SAMBUTAN Aidilfitri ini adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan aktiviti kunjung-mengunjung. FOTO Arkib NSTP
SAMBUTAN Aidilfitri ini adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan aktiviti kunjung-mengunjung. FOTO Arkib NSTP
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan bagi umat Islam yang melaksanakan ibadat dengan sempurna sepanjang Ramadan. Selain itu, ia juga sebagai penzahiran kesyukuran kepada Allah SWT atas rahmat dan petunjuk-Nya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Allah menghendaki kamu kemudahan, tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) serta supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur."

Aidilfitri waktu terbaik untuk berkumpul sanak-saudara, yang jauh dan dekat berkongsi cerita serta bergurau senda. Sambutan Aidilfitri ini adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan aktiviti kunjung-mengunjung.

Namun, ada beberapa adab yang perlu kita dititikberatkan semasa ziarah Aidilfitri.

Antara adab yang amat perlu dititikberatkan adalah menjaga tutur kata. Menjaga tutur kata adalah perkara yang selalu dipandang ringan oleh masyarakat ketika berziarah. Kata-kata dan pertanyaan yang mengguriskan hati hanya akan mengundang perbalahan.

Banyak perkara sensitif yang perlu kita elakkan, antaranya berkaitan fizikal individu lain, jodoh bagi orang yang belum berkahwin atau status duda atau janda, zuriat bagi mereka yang belum mempunyainya dan tentang gaji atau pekerjaan orang lain.

Perkara ini dilihat semakin dinormalisasikan oleh segelintir masyarakat. Selain itu terdapat sesetengah masyarakat yang mulut mereka begitu ringan menghina, mengata, mengumpat serta menjatuhkan air muka seseorang.

Rasulullah SAW mencegah perbuatan ini dan menganjurkan setiap Muslim memelihara lidah dengan menuturkan kata-kata yang baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba (manusia) yang berbicara dengan pembicaraan yang belum jelas baginya (hakikat dan akibat), maka dia akan terlempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, adab dan tatasusila yang perlu kita tekankan adalah menjaga tingkah laku dan pandangan. Sebagai tetamu, perlulah menjaga, mengawal pandangan dan tingkah laku. Hal ini kerana seseorang tetamu yang tidak memelihara adab tertib akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah.

Rasulullah SAW menyarankan kita duduk di tempat yang dikhaskan oleh tuan rumah apabila berziarah seperti maksud hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim: "Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka."

Jika kita berziarah membawa kanak-kanak, pastikan mereka tidak mengotori atau merosakkan barangan tuan rumah. Kita perlulah berpesan kepada kanak-kanak sebelum mereka melangkah masuk ke kediaman orang supaya mereka menjaga tingkah laku. Jika berlaku perbuatan kanak-kanak yang tidak sepatutnya di hadapan mata kita, hendaklah kita menasihati mereka supaya tidak berbuat demikian.

Tambahan lagi, antara adab yang perlu kita patuhi adalah ziarah pada waktu yang sesuai dan jangan duduk terlalu lama. Jangan berziarah pada waktu yang tidak sesuai, sebagai contoh pada waktu larut malam.

Ini dikhuatiri mengganggu tuan rumah untuk beristirahat dan seterusnya menyebabkan mereka tidak bersedia untuk menyambut kehadiran kita. Adab bagi mereka yang bertandang juga adalah tidak duduk terlalu lama jika tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi sekiranya pada waktu itu mereka menerima banyak tetamu.

Adab ziarah Aidilfitri yang terakhir yang dapat dikongsikan dalam ruangan kali ini adalah mengucapkan syukur dan berterima kasih. Ucaplah terima kasih dengan senyuman yang mekar kepada tuan rumah yang sanggup menerima kita sebagai tetamu. Perkara ini juga budaya yang sudah lama diterima pakai di Malaysia. Walaupun ia telah membudaya, ia sebenarnya berdasarkan hadis baginda SAW yang bermaksud: "Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia" (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, ambillah peluang ketika Aidilfitri ini untuk kunjung-mengunjung kenalan dan sanak saudara kerana ia akan mengeratkan silaturahim sekali gus dapat bermaaf-maafan kerana ia perkara amat dituntut agama.

Namun, dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, kita jangan lupakan adab dan tatasusila demi menjaga keharmonian hubungan bermasyarakat.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 7:01 AM