PELAJAR perlu sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di sekolah.
PELAJAR perlu sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di sekolah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Sebelas kluster Covid-19 di sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah direkodkan sejak 1 Januari hingga 25 Mac lalu.

Berdasarkan kes itu, pembukaan sekolah menengah bermula esok (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah hari ini) sudah tentunya akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai keselamatan anak di sekolah serta di asrama.

Walaupun bilangan kes agak kecil jika dibandingkan jumlah sekolah di seluruh negara, usaha pencegahan perlu diperhebatkan supaya anak dapat terus bersekolah hingga ke hujung tahun.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, ibu bapa mempunyai peranan sangat penting dalam mendidik anak mengenai bahaya pandemik Covid-19.

Menurutnya, selain membekalkan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka secukupnya, mereka perlu memastikan anak memahami mengenai jangkitan Covid-19 dan cara pencegahannya.

"Ibu bapa disaran menyediakan bekalan makanan dan minuman kepada anak bagi mengurangkan risiko bersesak di kantin sekolah.

"Bagi ibu bapa yang berkemampuan dan mempunyai masa, boleh pilih untuk menghantar serta mengambil sendiri anak pulang dari sekolah," katanya.

DR Nurul Azmawati
DR Nurul Azmawati

Menurut Dr Nurul Azmawati, di sekolah pula, guru bukan saja perlu memastikan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) malah menunjukkan teladan yang baik.

"Guru perlu sentiasa memakai pelitup muka apabila berada berhampiran antara satu sama lain.

"Pekerja kantin, pengawal keselamatan, pengusaha kedai buku, tukang kebun dan pekerja pembersihan juga perlu sentiasa mengamalkan SOP," katanya.

Jelasnya, bagi sekolah berasrama, disarankan supaya mengurangkan kekerapan pulang bermalam.

"Bagi sekolah ini (berasrama), guru dan kakitangan yang sentiasa keluar masuk ke kawasan sekolah, membawa risiko jangkitan dari luar kepada pelajar di asrama.

"Oleh itu, pentadbiran sekolah hendaklah memastikan semua mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan dengan sempurna," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Usim, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, SOP di surau sekolah juga tidak boleh diabaikan.

"Pelajar hendaklah membawa sejadah sendiri dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika solat berjemaah.

"Pada Ramadan, amalan seperti berbuka puasa dengan makan bersama-sama menggunakan talam ataupun berkongsi bekas perlu dielakkan," katanya.

DR Mohd Dzulkhairi
DR Mohd Dzulkhairi

Menurut Dr Mohd Dzulkhairi, di sekitar sekolah dan asrama, mana-mana kawasan yang kerap disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, kipas, pintu pagar dan rel tangga hendaklah sentiasa disanitasi.

"Pembasmian kuman di kawasan boleh dilakukan oleh pekerja pembersihan manakala pelajar melakukan tugas itu (pembasmian kuman) di dalam kelas.

"Langkah pencegahan asas seperti menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, dapat menghalang penularan Covid-19," katanya.

Menurut Dr Mohd Dzulkhairi, selain itu, guru dan kakitangan sekolah patut diberi keutamaan dalam senarai penerima vaksin kerana risiko jangkitan serta risiko menjangkiti orang lain adalah tinggi.

"Secara tidak langsung, ini dapat meredakan kebimbangan ibu bapa dan masyarakat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:25 AM