KAKITANGAN perikanan Negeri Sembilan melepaskan anak penyu. FOTO Mohd Amin Jalil
KAKITANGAN perikanan Negeri Sembilan melepaskan anak penyu. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

SEBANYAK 10 ekor penyu ditemui mati di perairan pantai Port Dickson dalam tempoh lapan tahun sejak 2012.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, kes terbaru dilaporkan kelmarin membabitkan seekor penyu agar seberat 100 kilogram (kg) yang ditemui mati di persisiran pantai Teluk Kemang, Port Dickson.

“Walaupun bilangan yang mati itu dilihat sedikit, tetapi sebenarnya ia menunjukkan statistik yang tinggi jika mengambil kira kedudukan pantai Port Dickson berbanding perairan Pantai Timur,” katanya di Seremban, semalam.

Menurutnya, berbanding kawasan Pantai Timur, penyu di perairan Negeri Sembilan hanya membabitkan jenis agar atau nama saintifiknya green turtle dan penyu karah (Eretmochelys imbricata).

“Hanya penyu jenis agar dan karah yang terdapat di perairan di negeri ini dan bilangan penyu itu tidak banyak seperti di kawasan Pantai Timur kerana habitatnya (untuk bertelur) amat terhad disebabkan pembangunan. Setakat ini kawasan tumpuan penyu hanyalah di Tanjong Tuan, Port Dickson,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Halimi berkata, pihaknya melaksanakan projek pengeraman telur dan penetasan anak penyu di mana sebanyak 5,189 telur yang dieram sejak 2017 hingga 2019.

“Daripada jumlah itu, hanya 2,222 telur penyu yang menetas dan dilepaskan ke habitatnya. Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak mengganggu penyu jika menemuinya sedang naik ke pantai untuk bertelur apatah mengambil telurnya.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Penyu adalah reptilia dilindungi mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) dan mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan serta Akta Perikanan 1985.

Berita berkaitan

Penyu agar 100kg ditemui mati

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 5:55 PM