SUHAFIZA menunjukkan pokok yang dibeli pelanggan.
SUHAFIZA menunjukkan pokok yang dibeli pelanggan.
Siti Zarinah Sahib


SEJAK memulakan aktiviti berkebun di rumah, kini hampir tiga tahun Suhafiza Sudin, 37, tidak membeli sayur-sayuran di pasar.

Apa sahaja menu sayuran yang terlintas di fikirannya dia akan memetik bahan mentah di belakang rumah untuk dimasak. Jemu dengan bayam dan sawi, dia boleh beralih kepada kangkung, kailan, bendi dan terung selain pelbagai jenis herba dan ulam-ulaman.

Menurut suri rumah yang menetap di Pekan, Pahang ini, minat berkebun bermula sejak kecil selepas melihat ibunya juga aktif menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di halaman rumah.

“Saya pula rajin menolong ibu menanam sayur menggunakan kaedah hidroponik. Sedikit demi sedikit saya belajar cara penanaman sebegini. Agak mudah kerana ia tidak memerlukan saya menyiram setiap hari,” katanya.

Selepas berkahwin dan menetap di rumah sendiri, Suhafiza mula menanam tumbuhan herba secara kecil-kecilan. Ketika itu ia hanya untuk kegunaan sendiri.

“Berbekalkan modal permulaan RM50, saya membeli tanah, pasu, benih dan peralatan menanam. Kemudian mula menyemai kesum dan kunyit kerana daun herba ini sering digunakan dalam masakan.

ANTARA sayuran yang menghiasi laman rumah Suhafiza.
ANTARA sayuran yang menghiasi laman rumah Suhafiza.

“Kemudian berdikit-dikit saya menambah koleksi kepada sayuran hijau seperti bayam, sawi dan kangkung yang ditanam menggunakan kaedah hidroponik,” katanya.

Melihat kehijauan pokok herba, dia semakin bersemangat cuba menyemai pelbagai jenis benih popular seperti strawberi, pokok tin, limau kasturi, kacang panjang, terung, asparagus, kubis, bunga kobis, bunga daisy dan mawar di dalam pasu besar. Mudahnya berkebun apabila tanamannya tidak berhadapan masalah serangga atau kerosakan daun kerana rajin menjaganya.

“Saya menggunakan baja campuran AB dua kali seminggu mengikut jadual. Tanaman yang menggunakan tanah disiram dua kali sehari dengan bantuan suami dan anak-anak. Alhamdulillah seisi keluarga turut membantu menyiram pokok. Mereka juga mula berminat menanam sayur-sayuran,” katanya.

Menggunakan sepenuhnya ruang di halaman rumah, jelas Suhafiza, antara kelebihan kaedah hidroponik ialah ia menjimatkan ruang. Malah ia tidak perlu disiram walaupun pemiliknya terpaksa bekerja di luar kawasan melebihi seminggu.

“Selain di luar rumah, hidroponik juga sesuai di kawasan tertutup seperti pangsapuri asalkan mempunyai saluran air yang mencukupi,” katanya.

Mempunyai kepakaran dalam menghasilkan hidroponik sendiri, Suhafiza turut menerima tempahan daripada rakan-rakan yang ingin mencuba dan berhasrat menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri.

BERSAMA dua anak comel yang turut membantu menyiram pokok.
BERSAMA dua anak comel yang turut membantu menyiram pokok.

“Ada juga pihak sekolah yang mahu membeli set hidroponik untuk sekolah mereka. Setakat ini hampir 100 set hidroponik sudah terjual,” katanya yang turut menanam pelbagai jenis kaktus dari Cameron Highlands. Selain dijadikan hiasan halaman kaktus ‘comel’ ini turut menerima tempahan daripada kawan-kawannya.

Ditanya tanaman kegemarannya jelas wanita ini, dia gemar menanam strawberi kerana senang dijaga. Anak-anaknya penggemar buah yang biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi itu.

Menurut Suhafiza, sejak mengusahakan kebun mini itu, rezekinya semakin bertambah apabila ramai bertanya mengenai benih dan baja yang digunakannya. Dia juga turut menjual benih pokok kepada mereka yang memerlukannya.

“Mula-mula dulu ramai jiran datang ke rumah untuk melihat sayur-sayuran. Kebanyakannya tidak pulang dengan tangan kosong, pasti dibekalkan sayur-sayuran. Oleh kerana kerap memuat naik di laman Facebook menyebabkan tempahan benih datang dari luar seperti Kedah, Pulau Pinang termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Alhamdulillah saya semakin gembira dengan apa yang saya lakukan. Rezeki semakin bertambah, jiwa pula lebih tenang apabila setiap hari dapat membelai dedaun dan bercakap-cakap dengan pokok-pokok ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 5:10 AM