Intan Mas Ayu Shahimi

SIBUK bekerja bukan alasan untuk wanita ini mengehadkan minatnya bercucuk tanam. Kebetulan memiliki laman yang luas, sisi dapur lapang dan tepi rumah berkeluasan sesuai untuk tanaman pasu, Nor Aini Othman, 40, teruja memiliki kebun dapur sendiri.

Kata eksekutif kewangan ini, dia percaya setiap orang memerlukan sumber terapi terbaik untuk membantu diri mengurangkan tekanan selepas seharian menghadap kerja di pejabat.

“Rutin harian wanita bekerja mungkin tidak banyak berbeza. Saya sendiri ke pejabat awal pagi dan pulang sekitar jam 5.30 petang. Biasanya, pagi memang sibuk menguruskan anak bersiap ke sekolah.

HANIS bersama dua anaknya.
HANIS bersama dua anaknya.

“Selesai urusan anak, saya akan curi sedikit masa untuk menyiram dan berbual dengan tanaman. Rutin sama saya amalkan di sebelah petang apabila pulang dari pejabat. Sebelum masuk ke rumah, saya akan siram dan belek pokok terlebih dulu.

“Kalau ada sayur atau hasil tanaman yang boleh dituai, saya akan petik sedikit untuk hidangan makan malam. Leka dengan kebun ini ada waktunya membantu menghilangkan rasa letih dan tekanan di pejabat,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Nor Aini, banyak masa lapangnya dimanfaatkan dengan melakukan kerja kebun. Dia seronok setiap kali berpeluang menyemai benih, mengemas kawasan laman, membaja pokok, menggembur tanah, mencabut rumput dan membelek anak semaian.

“Menariknya, sejak memiliki kebun dapur, saya pantang nampak nurseri pokok. Mesti hendak singgah dan mencari pelbagai barang dan kelengkapan berkebun. Bahkan sebelum ini saya pernah suarakan permintaan kepada suami supaya mencari rumah yang ada tanah (laman) untuk bercucuk tanam.

“Minat berkebun ini muncul selepas melihat kakak berhenti kerja dan menjual biji benih. Melihat perkembangan perniagaannya, saya cuba menyemai biji benih beberapa jenis tanaman.

“Tak sangka pula menjadi. Dari situ, timbul keseronokan berkebun. Keluarga pula banyak memberi dorongan. Sesekali berjumpa, kami dapat bersembang panjang, bertukar pandangan dan teknik penjagaan tanaman,” katanya.

Antara jenis tanamannya yang menjadi termasuk pegaga, pudina, oregano, kubis, sawi, kubis bunga, asparagus, terung, bendi, kangkung, bayam dan kekacang. Tidak cukup dengan itu, Nor Aini turut menanam pelbagai jenis cili, serai, kunyit, halia, kesum, daun sup, pokok kari, limau purut, limau nipis dan limau kesturi.

“Semua tanaman ini sangat berguna. Setiap kali tiba waktu untuk memasak, saya akan berjalan di sekeliling rumah untuk mengutip hasil mana-mana tanaman yang diperlukan. Jika ke pasar, memang jarang kami membeli

sayur.

“Paling penting, berkebun menawarkan terapi minda terbaik. Bayangkan kepenatan bekerja dengan nombor hampir sembilan jam di pejabat. Tentunya terapi mata sangat diperlukan.

“Menikmati terapi tanaman hijau, bercakap dengan pokok dan mengutip hasil memberikan kepuasan yang sukar digambarkan. Selain menanam sayur, saya juga menanam kaktus, sukulen dan pokok bunga seperti ros, adenium, bunga raya dan sebagainya. Tambah seronok apabila anak turut serta di kebun untuk mengutip hasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 11:57 AM