ROZYANTY menunjukkan blok yang akan dimuatkan secara mendatar di bawah trek landasan kereta api.
ROZYANTY menunjukkan blok yang akan dimuatkan secara mendatar di bawah trek landasan kereta api.
Mohamad Hussin

mohamad

Kenaf atau nama saintifiknya hibiscus cannabinus L adalah sejenis pokok berserat bukan berkayu.

Ia tanaman jangka pendek yang kini semakin menjadi sebutan ramai malah turut mendapat tempat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Penanaman kenaf di negara ini adalah tanaman pilihan sebagai pengganti tembakau yang mempunyai banyak kegunaan biokomposit iaitu untuk industri automotif dan pembinaan lebih mesra alam, tekstil, pulpa dan kertas serta bahan makanan ternakan yang bakal memberi pulangan lumayan.

Sekumpulan penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjalankan proses penyelidikan membuat inovasi terhadap pelapik kereta api itu.

Pasukan penyelidik CEGeoGTech membabitkan Dr Rozyanty Rahman, Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Meor Ahmad Faris Meor Ahmad Tajuddin turut mendapat kerjasama penyelidikan di Thailand.

Rozyanty berkata, inovasi berkenaan menggunakan bahan hibrid gabungan antara geopolimer konkrit dan komposit kenaf dalam usaha menggantikan bahan sedia ada iaitu kayu serta simen konkrit.

Beliau berkata, produk itu dilihat mempunyai kelebihan kerana kos penghasilannya yang lebih rendah selain pelapik itu juga tidak mudah rosak berbanding diperbuat daripada kayu akibat serangan anai-anai, kulat dan keretakan sekali gus kos penyelenggaraan akan berkurangan.

ROZYANTY (kanan) dan Mustafa menghasilkan inovasi pelapik landasan kereta api.
ROZYANTY (kanan) dan Mustafa menghasilkan inovasi pelapik landasan kereta api.

“Pelapik landasan kereta api adalah salah satu komponen penting dalam industri berkenaan. Blok yang dimuatkan secara mendatar di bawah trek ini berfungsi untuk memegang landasan kereta api pada kedudukan dan jarak antaranya yang tepat serta menjadi tulang belakang perjalanan kenderaan itu.

“Teknologi hibrid komposit termaju digunakan dalam penghasilan pelapik landasan kereta api yang mesra alam mempunyai kos rendah antara alternatif terbaik dalam menggantikan pelapik landasan kereta api konvensional iaitu pelapik landasan kayu dan konkrit.

“Komposit kenaf ini mempunyai kekuatan mampatan yang tinggi dan memberi sifat ‘damping’ yang baik sekali gus memperlihatkan kemampuan penggunaan dijadikan pelapik landasan kereta api menggantikan yang sedia ada yang diperbuat daripada kayu serta konkrit,” katanya.

Menurutnya, sifat semula jadi gentian daripada pokok kenaf yang hampir menyerupai sifat kayu keras memberi kelebihan kepada pelapik landasan kereta api baru ini.

“Ia dapat mengatasi beberapa isu prestasi pelapik landasan kereta api konkrit disebabkan sifat ‘kakunya’ yang menyebabkan sistem ‘damping’ lemah.

“Selain itu, komposit hibrid kenaf mesra alam ini menawarkan kelebihan kepada sistem landasan kereta api kerana ia memberi penyebaran daya yang lebih baik dan pengurangan terhadap getaran kepada ‘balast’ pada sistem landasan.

“Ini disebabkan sifat ‘damping’ yang baik pada komposit hibrid kenaf akan mengurangkan getaran dan penghasilan bunyi terutama pada kawasan lengkungan serta persimpangan landasan,” katanya.

Rozyanty berkata, inovasi baru ini menggunakan bahan buangan hasil pembakaran arang batu dari industri jana kuasa elektrik iaitu abu terbang dan dikitar semula menjadi geopolimer konkrit.

PELAPIK menggunakan teknologi hijau yang diperkuatkan gentian FRP daripada pokok kenaf dan gentian kaca.
PELAPIK menggunakan teknologi hijau yang diperkuatkan gentian FRP daripada pokok kenaf dan gentian kaca.

“Struktur konkrit kitar semula ini diperkukuhkan lagi dengan komposit kenaf bersama gentian besi bagi menghasilkan ciri pelapik kereta api yang sangat baik.

“Ia dijangka menembusi industri lokomotif antarabangsa. Perkembangan teknologi dan pemindahan ilmu pengetahuan dari UniMAP ke industri lokomotif diharap dapat membantu meningkatkan serta mengukuhkan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Prof Mohd Mustafa Al-Bakri berkata, kajian penyelidikan bertepatan dengan inisiatif dua hala antara kerajaan Malaysia dan Thailand yang kini dalam proses perbincangan berkenaan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HRS) menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok.

“Antara lain, perbincangan adalah berkenaan kualiti masa yang dapat dijimatkan sekali gus dapat memendekkan jarak perjalanan antara kedua-dua negara kepada enam jam saja.

“Oleh itu, UniMAP yang menghasilkan kajian dan penyelidikan berkenaan pelapik landasan, ia secara tidak langsung membuka peluang kepada peningkatan kualiti bahan yang dapat digunakan dalam projek berkenaan.

“Ini kerana produk ini menggunakan teknologi komposit diperkuat gentian (FRP) daripada pokok kenaf dan gentian kaca yang dapat menggantikan penggunaan kayu pelapik sedia ada di pasaran memandangkan kualitinya yang lebih tinggi dan tahan lama,” katanya.

PELAPIK landasan kereta api salah satu komponen yang menggunakan kenaf.
PELAPIK landasan kereta api salah satu komponen yang menggunakan kenaf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:30 AM