WARNA-warni pemandangan rumah inap baru di Pulau Homuz.
WARNA-warni pemandangan rumah inap baru di Pulau Homuz.
Nurul Husna Mahmud

KUBAH menjadi reka bentuk ideal buat firma arkitek dari Iran, ZAV Architects dalam menzahirkan keunikan resort percutian yang terletak di Pulau Homuz.

Menariknya projek itu menggabungkan 200 kubah dalam pelbagai warna menjadikan ia struktur yang paling menonjol di pesisiran Teluk Parsi.

Menurut wakil dari firma berkenaan, rekaan dipilih bersandarkan konsep mahu mewujudkan persekitaran dengan suasana seakan-akan 'kediaman budaya' berbanding tumpuan rumah percutian di sekitar pulau itu yang biasanya berkonsepkan pangsapuri mewah.

"Biasanya kebanyakan pembinaan bangunan penginapan tepi pantai adalah bangunan dengan struktur tinggi memberi kelebihan pengunjung menikmati pemandangan sekitarnya.

"Namun konsep kubah dengan pecahan kecil yang berhubung antara satu sama lain memberi makna konsep koloni," katanya.

Pembinaan keseluruhan resort terbabit terdiri daripada 15 rumah percutian yang menempatkan fasiliti seperti restoran, kafe, kedai cenderamata, pusat informasi dan ruang legar bagi meraikan kehadiran pengunjung.

Hasilnya kubah pelbagai saiz dan warna disusun secara erat supaya memberi interpritasi persekitaran mesra komuniti selain menggambarkan geografi semula jadi pulau.

PANDANGAN dari laut.
PANDANGAN dari laut.

"Kubah-kubah ini memiliki ukuran dan beberapa jenis lengkungan yang digabungkan bagi mencipta 'cakerawala' yang sesuai dengan Pulau Hormuz berdasarkan kajian geografi dan warna persekitarannya.

"Oleh kerana projek ini terletak di kawasan terbuka iaitu beberapa kilometer dari kota, susunan ruang dan kubah disesuaikan dengan pelbagai warna berdasarkan pemandangan pulau yang berwarna-warni.

"Kubah yang berhubung antara satu sama lain adalah kediaman percutian dengan strukturnya dicat dengan warna merah, kuning, hijau dan biru yang terang.

"Penggunaan warna yang berani itu dilanjutkan di dalam struktur yang mana dinding dalaman dicat warna tema sama selain menjadi kod warna bagi pilihan perabot," katanya.

Ilham warna-warni sebagai tema kubah itu datang dari warna pasir pantai yang turut berubah.

Setiap kubah dibina menggunakan kaedah berteknologi rendah iaitu menggunakan struktur yang terbuat daripada beg pasir, diisi dengan tanah dan pasir yang dikorek dari dermaga Hormuz.

Bentuk beg pasir itu disokong dengan keluli dan dikukuhkan dengan simen. Semua projek itu juga membabitkan inisiatif firma berkenaan bersama masyarakat setempat sebagai tenaga kerja dalam menyiapkan pembinaan projek itu.

PERABOT juga mengikut warna pada skema kubah.
PERABOT juga mengikut warna pada skema kubah.

KUBAH lebih besar untuk restoran.
KUBAH lebih besar untuk restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 6:30 AM