DR Kasim dan John merakamkan gambar bersama pegawai utama UMS dan wakil dari Tijarah Holding Ltd.
DR Kasim dan John merakamkan gambar bersama pegawai utama UMS dan wakil dari Tijarah Holding Ltd.
Suliati Asri


MENYEDARI bidang teknologi kewangan (fintech) khususnya berkaitan blockchain semakin berkembang, Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tijarah Holding Ltd, institusi pembangun blok rantaian (blockchain) patuh syariah.

Oleh itu, pemeteraian MoU itu adalah salah satu usaha melengkapkan pelajar mengenai pengetahuan dalam bidang teknologi kewangan (fintech), khususnya berkaitan blockchain.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, Fintech dilihat semakin berkembang di Malaysia. Ia didorong peningkatan permintaan daripada penduduk majoriti Islam dan penduduk berkemahiran teknologi.

Katanya, menurut laporan dari industri, landskap fintech negara terus menunjukkan pertumbuhan teguh dengan terdapat lebih 300 syarikat fintech beroperasi di Malaysia merangkumi pelbagai kategori termasuk e-dompet, pembayaran, pinjaman, wealthtech, insurtech, dan blockchain atau mata wang kripto (cryptocurrency).

"Penggunaan teknologi blockchain semakin berkembang dalam banyak industri. "Menerusinya, institusi kewangan Islam boleh mendapat manfaat daripada teknologi ini kerana ia lebih berdaya saing serta selaras dengan objektif zakat," katanya.

Dr Kasim berkata, beliau melihat terdapat keperluan pembangunan modal insan bagi menyokong perkembangan fintech.

"Justeru itu, UMS mengambil inisiatif menyokong usaha ini melalui pemeteraian MoU bagi menyumbang kepada pembangunan sumber manusia selaras dengan peranan penting universiti sebagai institusi pendidikan tinggi di Sabah.

"Kolaborasi dengan pemain industri akan membolehkan universiti mendedahkan pelajar kepada amalan dan pemahaman terkini dalam bidang blockchain dan fintech ini," katanya.

MoU yang termeterai baru-baru ini ditandatangani Dr Kasim Mansor sebagai mewakili UMS, manakala Tijarah Holding Ltd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, John Joseph Pellegrini.

Hadir sama Ketua Pembangunan Pendidikan Tijarah Holding, Profesor Datuk Dr Jayles Yeoh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail; Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Eksekutif Pembangunan Perniagaan Tijarah Holding, Shahirah Sundu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 6:45 AM