AKHLAK baik yang konsisten akan menjauhkan kita daripada  sifat keji orang munafik.
AKHLAK baik yang konsisten akan menjauhkan kita daripada sifat keji orang munafik.
Oleh Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash, Nabi SAW bersabda: "Empat sikap yang sesiapa ada pada dirinya, maka dia seorang munafik tulen.

"Sesiapa yang pada dirinya salah satu daripada sikap itu, maka dalam dirinya terdapat salah satu sikap munafik, hingga dia meninggalkannya. Iaitu, apabila diberikan amanah dia khianat, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia menipu dan apabila bertengkar dia ingin menang." (Hadis  Sahih Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya sifat munafik itu sangat sukar dilihat dengan mata kasar. Orang yang terkena virus munafik biasanya berusaha untuk meniru perbuatan orang yang beriman, ia turut solat dan berpuasa, namun sebenarnya hatinya lalai dan jauh daripada mengingati Allah SWT. "Dan apabila ia mengerjakan puasa dan solat, ia menyangka bahawa dirinya seorang Muslim." (Hadis Riwayat Muslim)

Orang munafik biasanya menggunakan lidahnya untuk berdusta, mengaku dirinya beriman, tetapi sebenarnya kufur. Cuba memperlihatkan kesempurnaan di depan orang lain supaya tersembunyi keburukan mereka.

Akhirnya Allah yang akan mendedahkan sikap sebenar kaum munafik itu, seperti Firman Allah SWT: "Apabila mereka menjumpai orang Mukmin, mereka berkata, 'Kami telah beriman.' Namun jika mereka menyendiri bersama kuncu-kuncunya, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami berada di pihak kamu. Kami hanya hendak menghina kaum Mukmin.' "Allah akan menghina mereka dan membiarkan mereka  terumbang-ambing dalam kesesatan, sedangkan mereka dalam keadaan sangat bimbang.'" (Surah Al Baqarah: 14-15)

Justeru, kita perlu menjauhi sifat orang munafik kerana mereka tidak akan memperoleh pertolongan Allah SWT. Bahkan tempat tinggal orang munafik adalah di dasar neraka seperti firmanNya:  "Sesungguhnya orang munafik itu akan dicampakkan ke dalam dasar neraka dan kamu tidak akan melihat mereka memperoleh pertolongan." (Surah An-Nisa: 145) 

Oleh sebab itu, kita perlulah mencuba dengan sedaya upaya untuk menjauhi sifat munafik  dengan berusaha bersungguh-sungguh melakukan amalan berikut: 

Solat berjemaah

Menunaikan solat berjemaah tepat pada waktunya terhindar daripada sifat kemunafikan. Ini disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadis baginda: "Sesiapa yang menunaikan solat berjemaah selama 40 hari dengan memperoleh takbiratul ihram bersama imam, maka ia akan bebas daripada dua keadaan iaitu bebas daripada neraka dan bebas daripada sifat munafik." (Hadis Riwayat At- Tirmidzi)

Bersedekah dan usah kedekut  

Nabi SAW bersabda: "Sedekah itu adalah bukti." (Hadis Riwayat Muslim). Bukti dalam hadis tersebut membawa maksud keimanan. Orang munafik biasanya enggan bersedekah, kecuali jika untuk menunjuk-nunjuk atau publisiti peribadi. Maka, perbanyakkanlah bersedekah sama ada sedekah yang nampak atau pun yang tersembunyi.

Biasakan diri bantu orang

Membantu orang lain dan memudahkan mereka amat dituntut oleh Islam. Contohnya ketika melihat orang tua melintas jalan, bantulah. Ketika melihat ibu hamil dalam kenderaan awam, berilah tempat duduk. Ketika melihat wanita membawa barang yang berat, bantulah. Ketika bekerja bantulah rakan sekerja yang meminta tunjuk ajar dan tidak merendahkan mereka. Walaupun nampak mudah, namun akhlak baik yang dikerjakan secara konsisten akan menjauhkan kita daripada sifat keji orang munafik itu.

