KELUARGA Abdul Wahab memetik cili di ladang.
KELUARGA Abdul Wahab memetik cili di ladang.
HASIL ladang berkualiti untuk pasaran.
HASIL ladang berkualiti untuk pasaran.
KELUARGA petani menunjukkan pokok pisang yang ditanam.
KELUARGA petani menunjukkan pokok pisang yang ditanam.
MOHD Eby (kanan) dan Mohd Ridwan di ladang ternakan lembu.
MOHD Eby (kanan) dan Mohd Ridwan di ladang ternakan lembu.
ABDUL Wahab menunjukkan anugerah dan sijil yang diterimanya.
ABDUL Wahab menunjukkan anugerah dan sijil yang diterimanya.
Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Kecekalan seorang bapa menabur bakti kepada tanah hampir 10 tahun diteruskan dua anaknya yang mengusahakan enam jenis tanaman iaitu betik, pisang, cili, tembikai, terung dan labu yang ditanam secara bergilir-gilir mengikut kehendak pasaran.

Abdul Wahab Ahmad, 58, berkata dua anaknya, Mohd Eby Subhy, 32, dan Mohd Ridwan, 29, mengikut langkahnya mengusahakan tanaman secara komersial dan kaedah pengendalian berteknologi yang mampu meningkatkan hasil.

“Saya bangga dengan kejayaan anak-anak dan akan terus memberi sokongan supaya mereka menguasai sektor pertanian secara komersial seperti kejayaan kaum lain yang memonopoli bidang ini sama ada dari segi pasaran, teknologi dan pengurusan ladang.

“Saya akan terus membimbing mereka kerana mahu lihat satu masa nanti kawasan projek ini berubah menjadi pusat pengeluaran hasil ladang terkenal di daerah Baling dan di Malaysia.

“Tidak mustahil ia menjadi realiti asalkan mereka berusaha bersungguh-sungguh, bijak mengurus projek dan tidak lupa diri apabila projek meraih keuntungan besar,” katanya yang ditemui di Kampung Charok Limbong, Kuala Ketil, Kedah.

Beliau berkata, kawasan tanah seluas kira-kira 17 hektar itu banyak berjasa kepadanya.

Tiga beranak itu turut mengusahakan ternakan lembu berhampiran ladang mereka.

Abdul Wahab pernah merangkul Anugerah Peladang Gemilang sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah (HPPNK) pada tahun 2010 selain Anugerah Peladang Jaya anjuran Jabatan Pertanian Kedah pada tahun 2004.

Sementara itu, Mohd Eby berkata, dia mula menyertai bidang pertanian sejak tahun 2000 dengan modal RM4,000 untuk mengembangkan projek tanaman diusahakan bapanya.

“Kami tidak menghadapi masalah pasaran kerana ada empat pemborong dari Kulim, Sungai Petani, Alor Setar dan Baling membeli hasil tanaman.

“Malah kami sentiasa mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian Kedah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu dan Cameron Highlands,” katanya.

Menurutnya, ilmu dan bimbingan yang diperoleh ketika mengikuti kursus dimanfaatkan sebaik mungkin hingga dapat meyakinkan pemborong selain mampu mengatasi pelbagai cabaran seperti faktor cuaca tidak menentu dan serangan penyakit.

“Projek pertanian dan ternakan jika diusahakan bersungguh-sungguh dan sentiasa menambah ilmu dalam bidang pertanian mampu meningkatkan taraf ekonomi keluarga di samping secara tidak langsung mampu menangani masalah tanah terbiar.

“Kami bersyukur kerana hasil jualan tanaman ini mampu menjana pendapatan lebih RM4,000 sebulan. Mungkin selepas ini kami akan mengeluarkan tanaman lain mengikut kehendak pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 10:33 AM