BERBUAT baik kepada ibu dan bapa laluan ke syurga buat anak-anak.
BERBUAT baik kepada ibu dan bapa laluan ke syurga buat anak-anak.
Mohd Rizal Azman Rifin

Ibu dan ayah adalah pintu untuk kita mencapai laluan ke syurga Allah. Baik buruk perbuatan terhadap kedua insan itu menjadi asbab kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan.

Setinggi manapun pencapaian yang kita nikmati hari ini, ia bukan kerana kita hebat dan kuat, melainkan kerana di belakang tabir ada insan yang mendoakan kita. Ya kejayaan kita kerana doa orang tua kita.

Namun, sebagai umat Nabi Muhammad SAW seharusnya sedar dan insaf bahawa meraikan ibu mahupun bapa, tidak boleh dilakukan dalam bentuk berkala dan sekali sekala sahaja.

Menjadi tanggungjawab utama yang perlu diutamakan setiap anak supaya sentiasa menghormati dan menjaga kedua-dua ibu bapa mereka tanpa melihat kepada takwim hari utama yang perlu dirayakan.

Ibu adalah anugerah agung yang dikurniakan Allah kepada kita. Lihat bagaimana seorang bernama Urwais al-Qarni yang mendapat pengiktirafan tertinggi daripada Allah sebagai bakal ahli syurga semata-mata kasih dan sayangnya terhadap ibunya.

Baginda SAW ketika bersama sahabatnya pernah menceritakan watak dan personaliti Urwais buat pengetahuan sahabat.

Terpegun sahabat Baginda tatkala Baginda menyarankan mereka memohon kepada Urwais supaya berdoa kerana doa Urwais sangat dikabulkan Allah.

Baginda SAW juga ada memberitahu bahawa pada Hari Kiamat nanti, ketika semua ahli ibadah dipanggil untuk masuk syurga, Urwais sebaliknya diminta berhenti dahulu untuk memberi syafaat.

Allah memberikan keistimewaan kepada Urwais untuk memberikan syafaat kepada setiap orang daripada Kabilah Bani Rabi'ah dan Mudar.

Mereka semua dimasukkan dalam syurga tanpa ada yang tertinggal disebabkan syafaat yang diberikan Urwais.

Kata Baginda SAW lagi, Urwais seorang yang berstatus miskin dan lantaran kedudukan sosioekonominya yang bertaraf rendah menyebabkan masyarakat sekitarnya tidak mengenalinya, malah dikatakan ada sesetengah kalangan masyarakat yang mengejek, meremehkan perwatakannya.

Urwais seorang yang berjiwa tenang, tidak pernah terguris di hati apa yang orang lain ucapkan. Dia tidak pernah berburuk sangka kepada sesiapapun meskipun dia sering dituduh sebagai pencuri.

Segala kata nista dan umpatan keji ditelan bulat-bulat demi menjadi iman dan takwanya di samping mengharapkan keredaan Allah. Pernah dilaporkan bahawa pada suatu ketika ada seorang fuqaha di Kufah yang ingin mengenalinya, lalu diberikan kepada Urwais dua pakaian, namun pemberian itu ditolak dengan baik sambil berkata: "Aku bimbang, nanti orang menuduhku dari mana aku dapatkan pakaian itu; kalau tidak daripada hasil meminta, pasti daripada mencuri."

Pemuda dari Yaman ini seorang anak yatim dan hidup bersama ibunya yang sudah lanjut usia dan lumpuh. Penglihatan ibunya juga kabur. Saban hari Urwaislah yang menjaga dan menguruskan segala hal ehwal ibunya.

Dia seorang anak yang baik meskipun kemiskinan menghimpit kehidupan, namun hatinya tidak miskin. Hatinya kaya dengan nilai berbudi kepada ibu sehinggakan Baginda SAW memberitahu yang Urwais ini tidak terkenal di bumi, tetapi amat popular dalam kalangan penduduk langit.

Urwais bergantung hidup bersumberkan pekerjaannya sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya sekadar cukup makan bersama ibunya.

Pada hari tertentu apabila mendapat upah lebih, dia berkongsi dengan jiran tertangganya pula. Dia tidak pernah kedekut walaupun dia sendiri hidup serba kekurangan.

Niat dan azamnya untuk bersedekah kepada insan lain sentiasa terpahat dalam sanubarinya.

Kehidupan Urwais dipenuhi tugasan mengembala kambing dan menjaga ibu kesayangannya yang lumpuh itu tidak pernah menjadi alasan buat Urwais cuai dalam amal ibadah.

Pada siang hari dia berpuasa dan malam dipenuhkan dengan aneka ibadah yang termampu dilaksanakannya.

Urwais sebenarnya sudahpun memeluk Islam semasa Yaman menerima seruan Baginda SAW dan Urwais adalah salah seorang penduduk Yaman terawal menerima seruan dakwah Baginda SAW itu.

Ramai penduduk Yaman yang berkesempatan berkunjung ke Madinah untuk bersama Rasulullah SAW dan melihat secara dekat raut wajah Baginda. Tetapi, tidak kepada Urwais.

Dia tidak mampu untuk berkunjung ke Madinah lantaran kemiskinannya dan ditambah pula ibunya sedang uzur yang sangat memerlukan penjagaannya setiap hari.

Berlinang air mata Urwais ketika mendengar cerita masyarakat Yaman yang baru balik dari Madinah. Mereka semua dengan wajah ceria kerana dapat menjadi tamu dan bertemu muka dengan Rasulullah SAW yang mereka cintai.

Hari demi hari perasaan rindunya kepada Baginda semakin bersarang di lubuk hatinya. Ada ketikanya dia ingin menyuarakan hasrat untuk ke Madinah kepada ibunya. Namun, selepas memikirkan keadaan ibunya yang uzur itu, niat itu terpadam begitu sahaja.

Cinta dan rindu Urwais kepada Baginda tidak pernah surut meskipun belum mampu berjumpa sendiri dengan Baginda. Dilaporkan ketika Urwais menerima berita bahawa Baginda SAW patah gigi ketika Perang Uhud kerana dihempap batu oleh musuh, Urwais mematahkan giginya sebagai membuktikan kecintaannya yang mendalam terhadap Nabinya.

Namun, Urwais akhir mengalah kepada desakan rindunya untuk bertemu Baginda SAW, lalu dikuatkan hati bertemu ibunya dan memberitahu apa yang terpendam selama ini. Ibunya memahami niat suci anaknya itu, tetapi berpesan supaya segera pulang selepas berjumpa Baginda di Madinah nanti.

Malang sekali selepas meredah 'belantara padang pasir' sejauh 800 kilometer, insan yang dirindui tiada di rumah kerana pada ketika Baginda sedang berada di medan peperangan.

Baliklah semula Urwais berbalut hati yang kecewa kerana gagal berjumpa Rasulullah SAW. Sekembalinya Baginda dari medan perang, Aisyah ada memberitahu berkaitan seorang pemuda dari Yaman yang ingin berjumpa Baginda. Kemudian Baginda memberitahu isterinya dan para sahabat dengan berkata, "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah yang dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."

Baginda kemudian memandang ke arah Umar dan Ali sambil berpesan, "Nanti apabila kamu bertemu dengannya, mintalah doa dan istighfar daripadanya. Dia penghuni langit, bukan penghuni bumi."

Ini satu teladan dan pengajaran buat kita yang hidup di zaman mutakhir ini. Jadikanlah ibu dan ayah sebagai 'pintu ke syurga.'


Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:01 AM