UMAT Nabi Muhammad SAW perlu sentiasa bersyukur atas nikmat dan iman dan Islam dalam hidup ini. FOTO Asyraf Hamzah
UMAT Nabi Muhammad SAW perlu sentiasa bersyukur atas nikmat dan iman dan Islam dalam hidup ini. FOTO Asyraf Hamzah
IKTIBAR HADIS

MANUSIA pertama yang akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti adalah junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abdullah bin Farukh, Abu Hurairah r.a menceritakan kepadaku bahawa beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku ialah pemimpin anak Adam pada hari kiamat kelak, aku ialah orang pertama yang bangkit daripada kubur, aku ialah orang paling dahulu memberikan syafaat dan aku ialah orang paling dahulu diberikan syafaat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baginda SAW juga adalah yang pertama memberi syafaat dan diberikan kebenaran untuk memberikan syafaat.

Dalam buku 40 Hadis Huru Hara Kiamat, syafaat pada hari kiamat diberikan atas sebab antaranya, supaya dipercepatkan urusan hisab ke atas manusia, dikeluarkan manusia yang terjatuh ke dalam neraka dan supaya dimasukkan manusia ke dalam syurga.

Selain itu, syafaat juga adalah hak milik mutlak Allah SWT diberikan kepada Nabi Muhammad SAW hanya apabila diminta oleh Baginda dan mendapat keizinan Allah SWT.

Contoh, Nabi Muhammad SAW memberikan minuman daripada telaga Kautsar kepada orang mukmin.

Sesiapa yang dapat meminum air itu pasti akan memperoleh syafaat Baginda SAW.

Keizinan Allah SWT itu bersifat umum kepada umat Baginda yang sentiasa berwuduk dan solat.

Bagaimanapun, ada yang tidak diizinkan diberi syafaat iaitu mereka yang berpaling daripada ajaran Baginda SAW selepas kewafatannya.

Sehubungan itu, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita perlu bersyukur kerana dikurniakan Rasul yang akan mewakili seluruh alam selain mempunyai pelbagai kelebihan yang akan memberi keuntungan kepada kita semua.

Antara cara yang boleh dizahirkan sebagai tanda kesyukuran adalah dengan memperbanyakkan selawat, mengamalkan sunah serta menghayati sirah perjuangan Baginda SAW.

Kita perlu menjadi umat Baginda yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan iman dan Islam dalam hidup ini.

Selain itu, umat Nabi Muhammad SAW juga adalah sedikit berbanding umat nabi lain.

Ketika dinyatakan Baginda adalah manusia pertama dibangkitkan dari kubur dan diberikan keizinan memberi syafaat pada hari kiamat nanti, ini menunjukkan kemuliaan Rasulullah SAW dalam alam ini.

Syafaat Nabi Muhammad kelak mampu mengangkat darjat manusia melebihi pahala amalan mereka.

Seterusnya, syafaat daripada Baginda SAW juga sangat bermakna bagi mengurangkan azab kepada mereka yang berhak ditimpa azab serta syafaat bagi ahli Madinah dan sesiapa yang meninggal dunia di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 10:00 AM