Mempelajari ilmu agama

Berakhlak baik dan mendalami ilmu agama. Rasulullah  SAW  bersabda:  "Ada dua sifat yang tidak pernah terlintas dalam hati orang munafik iaitu kelakuan yang baik dan kefahaman dalam agama."  (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Solat tahajud

Menghidupkan solat malam. Sahabat bernama Qatadah pernah berkata: "Orang munafik itu sedikit sekali menunaikan solat malam." Ini disebabkan orang munafik hanya akan bersemangat beramal jika ada orang yang melihatnya. Jika tidak ada, maka motivasi untuk beramal soleh juga tiada. Maka jika seseorang Mukmin menunaikan solat malam, maka ia menjadi bukti keimanannya yang hakiki.

Banyakkan berdoa

Banyakkan mengamalkan doa nabi, sebagai contoh doa Nabi Ibrahim: "Jauhkanlah diriku dan anak keturunanku daripada menyembah berhala. Ya Allah, berhala itu telah menyesatkan banyak orang." (Surah Ibrahim: 35 – 36). Selain itu doa Nabi SAW untuk memohon hidayah dan taufik. Baginda biasa membaca doa: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu hidayah, ketakwaan, terpelihara kehormatan dan kekayaan." (Riwayat Ahmad dan Muslim). Begitu juga doa baginda untuk mengelakkan  kekufuran dan kemunafikan iaitu:  "Ya Allah, aku berlindung kepada Mu daripada kefakiran, kekufuran, kefasikan, kedurhakaan, kemunafikan, sum'ah dan riyak."  (Riwayat al Hakim) 

Begitu juga, doa sahabat nabi iaitu Abu Bakrah  RA, yang mana beliau rajin membaca doa  berikut: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran. Ya Allah aku berlindung kepada Mu daripada azab kubur. Tiada Tuhan melainkan Engkau." Beliau  membaca doa ini tiga kali setiap pagi dan petang. Ketika beliau ditanya alasannya, beliau mengatakan: " Aku mendengar Nabi SAW berdoa dengan doa ini, dan aku ingin mengikut sunnah baginda. (Riwayat Abu Daud dan an-Nasai)

Reda pemberian Allah

Setiap manusia ditetapkan rezekinya oleh Allah SWT. Tanggungjawab kita adalah untuk menjalankan amanah-Nya dengan sebaik mungkin sebagai hamba. Jika kita tidak reda dan tersalah langkah, maka terjerumuslah ke lembah kehinaan seperti yang berlaku kepada orang munafik. Sebagaimana disebutkan dalam hadis mengenai sifat munafik, "Jika berjanji, dia ingkari. Jika bercakap, ia berdusta. Jika membuat perjanjian, tidak dipatuhi. Jika diberikan amanah, ia melakukan khianat." 

Mohon perlindungan daripada gangguan syaitan

Setiap manusia mesti berhat-hati dengan gangguan dan godaan syaitan. Ia sentiasa menghasut kita untuk lalai dalam beribadah. Syaitan akan sentiasa membisikkan untuk tidak menjaga solat, tidaklah perlu untuk beribadah. Syaitan juga menghasut supaya tidak mengamalkan sunnah kononnya bimbang riyak dan sebagainya.

Oleh itu sebagai seorang Muslim kita mesti menjaga semua tingkah laku. Setiap perkataan yang diungkapkan mestilah jujur, setiap janji yang diungkapkan hendaklah ditepati, apabila diberi tanggungjawab dan amanah hendaklah ditunaikan dengan sebaik mungkin.

Akhir sekali tidak melakukan kezaliman dan penganiayaan ketika berselisih faham tentang sesuatu perkara. Berlapang dada dalam menerima teguran dan pendapat orang lain.

Penulis Profesor Madya Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 9:35 AM