JADIKAN Aidilfitri sebagai hari kebajikan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sentiasa berziarah, bertegur sapa dan bertanya khabar. FOTO BERNAMA
JADIKAN Aidilfitri sebagai hari kebajikan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sentiasa berziarah, bertegur sapa dan bertanya khabar. FOTO BERNAMA
Mohd Fahimi Zakaria

Menjadi adat kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu  iaitu  meneruskan amalan ziarah menziarahi pada bulan Syawal, bahkan hampir setiap hari majlis-majlis Aidilfitri diadakan. Ia tidak terhad di rumah sahaja, tetapi turut diadakan di pelbagai peringkat seperti di pejabat, restoran, jabatan, pusat beli-belah dan masjid sama ada siang atau malam, terbuka atau tertutup. Meskipun amalan ini hanya adat semata-mata, namun ia tidaklah dilarang dalam Islam selagi tiada perkara yang jelas melanggar syarak seperti terdapat minuman keras, pendedahan aurat, pergaulan bebas atau hiburan yang melalaikan.

Namun, amalan bertamu atau berziarah ini termasuk dalam sunah Rasulullah SAW kerana amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim, persaudaraan Islam dan menghapuskan dosa. Hadis yang panjang menceritakan kelebihan orang yang berziarah ke rumah saudaranya, antaranya baginda menyebut bahawa malaikat menaungi sepanjang perjalanannya dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT (Riwayat Muslim). Sementara dalam hadis lain baginda bersabda yang bermaksud: "Apabila dua orang saudara bersalaman, maka Allah SWT mengampuni dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah." (Riwayat Abu Daud)

Justeru, adab pertama apabila bertamu hendaklah meminta izin. Tetamu wajib mendapat keizinan tuan rumah, adakah dia berlapang masa dan sudi menerima tetamu? Al-Quran menyuruh kita meminta izin seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu meminta izin dan memberi salam sebelum mendatangi rumah orang lain. Itulah sebaik-baik perkara (adab) sangat baik bagi kamu, semoga kamu sentiasa beringat." (Surah al-Nur: 27). Ayat ini juga menjelaskan adab kedua iaitu memberi salam dan ucapan selamat ke atas tuan rumah kerana pada ucapan salam itu mengandungi doa dan keselamatan ke atas tuan rumah.  

Kemudian, bertamu pada waktu yang ditetapkan iaitu yang dipersetujui bersama. Contohnya waktu bertamu pada jam 3 petang hingga 6 petang, maka hendaklah tetamu hadir antara waktu itu. Tidak sepatutnya tetamu hadir terlalu awal atau lewat daripada masa itu, ia akan mengganggu urusan peribadi tuan rumah dan juga mungkin memberi kesan kepada emosi layanan tuan rumah. Jika kita tidak dapat hadir pada waktu itu atau ada urusan lain, maklumlah kepada tuan rumah lebih awal kerana itu tanda kita menghormati maruah dan perasaannya. Jangan pula hadir sesuka hati ke rumah orang, bahkan dilarang kita hadir pada tiga waktu iaitu sebelum Subuh, waktu tengah hari dan selepas Isyak. (Surah al-Nur: 58)

Seterusnya niat bertamu adalah untuk menghubungkan silaturahim dan persaudaraan Islam. Ini kerana al-Quran menganjurkan kita mengeratkan hubungan antara orang beriman selaras dengan firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara." (Surah al-Hujurat: 10). Bukanlah bertamu itu bertujuan selainnya seperti ingin menunjukkan kenderaannya yang besar, pasangannya yang cantik, anak-anaknya yang pandai atau bertujuan untuk mengisi perut semata-mata. Sesungguhnya amalan berziarah ini satu ibadah yang mulia, maka jadikanlah ia satu kebajikan yang diredai oleh Allah SWT serta mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya.

Adab seterusnya ialah bertamu dengan ringkas dan segera. Antara tanda keberkatan amalan ziarah ialah sekejap sahaja, bukan berlama-lama di rumah orang sehingga mengundang kegusaran kepada tuan rumah. Memadailah kita mengambil masa sekitar 30 minit sahaja bertamu, kemudian segeralah bergegas pulang atau ke tempat lain pula. Tidak sepatutnya duduk sampai berjam atau terlalu lama, hal itu menghilangkan keberkatan ziarah. Ini terkecuali sekiranya rumah ibu bapa atau adik beradik sendiri yang semestinya tuan rumah mengharapkan kita meluangkan masa yang panjang dengan mereka.

Akhir sekali, makan apa sahaja yang dijamu. Jika dihidangkan air kosong sahaja, maka itulah rezeki kita. Jika rendang ayam, maka itu juga rezeki yang sudah ditakdirkan buat kita. Maka jangan sesekali bertanya atau meminta makanan yang tiada kerana boleh jadi tuan rumah tidak mampu atau tidak menyukai makanan itu. Kawal tingkah laku anak-anak yang masih kecil daripada perkara yang tidak manis seperti masuk keluar bilik orang, mengambil makanan di dapur atau merosakkan harta benda tuan rumah. Hal ini akan mengeruhkan perasaan pihak tuan rumah. Mintalah izin jika berhajat ke tandas atau mahu cas telefon bimbit.

Semoga amalan ziarah menziarahi ini mengeratkan kasih sayang antara saudara mara, sahabat handai, rakan taulan dan jiran tetangga. Inilah masa untuk kita lebih mengenali dan mendekati antara satu sama lain melalui adat yang baik dan budaya yang elok. Jadikan hari-hari raya ini sebagai hari kebajikan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sentiasa berziarah, bertegur sapa dan bertanya khabar.  

Penulis Pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 7:02 AM