Bagi yang masih buntu memikirkan hadiah ulang tahun kelahiran atau perkahwinan, buku ini adalah antara yang harus dipertimbangkan. Membacanya membawa kita untuk mengenali Rasulullah dan membantu mencambahkan rasa cinta kepada insan hebat ini.

Dengan mengetahui mukjizat yang Allah SWT anugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW, dapat membantu mengikis sikap sambil lewa kita terhadap akhlak dan keperibadian baginda. Baginda bukan saja manusia paling mulia di sisi Allah, tetapi turut menjadi pemimpin bagi seluruh keturunan Adam, manusia pertama dibangkitkan dari kubur pada hari akhirat, memberi syafaat dan yang mendahului masuk ke syurga kelak.

Menerusi buku ini pembaca akan menyedari bahawa setiap orang yang datang berjumpa Rasulullah SAW membawa satu keperluan dan baginda dengan sabar melayan atau memberi nasihat yang mudah difahami. Tidak hairanlah semua yang mengenalinya berasa sangat senang dengan sikap dan akhlak baginda. Rasulullah SAW umpama bapa bagi mereka.

Membaca buku ini menimbulkan rasa takjub kepada kehebatan mukjizat Rasulullah dalam konteks dakwah kepada golongan yang sukar menerima nasihat di zamannya. Bahkan manusia yang paling tinggi egonya pun tidak mampu menolak kebenaran apabila berhadapan dengan kehebatan Rasulullah membaca sesuatu maklumat ghaib.

Ibarat menonton filem epik Barat yang hebat dengan seni kesan khasnya, begitu juga dengan mukjizat Rasulullah yang boleh memberi arahan pokok beralih tempat atau anggota yang cedera sembuh sekelip mata.

Banyak lagi kisah keajaiban mukjizat Rasulullah dicatat dalam buku ini. Tentu saja mukjizat terbesar Rasulullah ialah al-Quran yang mengandungi ratusan mukjizat lain. Al-Quran dikategorikan sebagai mukjizat maknawi yang akan kekal sehingga hari kiamat.

Ada sesetengah pendapat mengatakan mukjizat Rasulullah melebihi 2,000 dan sebahagian lagi berpendapat sampai 1,000. Biar berapa pun jumlahnya, buat permulaan bolehlah menelaah buku ini untuk mengetahui apakah mukjizat yang dikurniakan Allah kepadanya selain daripada yang biasa kita dengar. Lebih istimewa turut diselitkan himpunan hadis menceritakan mukjizat insan yang amat istimewa ini.

INFO

Judul: 1000 Mukjizat Rasulullah

Penulis: Dr Mustafa Murad

Penerbit: Inteam Publication

Harga: RM65 (Semenanjung Malaysia), RM67 (Sabah/Sarawak)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:01 AM