PEKERJA ‘menyiapkan’ lokomotif sebelum memulakan perjalanan. FOTO Wazari Wazir
PEKERJA ‘menyiapkan’ lokomotif sebelum memulakan perjalanan. FOTO Wazari Wazir
Mohd Wazari Wazir

DARJEELING? Nama tempat ini mungkin asing bagi kebanyakan penduduk Malaysia, malah sukar bagi sesetengah daripada kita mengagak di mana kedudukan Darjeeling di dalam peta India. Darjeeling terletak di sebelah barat Bengal, diapit oleh Nepal dan Bhutan.

Pintu masuk utama ke Darjeeling melalui Lapangan Terbang Bagdogra lebih kurang 75 kilometer dari Darjeeling. Tetapi bagi kebanyakan pesawat antarabangsa, pintu masuk utama untuk ke Darjeeling di Lapangan Terbang Netaji Subhas Chandra Bose, Kolkata, dari sini kita boleh meneruskan perjalanan ke lokasi yang terkenal dengan tehnya itu menggunakan pesawat domestik.

Darjeeling sangat terkenal di India sebagai Hill Station, atau kawasan percutian tanah tinggi. Ia juga dikenali sebagai ‘Queen of Hill Stations’ atau Ratu Stesen Bukit di India. Selain dikenali kerana kualiti teh, Darjeeling terkenal dengan pemandangan indah.

DI hadapan kereta api mainan Darjeeling. FOTO
DI hadapan kereta api mainan Darjeeling. FOTO

Tetapi tujuan penulis ke Darjeeling bukanlah kerana teh, bukan juga disebabkan tarikan pemandangan, tetapi kerana kereta api mainannya. Jangan salah sangka, kereta api mainan yang dimaksudkan bukanlah kereta api mainan yang ada di taman-taman tema. Kereta api mainan yang dimaksudkan adalah Kereta Api Himalaya Darjeeling (DHR). Ia mendapat jolokan sebagai ‘Toy Train’ ataupun kereta api mainan kerana saiz lokomotifnya kecil seperti mainan berbanding saiz lokomotif kereta api biasa.

Penulis bersama rakan sekerja, Azmi Abd Aziz, tiba di Lapangan Terbang Kolkata pada jam 12.20 tengah malam dengan pesawat AirAsia dari klia2. Untuk meneruskan perjalanan ke Darjeeling, kami menaiki pesawat SpiceJet pada jam 6.05 pagi iaitu penerbangan paling awal untuk ke Bagdogra pada hari yang sama.

PEKERJA ‘menyiapkan’ lokomotif sebelum memulakan perjalanan. FOTO Wazari Wazir
PEKERJA ‘menyiapkan’ lokomotif sebelum memulakan perjalanan. FOTO Wazari Wazir

Perjalanan ke Darjeeling boleh dikatakan menakutkan, terutama kepada sesiapa yang mudah berasa gayat apabila berada di tempat tinggi, hinggakan ada satu ketika, terdetik di hati saya untuk turun daripada kenderaan dan batalkan saja rancangan untuk ke situ.

Masakan tidak, dengan laluan yang sempit dan curam, melalui lereng bukit, kelihatan sayup-sayup saja pemandangan di bawah yang boleh buatkan jantung rasa seperti hendak tercabut! Namun sebaik saja terlihat pemandangan indah di depan mata terutama ketika menghampiri bandar Kurseong, saya beranikan diri juga, dari kejauhan kelihatan rumah kecil berwarna-warni seakan-akan kotak mainan yang disusun rapi di tepi lereng gunung memukau pandangan saya.

STESEN kereta api tertinggi ialah Ghum iaitu 7,407 kaki dari aras laut. FOTO Wazari Wazir
STESEN kereta api tertinggi ialah Ghum iaitu 7,407 kaki dari aras laut. FOTO Wazari Wazir

Lebih mengujakan apabila semakin hampir ke Darjeeling, kelihatan sangat jelas Banjaran Himalaya disimbahi suria pagi. Akhirnya setelah melalui perjalanan yang mendebarkan jiwa tetapi mengujakan, saya tiba di Darjeeling. Alhamdulillah!

Setelah selesai mendaftar masuk di hotel penginapan kami, tanpa berlengah, saya terus ke Stesen Kereta Api Darjeeling untuk membuat tempahan tiket kereta api Joyride Steam untuk perjalanan keesokan paginya.

