MOHD Farid (kanan) memantau aktiviti pengurusan ladang di tapak projek ladang integrasi yang diusahakan di Kampung Labu Hilir, Labu. FOTO Mohd Amin Jalil
MOHD Farid (kanan) memantau aktiviti pengurusan ladang di tapak projek ladang integrasi yang diusahakan di Kampung Labu Hilir, Labu. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bermula dengan kawasan 0.8 hektar, kini projek perladangan integrasi tiga sahabat di Kampung Labu Hilir dan Kampung Tiroi, Labu, dekat sini, diluaskan kepada lebih enam hektar.

Projek itu dijayakan Mejar (B) Mohd Farid Daud, 37,dan Ahmad Hazid Mat Hassan, 37, masing-masing bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Mohd Affendy Daud, 43.

Ketua projek, Mohd Farid, berkata, kedua-dua lokasi tapak projek itu yang sebelum ini adalah tanah terbiar, disewa daripada penduduk tempatan.

Katanya, pihaknya memulakan projek ladang integrasi itu pada 2022 dengan menanam labu manis, pisang, tebu dan rumput napier selain ternakan ayam kampung dan ikan keli.

"Kami bermula pada skala kecil bagi menimba pengalaman tetapi disebabkan permintaan yang tinggi dan potensi yang besar terhadap hasil tani dan ayam kampung serta ikan keli, projek ini diperluaskan lagi dengan menambah kawasan berhampiran.

"Kami membelanjakan RM100,000 bagi memulakan projek ini, namun ternyata hasilnya sangat memberangsangkan apabila sepanjang tahun lalu berjaya meraih hasil jualan keseluruhan RM600,000 melalui pengeluaran hasil lebih 200 tan.

"Kami memilih pertanian campuran atau integrasi kerana dapat mempelbagaikan hasil pendapatan selain memastikan produk kekal relevan dengan permintaan pasaran," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Labu Hilir di sini, semalam.

Usahawan kelahiran Pahang yang kini menetap di Bangi, Selangor itu berkata, pengalaman ahli keluarga yang mengusahakan bidang pertanian di kampung, digunakan sepenuhnya untuk menjayakan projek berkenaan.

"Kami juga mendapat kerjasama baik daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam melancarkan lagi aktiviti pemasaran ini.

"Setakat ini bekalan tidak cukup kerana pemintaan sentiasa tinggi. Kami sedang merancang untuk mengembangkan projek ini ke tahap berskala besar dan sedang berusaha untuk mendapatkan tanah sekitar 40 hektar," katanya. Menurut Mohd Farid, ketika ini pengembangan projek dibuat secara berfasa dan sedang berusaha mencari rakan kongsi atau pelabur yang berminat untuk menjayakan projek berskala besar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 2:14 PM