AMALAN memberikan hadiah yang dianjurkan dalam Islam dapat memupuk kasih sayang dan mengeratkan silaturahim.
AMALAN memberikan hadiah yang dianjurkan dalam Islam dapat memupuk kasih sayang dan mengeratkan silaturahim.
Datuk Mohd Ajib Ismail

DALAM satu pepatah Arab yang masyhur disebutkan "Manusia yang paling bahagia adalah yang sentiasa membuat orang sekeliling mereka bahagia." Boleh jadi atas semangat dan dorongan tersebut, sebilangan manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan dengan memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Bahkan terdapat trend dalam kalangan pempengaruh di media sosial yang berkongsi rezeki dengan memberikan pelbagai bentuk sumbangan berupa hadiah dan wang tunai secara rawak kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Namun perbuatan tersebut hendaklah dilakukan dengan ikhlas bukan bertujuan riak dan menunjuk-nunjuk yang menyebabkan hilangnya pahala kebajikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 23 yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

Antara amalan yang mendatangkan kebahagiaan dalam kehidupan adalah berbuat kebajikan sesama insan. Sekiranya kita melakukan kebaikan serta melaksanakannya dengan penuh keikhlasan, nescaya timbul perasaan senang dan bahagia secara semula jadi dalam sanubari. Mungkin kita pernah bersedekah kepada seorang pengemis di tepi jalan walaupun hanya dengan seringgit dua, belanja ahli keluarga atau rakan sekerja sekali-sekala, lalu perasaan senang muncul secara tiba-tiba tanpa disedari. Begitu juga amalan memberikan hadiah yang dianjurkan dalam Islam bagi memupuk kasih sayang dan mengeratkan silaturahim. Perkara tersebut selaras dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai." (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada seseorang yang benar-benar berada dalam kesempitan dan kesulitan juga mengundang kebahagiaan dalam jiwa. Apatah lagi jika bantuan tersebut diberikan dengan sepenuh hati tanpa mengharapkan sebarang balasan. Perbuatan tersebut akan menyebabkan kita turut tersenyum apabila melihat kesukaran yang dihadapi oleh orang lain dapat diringankan. Demikianlah cara sederhana yang membuatkan diri sendiri menjadi bahagia. Walaupun kita mungkin tidak kaya dari segi harta benda, namun kaya jiwa dengan sifat pemurah dan berkongsi nikmat yang dikurniakan sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa)."

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat Muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan daripada orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya." (Riwayat Tabrani). Dalam hadis yang lain, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah  SAW  bersabda bermaksud: "Allah sentiasa menolong seorang hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya" - (Riwayat Muslim). Saranan tersebut ditegaskan lagi melalui hadis daripada Ibnu 'Umar, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Siapa yang biasa membantu hajat saudaranya, maka Allah akan sentiasa menolongnya dalam hajatnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebahagiaan datang apabila kita saling menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan orang lain. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mengambil peduli dan saling membantu seperti memberi makan orang yang kelaparan atau kesusahan, menziarahi orang sakit dan bertanya khabar serta mendoakan dan membantu memenuhi keperluannya. Dalam sebuah hadis daripada Abu Musa Al-Asy'ari RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Berilah makan terhadap orang yang kelaparan, jenguklah orang sakit dan bebaskanlah tawanan" - (Riwayat Bukhari). Oleh itu umat Islam amat dituntut untuk menjadi insan yang prihatin dan mengasihi orang lain. Sebahagian dari tanda kasih sayang tersebut adalah dengan memberikan manfaat kepada orang lain, bersusah payah demi kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada musibah atau bencana.

Selain bantuan dan pertolongan harta benda dan fizikal, kebahagiaan juga hadir apabila kita gemar menghadiahkan senyuman dan memberikan keceriaan kepada orang lain. Dalam sebuah hadis daripada Abu Dzar RA Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Senyummu di hadapan saudaramu adalah sedekah" - (Riwayat Tirmizi). Bahkan Rasulullah SAW sendiri dikenali sebagai insan yang pemurah dengan senyuman sebagaimana kata Abdullah bin Harits bahawa: "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW." (Riwayat Tirmizi). Dalam hal ini, Al-Qaradhawi menjelaskan bahawa tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya serta tidak salah baginya menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang ringan.

Mengungkapkan dan menuturkan perkataan yang baik juga mendatangkan kebahagiaan bagi orang lain yang mendengar. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata-kata yang baik termasuk pujian yang diberikan sekali-sekala boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain atau mendorong semangat seseorang untuk melakukan kebaikan.

]

Kebahagian juga hadir apabila kita saling mendoakan. Ajaran Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa berdoa untuk saudaranya yang lain dengan kebaikan. Bahkan doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT. Allah SWT juga akan mengurniakan kembali kebaikan kepada kita sama seperti yang didoakan. Dalam sebuah hadis daripada Abi Darda' RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada seorang hamba yang Muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)." (Riwayat Muslim)

Semua amalan yang dinyatakan menjadi kunci utama kebahagian yang mampu dipraktikkan oleh sesiapa sahaja. Pastinya, setiap kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan kebaikan juga sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Rahman ayat 60 bermaksud: "Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?" Maka untuk mendapatkan balasan kebaikan terutamanya ganjaran nikmat di dalam syurga, kita mesti mengamalkan sifat 'ihsan' sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran dengan maksud menjadi orang yang sentiasa berbuat kebaikan melalui cara membahagiakan insan lain.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 5:59 AM