Aniza Zainudin


KAYA dengan pelbagai khasiat dan dikenali antara sayuran yang membantu kurangkan risiko penyakit kanser, asparagus bukan tanaman popular di Malaysia.

Sebaliknya, negara kita menerima asparagus atau nama botaninya, Asparagus officinalis, yang diimport dari Thailand dan Australia bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Pengusaha tanaman asparagus, Cheah Shiau Feng berkata, beliau mula mengusahakan ladang tanaman itu hampir dua tahun lalu.

"Apabila saya diberi peluang oleh Jabatan Pertanian untuk menggunakan kemudahan penanaman sayuran menerusi fasiliti rumah hijau di Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Serdang, Selangor sejak empat tahun lalu, saya cuba memanfaatkan peluang berkenaan.

"Berbekalkan pengalaman tujuh tahun dalam industri pertanian dan perladangan, saya memilih untuk fokus sayuran jenis 'bernilai tinggi' dan jarang menjadi pilihan petani tempatan.

"Selain asparagus, saya juga menanam sawi, kailan, tomato ceri, kale, 'butternut squash' dan edamame (kacang soya) di empat rumah hijau yang berlainan.

"Asparagus bukan sayuran popular dalam kalangan pengusaha ladang kerana ia mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan hasil," katanya ketika ditemui.

PENGUSAHA tanaman asparagus, Cheah Shiau Feng. FOTO Rosela Ismail
PENGUSAHA tanaman asparagus, Cheah Shiau Feng. FOTO Rosela Ismail

Berdasarkan Statistik Tanaman Sayur-sayuran dan Tanaman Ladang, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia melaporkan asparagus ditanam di kawasan seluas 14.46 hektar berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 126.33 tan metrik, pada 2017.

Menurut Cheah, di Malaysia, boleh dikatakan kurang 100 petani yang mengusahakan asparagus dan kebanyakan tanaman ini ditanam di Cameron Highlands, Pahang dan Melaka.

Ujarnya, kekurangan bekalan asparagus daripada pengusaha tempatan walau mendapat permintaan tinggi dalam pasaran memaksa kita mengimport sayuran ini dari Thailand dan Australia.

"Saya lebih beruntung kerana fasiliti rumah hijau yang disediakan Jabatan Pertanian memudahkan proses semaian, penanaman dan penjagaan asparagus berbanding penanaman secara terbuka.

"Penanaman asparagus ini selalunya mencabar apabila ada kewujudan rumput yang benihnya disebarkan melalui angin.

"Jika penanaman dilakukan di dalam rumah hijau, rumput bukan lagi masalah. Jika tidak, kerja merumput perlu dilakukan setiap hari bagi memastikan rebungnya tumbuh sihat.

"Selain siput, serangan ulat putella di bahagian rebung asparagus boleh membuatkan struktur rebung yang sepatutnya lurus menjadi bengkok. Sekiranya rebung ini bengkok, ia tidak lagi mempunyai khasiat dan tidak bernilai dalam pasaran.

"Faktor cuaca juga mempengaruhi pertumbuhan pokok asparagus yang sihat. Seperti sekarang, musim hujan dan udara yang lembap, pokok asparagus boleh diserang ancaman kulat atau dipanggil hawar pucuk," jelasnya lagi.

PILIH tanaman bernilai tinggi bagi memenuhi permintaan tempatan. FOTO Rosela Ismail
PILIH tanaman bernilai tinggi bagi memenuhi permintaan tempatan. FOTO Rosela Ismail

Berkongsi kaedah penanaman asparagus, pemuda berusia 31 tahun ini mengakui proses pembesaran asparagus memgambil masa lama.

Menurut Cheah, proses penyemaian biji benih ini menggunakan medium 'tray', tanah semaian Holland dan sistem fertigasi.

Tanah semaian Holland atau peatmoss disifatkan lebih sesuai kerana ia dapat mempercepatkan kadar pertumbuhan akar dengan lebih baik, mengurangkan kepadatan tanah, membekalkan nutrisi pada tanaman serta mampu menyimpan air lebih lama.

Proses semaian ini memakan masa kira-kira tiga bulan sebelum ia dipindahkan ke tapak semaian bagi kaedah penjagaan anak pokok yang selalunya lapan hingga 10 bulan.

Ujarnya, pada peringkat awal, rebung anak pokok ini tidak diambil kerana ingin menghasilkan pokok yang besar dan sihat.

Kata Cheah lagi, sebatang pokok asparagus yang berusia kurang lima tahun mampu mengeluarkan hasil kurang daripada 100 gram sebulan.

Sebatang pokok asparagus berusia lima hingga 10 tahun pula boleh menghasilkan rebung sebanyak 500 gram sebulan dan saiznya lebih besar.

Jelasnya, jangka hayat pokok asparagus mencecah 10 tahun.

Menariknya mengenai sayuran ini, rebung asparagus tumbuh setiap hari dan ukurannya mampu mencecah setinggi 10 inci dalam tempoh empat hari, yang juga dianggap hari tuaian.

Kini memiliki 250 pokok asparagus, Cheah berjaya menuai sebanyak dua kilogram setiap hari dan diedarkan ke sekitar Serdang, Seri Kembangan dan Puchong.

Aspargus disifatkan sayuran 'orang kaya' kerana ia dikategorikan sebagai sayuran bernilai tinggi dan harganya mencecah RM25 hingga RM40 bagi setiap kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:00 AM