MUHAMMAD Suhaimi gigih mengusahakan tanaman cili.
MUHAMMAD Suhaimi gigih mengusahakan tanaman cili.
HM Digital

“Saya hanya melayari Internet untuk meneliti cara yang terbaik menanam cili fertigasi,” kata Muhammad Suhaimi Md Akhir, 25, yang mendalami selok-belok dan cabaran sebagai usahawan tani.

Pemuda berasal dari Kampung Padang Perak, Alor Setar, ini sanggup berulang-alik sejauh 25.7 kilometer dari kediamannya ke Kampung Bukit Pak Pom, Kubur Panjang, Pendang, Kedah, untuk merealisasikan impiannya mengusahakan tanaman berkenaan.

Menurutnya, dia meng­usahakan penanaman itu sejak setahun lalu dan hanya melayari Internet untuk meneliti cara yang terbaik untuk menanam cili fertigasi.

“Sebelum ini, saya melakukan kerja kampung seperti membuat rumah bersama bapa sebelum melihat ada tanah kosong di belakang rumah lalu terfikir untuk memulakan penanaman cili ini secara kecil-kecilan.

“Apabila melihat tanaman cili itu mengeluarkan hasil akhirnya saya bertekad untuk mengusahakannya secara besar-besaran,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, bapanya, Md Akhir Abdul Azib, 60, kemudian memajak tanah di Kampung Bukit Pak Pom untuk mengembangkan projek penanaman itu.

“Penanaman cili fertigasi yang membabitkan cili 568 atau dipanggil cili kulai ini memerlukan penjagaan rapi dan tidak boleh dibuat sambil lewa. Hasilnya sangat lumayan berbanding sayur-sayuran lain.

“Rutin harian saya pergi ke kebun setiap hari untuk menyiram, menggembur tanah dan meracun tanaman cili fertigasi ini dari 7 pagi hingga 6 petang.

“Lazimnya saya membaja tananam ini sebelah pagi sementara petang lebih menyiram air selain meracun,” katanya.

Muhammad Suhaimi berkata, kerja meracun dibuat empat hari sekali bagi menghalang pe­nyakit tanaman cili yang membiakkan kutu dan kulat.

Katanya, tiada yang lebih menggembirakan daripada melihat tanaman cilinya tumbuh subur dan bebas ancaman makhluk perosak.

“Saya lebih berminat bekerja sendiri daripada makan gaji, disebabkan itu juga saya mengusahakan tanaman cili kerana permintaannya sangat menggalakkan.

“Ramai pemborong yang datang berjumpa saya dan bapa untuk membeli cili kami dan harganya boleh mencecah sehingga RM10 sekilogram.

“Semaian tanaman membabitkan 8,000 anak pokok memerlukan 80 hingga 90 hari untuk dituai dan apabila ia sudah mencapai tempoh matangnya, sebanyak 100 hingga 250 kilogram sehari cili dapat dipetik,” katanya.

Kebanyakan cili diusahakan itu dibeli pemborong dan dijual di pasar tani berdekatan seperti di Tanah Merah, Pendang.

Muhammad Suhaimi berkata, dia berhasrat untuk mengembangkan lagi projek penanaman cili itu di tempat lain selepas ini. - Aizat Sharif

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 10:17 AM