Rosman Shamsudin


Trolak: Faktor umur bukanlah penghalang kepada empat pesara mengusahakan tanaman cili fertigasi secara komersial di kawasan tanah lapang dekat FELDA Jaya, dekat sini.

Pesara kakitangan FELDA iaitu Saifudin Mohd Sirat, 56, Abu Hasan Ahmad, 61, Habib Sairi, 63, dan Sambas Palil, 63, mengusahakan tanaman cili fertigasi berkenaan sejak Februari lalu.

Menurutnya, kira-kira 3,000 pokok cili ditanam dalam beg plastik di kawasan tanah seluas 0.20 hektar berdekatan pintu masuk Maktab Rendah Sains Mara FELDA ( MRSMF) Trolak.

"Idea untuk menjalankan Projek Cili Fertigasi Komuniti FELDA Jaya ini timbul ketika pertemuan kami di surau tambahan pula kini masing-masing sudah bersara.

"Kami mengeluarkan modal kira-kira RM 25,000 secara berkongsi bagi memastikan projek yang diusahakan ini mampu menjana pendapatan tambahan.

"Walaupun kaedah tanaman ini lebih moden dan mudah dari segi penjagaan serta mampu memberi hasil lumayan tetapi ia memerlukan modal yang besar.

Bekas pesara kakitangan FELDA, Saifudin Mohd Sirat, 56,( kanan sekali), Habib Sairi,63,( kiri sekali), Abu Hasan Ahmad, 61,( dua kanan) dan Sambas Palil, 63, ( dua kiri) gigih mengusahakan Projek Tanaman Cili Fertigasi di Komuniti FELDA Jaya. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Bekas pesara kakitangan FELDA, Saifudin Mohd Sirat, 56,( kanan sekali), Habib Sairi,63,( kiri sekali), Abu Hasan Ahmad, 61,( dua kanan) dan Sambas Palil, 63, ( dua kiri) gigih mengusahakan Projek Tanaman Cili Fertigasi di Komuniti FELDA Jaya. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN

"Ini termasuklah sistem siraman dan pembajaan menggunakan saluran paip yang dipasang pada setiap pokok cili dan dialirkan secara automatik bagi memastikan tumbesaran pokok," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Habib pula berkata, peringkat awal tanaman cili , mereka mampu menghasilkan kira-kira 120 kilogram (kg) cili dan berdasarkan jumlah pokok yang sedia ada ia mampu mengeluarkan hasil kira-kira 400 kg cili dalam satu-satu masa.

"Ancaman serangga perosak, cuaca dan harga cili yang tidak menentu adalah cabaran kami sejak mengusahakan projek ini. Bagi mengatasi masalah ini kami menggunakan racun organik.

"Paling tinggi pernah kami jual ialah RM 6 sekilogram dan serendah RM3 sahaja setiap kg. Harga cili ini tidak menentu dan berubah setiap minggu dan saya berharap pihak kerajaan lebih peka nasib mereka yang menceburkan diri dalam bidang pertanian termasuklah mengurangkan kadar import cili bagi memastikan kestabilan harga," katanya.

Sementara itu, Abu Hasan berkata walaupun usia mereka dikategorikan sebagai warga emas namun ia bukanlah halangan untuk menceburi bidang pertanian secara moden ini.

"Hasil tuaian cili yang dijual kepada peraih untuk dihantar ke pasar borong dan sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan kami yang sudah bersara dalam dunia pekerjaan.

"Kegigihan kami mengusahakan projek pertanian secara moden ini boleh dijadikan contoh kepada generasi muda hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:03 PM