RUMAH dihias indah untuk menerima kedatangan tetamu pada hari raya.
RUMAH dihias indah untuk menerima kedatangan tetamu pada hari raya.
Mohd Shahrizal Nasir

MUSIM perayaan adalah masa sesuai untuk menyemarakkan amalan berziarah. Peluang menziarahi saudara, jiran dan sahabat itu menjadi medan untuk mendidik anak-anak.

Pada zaman ini, jika diperhatikan ramai anak muda lebih suka menghabiskan masa di rumah ketika hari raya.

Mereka tidak gemar keluar bersama keluarga jika tidak dipaksa. Tambahan pula, televisyen menyajikan pelbagai rancangan menarik pada hari raya.

Golongan muda mungkin beranggapan amalan ziarah itu kurang penting. Malah, ada yang pergi ‘makan angin’ bersama rakan-rakan dan menganjurkan aktiviti hiburan melalaikan pada hari raya.

Ketika berziarah, bawa anak-anak ikut serta melawat rumah saudara, jiran dan kenalan ibu bapa.

Jika anak-anak tidak diperkenalkan dengan saudara, jiran dan kenalan, pastinya mereka sukar menghubungkan silaturahim ketika kita sudah tiada di dunia ini.

Mereka menyantuni kenalan ibu bapa supaya hubungan silaturahim tidak terputus. Ibu bapa perlu mengambil peluang memperkenalkan sahabat mereka kepada anak-anak.

Apabila mereka saling mengenali, tidak sukar untuk meneruskan silaturahim pada masa akan datang.

Selain itu, ketika berkunjung ke rumah orang, adab sebagai tetamu perlu ditekankan kepada anak-anak.

Jangan biarkan mereka berlari di dalam rumah orang sehinggakan suasana jadi tidak tenang. Ajar mereka duduk di tempat yang disediakan dan jangan makan hidangan selagi tuan rumah tidak mempersilakannya.

Ketika dijemput untuk makan, pesan kepada anak supaya mengambil makanan mengikut kadar yang sepatutnya.

Selain itu, jangan biarkan mereka menggunakan telefon pintar sehingga tidak menghiraukan keadaan sekeliling.

Mana mungkin amalan ziarah dapat mengeratkan silaturahim jika masing-masing sibuk dengan gajet tanpa mengeluarkan suara dan sepatah perkataan pun.

Selain dapat merapatkan hubungan yang sedia terjalin, amalan ziarah juga adalah wadah terbaik untuk menambah kenalan.

Hubungan atas dasar ukhuwah Islamiah mencerminkan betapa indahnya Islam mengatur hubungan sesama manusia.

Tidak rugi menambah kenalan kerana siapa tahu satu hari nanti ketika berdepan kesusahan, tidak putus kita mendapat pertolongan kerana memiliki ramai kenalan.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Tidaklah kalian akan masuk syurga hingga kalian beriman, dan tidaklah kalian dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai? Iaitu sebarkan salam di antara kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Malah, mengucapkan salam antara peraturan penting digariskan Islam tatkala bertandang ziarah ke rumah orang lain.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Hal yang demikian itu lebih baik bagimu agar kamu (selalu) ingat.” (Surah an-Nur, ayat 27)

Ia bukan perkara remeh kerana didikan itu dapat membentuk peribadi luhur dalam diri anak-anak.

Ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh baik dengan melakukannya terlebih dahulu. Jangan lepaskan peluang mendidik anak dengan didikan Islam pada hari raya.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 8:29 AM