UPM dan QU jalin kerjasama dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
UPM dan QU jalin kerjasama dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
HM Digital

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Qatar University (QU) bagi menjalinkan kerjasama dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan antara kedua institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, kerjasama itu akan melengkapkan inisiatif UPM untuk membangunkan program sarjana yang dijalankan bersama antara kedua-dua universiti secara Dual-Master Program.

"Usahasama ini secara langsung meningkatkan keterlihatan pengajian dan pakar UPM di peringkat antarabangsa yang boleh dimanfaatkan pensyarah serta pelajar pada masa depan selain berupaya meningkatkan bilangan kemasukan pelajar antarabangsa ke negara ini.

"Ini adalah sejajar dengan dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang iaitu dengan usaha sama ini berupaya melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing peringkat global," katanya.

Pertukaran MoU yang ditandatangani Dr Mohd Roslan bersama Presiden QU, Dr Hassan Rashid Al-Derham disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyarankan supaya universiti awam lain menjalinkan usaha sama bersama rakan strategik di Qatar bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan belia Qatar melanjutkan pengajian.

Sementara itu, UPM dan QU menjalin hubungan antara kedua-dua institusi terutamanya dalam bidang akademik, penyelidikan dan kerjasama industri-akademik sejak tahun 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 6:42 AM