MENCARI dan mengumpul harta tidak dilarang syariat, namun usah berlebihan sehingga melupakan kepentingan akhirat.
MENCARI dan mengumpul harta tidak dilarang syariat, namun usah berlebihan sehingga melupakan kepentingan akhirat.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Zakat adalah satu daripada Rukun Islam yang penting dan mempunyai dalil muktamad daripada sudut petunjuk serta sabitnya, sekali gus menjadikan hukum zakat itu jelas dan mudah diketahui daripada sudut agama.

Kewajipan mengeluarkan zakat adalah tanggungjawab individu Muslim selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 56 yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat".

Zakat daripada segi lain adalah suatu peringatan terhadap hati supaya tidak tenggelam kepada kecintaan kepada harta dan dunia secara berlebih-lebihan. Tenggelam kepada kecintaan dunia dapat memalingkan jiwa daripada kecintaan kepada Allah SWT dan ketakutan kepada akhirat. Dengan adanya syariat memerintahkan pemilik harta untuk mengeluarkan zakat, diharapkan pengeluaran itu dapat membendung kecintaan yang berlebih-lebihan terhadap harta, menahan jiwa supaya tidak dikuasai olehnya dan memberikan peringatan bahawa kebahagiaan hidup tidak akan tercapai dengan penundukan jiwa terhadap harta.

Imam ar-Razi mendedahkan rahsia hati seseorang manusia itu dikuasai oleh penyakit cinta dunia seperti berikut: "Sesungguhnya harta yang banyak akan menimbulkan kekuasaan dan kekuatan, yang akan berakibat pula bertambahnya kenikmatan dengan kekuasaan itu. Bertambahnya kenikmatan, mengakibatkan manusia berusaha untuk mendapatkan harta supaya kenikmatan itu semakin bertambah. Dengan cara ini akan berlaku suatu lingkaran iaitu jika manusia sungguh-sungguh berusaha mendapatkan harta, ia akan mendapatkan kekuasaan. Dengan kekuasaan ini akan mendapatkan kelazatan dan dengan ini akan mendorong manusia untuk terus mencari harta. Dan ketika masalah ini berkembang menjadi suatu lingkaran yang tidak pernah terputus, maka syariat memberikan keputusan dan menetapkan hujungnya iaitu dengan mewajibkan pemilik harta untuk mengeluarkan sebahagian harta itu sebagai infak dalam rangka mencari reda Allah SWT sehingga terhalang nafsu ini dari lingkaran syaitan yang tiada hujungnya itu, kemudian kembali beribadah kepada Allah dan mencari reda-Nya".

Apa yang ingin disampaikan oleh Imam ar-Razi adalah, Allah SWT tidak mencintai hamba-Nya yang Mukmin berada di titian yang kosong iaitu penumpukan harta dan kecenderungan yang berlebih-lebihan kepadanya. Sesungguhnya Allah SWT mengingatkan manusia bahawa harta itu hanya alat, bukan tujuan.

Perlu kita fahami, Allah SWT mengizinkan hamba-Nya mengumpulkan harta, membolehkan kehidupan dunia yang baik, namun tidak mengizinkan jika manusia hanya fokus kepada kehidupan dunia. Hal ini kerana manusia diciptakan untuk tujuan yang tinggi dan mulia serta tempat yang abadi. Dunia diciptakan untuk manusia, sedangkan manusia diciptakan untuk akhirat dan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kehidupan di dunia adalah suatu jalan menuju akhirat, tiada salah manusia menghiasi dunia, akan tetapi janganlah lupa bahawa tujuan fokus kepada kehidupan akhirat.

Harta dalam pandangan Islam adalah kebaikan dan nikmat jika diurus tadbir dengan baik. Hal ini kerana manusia diuji dengan harta terbabit seperti firman Allah dalam Surah at-Taghabun ayat 15: "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak kamu ialah ujian". Walaupun terdapat peringatan daripada Allah SWT mengenai ujian terhadap harta, terdapat juga anjuran penyelesaian daripada ujian ini seperti dalam Surah al-Hadid ayat 7: "Dan belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang kamu menguasainya sebagai wakil".

Dengan perbuatan mengeluarkan zakat, bererti seseorang itu melatih diri untuk menandingi fitnah harta dan dunia, sekali gus dapat mengubati hati supaya tidak terjerumus kepada penyakit cinta akan dunia. Penyakit ini tampak ringan, namun membawa kepada implikasi kepada kekuatan spiritual dan rohani seseorang Muslim.

Kesimpulannya, mencari dan mengumpul harta pada dasarnya tidak dilarang dalam syariat Islam, namun tidak boleh berlebihan sehingga melupakan kepentingan akhirat dengan mengabaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat. Apabila berlebihan mencari harta benda, akan menatijahkan penyakit cintakan dunia yang juga satu daripada akhlak yang buruk.

Justeru perbuatan mengeluarkan zakat dapat menyucikan diri, sekali gus mencegah daripada penyakit cinta akan dunia. Hal ini selaras dengan firman Allah pada Surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) serta doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui".

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 6:00 AM