berbelanja.

Kamarul berkata, ahli kad baharu yang berjaya memohon kad kredit Affin sepanjang tempoh kempen juga akan mendapat penyertaan tambahan.

“Kempen ini antara pelbagai inisiatif Affin Bank untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dalam usaha menjadi bank pilihan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 2017 sehingga kini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi merealisasikan transformasi digitalisasi Affin Bank.

“Tahun depan, Affin Bank akan memperkenalkan perbankan Internet korporat baharu dan sebelum ini juga, kami melancarkan pelbagai kemudahan seperti Affin Pay dan Affin Online sebagai tanda komitmen kami ke arah pendigitalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 9:45 AM