PANJANG laluan landasan Kereta Api Himalaya Darjeeling ini ialah 79.3km. FOTO Wazari Wazir
PANJANG laluan landasan Kereta Api Himalaya Darjeeling ini ialah 79.3km. FOTO Wazari Wazir

Ada dua jenis kereta api Joyride ini, iaitu menggunakan lokomotif berenjin wap dan lokomotif enjin diesel. Tambang untuk lokomotif berenjin wap ialah Rs1,310 (RM75.60), manakala enjin diesel pula sebanyak Rs805 (RM46.50).

Keesokan harinya, seawal jam 5.30 pagi, kami bergegas ke stesen kereta api untuk merakam beberapa keping gambar ketika pekerja menyediakan arang batu untuk kegunaan kereta api wap.

Tepat jam 10 pagi, kereta api wap Joyride berusia lebih 100 tahun bergerak dengan siulan honnya yang cukup mengasyikkan. Perjalanan mengambil masa dua jam pergi balik ini tamat di Stesen Ghum iaitu stesen kereta api tertinggi di India yang terletak pada ketinggian 7,407 kaki dari aras laut, sebelum berpatah balik semula ke Darjeeling.

Stesen popular bollywood

Idea pembinaan landasan kereta api Darjeeling ini dicetuskan oleh Franklin Prestage pada 1878 yang ketika itu menjawat jawatan Ejen Syarikat Keretapi Timur Bengal kepada Kerajaan Bengal untuk membina landasan kereta api dari Siliguri ke Darjeeling.

LALUAN Kereta Api Himalaya Darjeeling dibina pada 1879
LALUAN Kereta Api Himalaya Darjeeling dibina pada 1879

Kemudian, Leftenan Gabenor Sir Ashley Aden menubuhkan jawatankuasa untuk mempertimbangkan projek ini. Selepas dipersetujui, pembinaan landasan dimulakan 1879 siap sepenuhnya pada 1881 dengan jarak sejauh 79.3km. Pada 1999 UNESCO memberikan status Warisan Dunia kepada Kereta Api Himalaya Darjeeling ini.

Kereta api Joyride ini akan berhenti selama 10 minit di Putaran Batasia (Batasia Loop) untuk memberi peluang kepada pelancong merakam gambar kenangan di sini dengan berlatar belakang puncak gunung tertinggi di India iaitu Gunung Kanchenjunga yang berketinggian 8,586 meter, juga merupakan gunung ketiga tertinggi di dunia.

KERETA api sejarah yang dapat pengiktirafan UNESCO. FOTO Wazari Wazir
KERETA api sejarah yang dapat pengiktirafan UNESCO. FOTO Wazari Wazir

Batasia Loop dibina untuk memudahkan pergerakan kereta api menuruni bukit yang agak curam dari Ghoom ke Darjeeling. Dengan adanya putaran ini, pergerakan kereta api dapat diperlahankan sedikit sewaktu menuruni bukit yang curam ini. Di sini juga ada Tugu Peringatan Perang Tentera Gurkha yang dibina pada 1995 bagi memperingati jasa mereka yang berkorban demi mempertahankan kerajaan India.

Selepas merakam beberapa keping gambar kenangan di Batasia Loop, penulis menaiki semula kereta api meneruskan perjalanan ke stesen terakhir ialah Ghum. Laluan kereta api agak sempit dan ada ketikanya begitu hampir dengan deretan kedai yang ada di sepanjang laluan, sangat dekat sehinggakan tangan kita boleh mencapai barang-barang jualan yang ada di kedai-kedai sepanjang laluan kereta api melalui tingkap kereta api ini.

SUASANA Subuh hening di Darjeeling. FOTO Wazari Wazir
SUASANA Subuh hening di Darjeeling. FOTO Wazari Wazir

Di Stesen Ghum, kereta api ini akan berhenti lebih kurang 30 minit memberi peluang pelancong mengunjungi Muzium Kereta Api yang ada di sebelah stesen ini. Di muzium ini kita boleh dapat banyak maklumat berkaitan dengan sejarah Kereta Api Himalaya Darjeeling .

Kereta Api Himalaya Darjeeling ini satu ketika dulu menjadi popular menerusi filem Aradhana (1969) lakonan Rajesh Khanna dan Sharmila Tagore, sewaktu adegan lagu ‘Mere Sapno Ki Rani’ di mana Rajesh Khanna yang menaiki jip mengejar Sharmila Tagore yang menaiki Kereta Api Himalaya Darjeeling ini.

Pelakon Shah Rukh Khan juga pernah menaiki Kereta Api Himalaya Darjeeling ini dalam filem lakonannya bertajuk Raju Ban Gaya Gentleman (1992), sewaktu beliau menyanyikan lagu ‘Dil Hai Mera Deewana’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:29 AM