KAD kredit dwi Affin Duo+ terdiri daripada kad kredit Affin Duo+ Visa dan kad kredit Affin Duo+ Mastercard dikeluarkan secara bersama.
KAD kredit dwi Affin Duo+ terdiri daripada kad kredit Affin Duo+ Visa dan kad kredit Affin Duo+ Mastercard dikeluarkan secara bersama.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Affin Bank Berhad menyasarkan 30,000 pengeluaran produk terbaharu mereka, kad kredit Affin Duo+ selepas setahun pelancarannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, produk kad kredit dwi Affin Duo+ terdiri daripada kad kredit Affin Duo+ Visa dan kad kredit Affin Duo+ Mastercard yang akan dikeluarkan secara bersama.

Katanya, produk kad kredit dwi terbaharu berkenaan direka khusus untuk meningkatkan gaya hidup segmen pelanggan 'mass-affluent' yang sentiasa mencari tawaran yang boleh memberikan mereka penjimatan serta memenuhi keperluan gaya hidup mereka.

"Pelanggan boleh mendapat manfaat daripada keistimewaan pulangan tunai pada kadar kompetitif tiga peratus untuk setiap transaksi tanpa sentuh dan boleh memperoleh tiga kali mata ganjaran Affin Rewards untuk pembelian tempahan hotel dan tiket penerbangan, pembelian di kedai bebas cukai dan pedagang luar negara serta transaksi dalam talian dan e-dagang.

"Segmen mass-affluent mewakili pelanggan yang matang, berkebolehan serta semakin meningkat dari segi bilangan di dalam pasaran dan Affin Duo+ direka sebagai sebuah produk yang dapat memberikan manfaat yang tinggi serta ganjaran kepada segmen ini dengan setiap faedah terbaik yang mungkin melalui perbelanjaan mereka, tanpa memerlukan mereka berbelanja secara berlebihan dan pada masa sama membolehkan mereka menyimpan sebanyak mungkin dalam jangka masa panjang.

"Ogos tahun lalu, kita berjaya mengeluarkan lebih 60,000 kad kredit Affin Duo selepas ia diperkenalkan dan kami yakin dapat mengeluarkan sebanyak 30,000 kad kredit untuk Affin Duo+ pada tahun pertama pelancarannya," katanya pada Majlis Pelancaran Affin Duo+ di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Affin Bank Berhad, Nazri Othman dan Timbalan Presiden Pengurusan Akaun, Mastercard Malaysia dan Brunei, Rakesh Chauhan.

Beliau berkata, produk terbaharu berkenaan sesuai digunakan ketika melancong sama ada dalam mahupun luar negara.

"Selaras dengan pelancaran Affin Duo+ di pasaran hari ini, ahli kad juga boleh menyertai kempen Mohon dan Menang yang berlangsung sehingga 28 Februari 2022.

"Dengan membuat perbelanjaan runcit minimum RM100 dalam tempoh 45 hari dari tarikh kelulusan kad kredit, ahli kad akan berpeluang untuk memenangi satu daripada 10 jam tangan eksklusif dari Swiss Watch Gallery," katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, transaksi tanpa sentuh adalah trend yang akan kekal apabila Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa 2020 menunjukkan satu daripada empat pengguna di Malaysia mendakwa, mereka mungkin tidak akan menggunakan wang tunai dalam pembelian harian selepas tempoh pandemik Covid-19 ini sebagai langkah keselamatan.

"Dengan produk seperti kad kredit Affin Duo+, kami percaya pengguna Malaysia akan menerima manfaat menggunakan pembayaran digital sama ada untuk pembelian harian, transaksi e-dagang atau ketika melancong ke luar negara dengan penerimaan merentas 80 juta lokasi pedagang Visa di seluruh dunia," katanya.

Pelanggan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan memohon Affin Duo+ boleh berbuat demikian dengan melayari platform Perbankan Internet Runcit Bank (AffinAlways) di www.affinalways.com, atau dengan melawati mana-mana cawangan bank berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 7:00 AM