SEBAHAGIAN ahli SAHABAT yang mengusahakan tanaman cili kulai menggunakan kaedah fertigasi.
SEBAHAGIAN ahli SAHABAT yang mengusahakan tanaman cili kulai menggunakan kaedah fertigasi.
AHLI SAHABAT menimbang cili kulai.
AHLI SAHABAT menimbang cili kulai.
HM Digital

Penggunaan sistem fertigasi gantung dalam tanaman cili kulai yang diusahakan sekumpulan ahli Koperasi Sahabat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal (SMKBT) 1990-1994 (SAHABAT) lebih selamat malah mengeluarkan hasil yang banyak berbanding kaedah tanaman biasa.

Tanaman cili kulai bermodalkan RM6,000 yang diusahakan sejak November 2017 itu mula mengeluarkan hasil pada Januari lalu sebanyak tujuh hingga 16 kilogram (kg) sehari.

Cili kulai yang mendapat permintaan tinggi itu dijual pada harga RM16 hingga RM18 sekilogram bergantung kepada jumlah permintaan sekali gus menjana pendapatan hingga RM5,000 sebulan.

Suhaila Mohd Adnan, 41, berkata, pembabitannya dalam program tanaman cili kulai itu bukan saja menjana pendapatan malah mendedahkannya dengan aktiviti pertanian seterusnya boleh dipraktikkan sendiri di rumah.

“Sebelum ini, saya menyangka tanaman cili kulai menggunakan kaedah fertigasi itu cerewet tapi apabila mendapat pendedahan, ia senang untuk dijalankan malah mempunyai banyak kelebihan berbanding kaedah tanaman biasa.

“Bukan saja menjimatkan ruang malah tanaman juga terhindar daripada serangan haiwan perosak termasuk babi selain memberi kemudahan kepada petani untuk menguruskannya seperti proses membaja dan menyiram,” katanya yang ditemui di Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, kaedah fertigasi tergantung yang dijalankan itu mengubah persepsi orang ramai terhadap kaedah pertanian itu.

“Kaedah fertigasi yang digunakan itu memberi pilihan kepada orang ramai tanpa perlu terikat dengan kaedah tradisional yang mempunyai pelbagai risiko.

“Paling penting kaedah itu menyebabkan pokok mengeluarkan banyak hasil seterusnya memberi keuntungan kepada petani,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek Mohammad Yusof, 41, berkata, 20 ahli koperasi yang bertanggungjawab mengusahakan tanaman itu pada peringkat awal termasuk proses menebang pokok gelam di hutan untuk membina tapak semaian anak cili itu.

“Selepas pokok membesar dan mengeluarkan hasil, tugas untuk menguruskan diberikan kepada seorang ahli saja sementara proses memetik hasil dan menjual kepada peniaga di pasar dijalankan secara berkumpulan.

“Sehingga kini, lebih 100kg lada sudah dipetik dan terjual dan wang yang diperoleh itu dimasukkan ke dalam akaun koperasi.

“Kami menjalankan perusahaan tanaman sayur-sayuran itu sejak Mac 2017 iaitu bermula dengan tanaman timun batang dan hasil diperoleh sebanyak 2.5 tan dalam tempoh 80 hari sebelum beralih kepada tanaman cili kulai itu, “ katanya.

Katanya, hingga kini pihaknya menanam 350 pokok cili kulai dan memperuntukkan RM200 sebulan untuk kos penyelenggaraan pokok termasuk membaja selain meracun bagi menangani ancaman serangga perosak termasuk kulat dan lalat.

“Seronok apabila menjalankan kegiatan pertanian itu secara berkumpulan kerana semua ahli memberi perhatian dan bekerjasama dalam menjalankan tugas menguruskan tanaman itu,” katanya.

Pengerusi SAHABAT Mohd Al Faisal Ali berkata, ramai ahli yang berminat mengusahakan tanaman sebelum ini namun tidak mempunyai ilmu untuk berbuat demikian.

“Oleh itu, apabila program itu dijalankan mereka mendapat pendedahan hingga mendorong sebahagian ahli menjalankan kegiatan itu di kawasan rumah mereka.

“Program itu berjaya menjana pendapatan ahli dan koperasi dan paling penting ia memberi pendedahan dan ilmu kepada ahli untuk memanfaatkan tanah yang ada untuk mengusahakan tanaman di kawasan rumah sendiri,” katanya. -Ahmad Rabiul Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 12:17 PM