IBN Arabi menumpukan kepada aspek kelebihan bahasa Arab daripada aspek ilm al-bayan dan ilm al-ma’ani sebagai medium dakwah penyampaian.
IBN Arabi menumpukan kepada aspek kelebihan bahasa Arab daripada aspek ilm al-bayan dan ilm al-ma’ani sebagai medium dakwah penyampaian.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Minggu lalu, penulis berkesempatan untuk menghadiri satu forum ilmiah dikenali Program Kota Sufi Se-Nusantara yang menghimpunkan ramai masyaikh sufi Nusantara serta perbahasan mengenai tasawuf.

Salah satu pengisian sepanjang program tiga hari itu adalah Forum Ibn Arabi yang banyak memperincikan tentang pemikiran tokoh besar berkenaan.

Forum berkenaan dipengerusikan oleh Ustaz Faiz Fateh Al-Azhari dan dibarisi tiga ahli panel yang berkaliber iaitu Pengerusi Kerukunan Ulama Nusantara (KUN) Sheikh Rohimudin An-Nawawi Al-Bantani, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Khairy Mahyudin dan juga Pengkaji Pemikiran Ibn Arabi, Ustaz Abd Rahman Tajudin Al-Azhari.

Sebelum sesi forum bermula, Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al-Bantani membentangkan kertas kerja berkenaan dengan istilah pemikiran Ibn Arabi. Beliau menyatakan bahawa setiap bidang ilmu itu mempunyai istilah yang tersendiri yang berbeza dengan makna yang difahami oleh bidang lain. Lebih-lebih lagi yang difahami oleh Ahli Tasawuf yang tenggelam dalam pengalaman kerohanian yang tinggi disebabkan tiada kalimah untuk gambaran tentang perasaan berkenaan.

Kalimah-kalimah al-Ahwal tidak dapat dicapai melalui penaakulan akal semata-mata tetapi perlu melalui konsep al-Zauq dan al-Wijdan. Kalam-kalam Ahli Tasawwuf bukan boleh difahami melalui akal atau pencaindera semata, tetapi perlu melalui al-Kasf dan al-Zauq kerohanian.

Lantas dikupas oleh Ustaz Abd Rahman Tajudin bahawa Ibn Arabi dalam meniti jalan tariqah untuk menuju haqiqah tidak lari daripada landasan Syariah Islamiyyah. 

Beliau menyatakan Ibn Arabi sebenarnya berdiri landasan syariah. Ini terbukti apabila bab-bab ibadah dibahaskan oleh beliau daripada bab toharah kepada peribadatan syariat haji. Beliau menyatakan bab thoharah bagi Ibn Arabi adalah proses takhalli yakni membuang segala kekotoran jiwa. Kemudian bab solat bagi beliau adalah proses tahalli iaitu mengisi segala nilai kehambaan seperti penyerahan diri dalam takbir, ketundukan dalam rukuk, kehinaan dalam sujud serta iftiqar dalam duduk antara dua sujud. Ibadah haji menurut Ibn Arabi seperti dijelaskan oleh Ustaz Abd Rahman adalah proses tajalli iaitu perindahan Hudur Qalbi Ma'a Allah berfokus hanya kepada pencipta. 

Lantas dikupas dengan ilmiah tentang akidah Ibn Arabi selaras dengan akidah Tanzih Ahli Sunnah Wal Jama'ah oleh Dr Muhammad Khairi Mahyudin.  

Menurut beliau, ayat-ayat khabariyyah difahami oleh Ibn Arabi dengan Manhaj Tafwidh. Pendekatan beliau dalam berinteraksi dengan ayat-ayat Mutashabihat sangat taslim. Beliau menjelaskan sifat khabariyyah dalam kitab beliau al-Futuhat al-Makkiyyah.  

Pendekatan Ibn Arabi ialah ayat-ayat   berkenaan adalah Adawat al-Tawsil ila Ifham al-Mukhatibin   dan Taqrib ila al- Ifham Shar'an wa Lungahwiyyan   untuk memudahkan manusia beriman dengan kewujudan Allah dan sifat-sifatNya dengan makna tanzih dan taqdis. Ia selaras dengan pendekatan Ahli Sunah Waljamaah. 

Kemudian sesi forum bicara ilmiah dilanjutkan apabila Ustaz Faiz Al-Fateh Al-Azhari mengemukakan beberapa soalan kepada Ahli Panel tentang kalam-kalam Ibn Arabi. 

Lantas dijawab dengan penuh ilmiah oleh Sidi Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al-Bantani bahawa kalam Tasawwuf Ibn Arabi mempunyai semantiq yang perlu difahami melalui konteks Ruhiyyah seperti istilah Tabaddul, Raja, Ragbah, Khauf, Fana', Isyraq, Kasf, Ladunni dan sebagainya. Beliau menyatakan bahawa ahli sufi melaksanakannya atas dasar Cinta Al-Hubb bukan kerana dasar amalan. Kalam Ibn Arabi tidak lari daripada landasan al-Quran dan as-Sunnah disebabkan setiap lembaran karya beliau penuh dengan ayat-ayat al-Quran.  

Konsep Wahdatul Wujud dijelaskan oleh Sheikh Rohimuddin dengan sebenarnya yang bukan Hulul dan Ittihad. Ibn Arabi sendiri menyatakan bahawa "Siapa yang mengatakan ittihad maka mulhid seperti gabungan antara air dan gelas. Demikian juga Wahdatul Wujud itu bukan Hulul seperti meresapnya bunga mawar ke dalam air. Ia bersih daripada Hulul dan Ittihad.  

Sumbangan terbesar Ibn Arabi adalah Nazariyyat Tajaliyyah. Tajaliyyat berupa cahaya yang membentuk alam semesta ini. Lantas kesempurnaan majla wujud pada Insan Kamil.   Beliau menjelaskan tentang Tauhid Iradah,   Tauhid Syuhadi dan Tauhid Wujudi.

Kemudian Ustaz Abd Rahman Al-Azhari menjelaskan lebih terperinci bahawa kewujudan.

 Ibn Arabi berdasarkan Asma Al-Husna dan juga sifat Allah. Ini bermakna Allah itu Wujud hakiki, lantas mencipta kewujudan untuk dikenali kerana wujud Kamal dan Jamal. Tajalli Zat, Sifat dan Af'al ke atas alam melalui limpahan cahaya.

Dr Khairi Mahyudin menjelaskan dengan ilmiah bahawa Ibn Arabi menumpukan kepada aspek kelebihan bahasa Arab dari aspek ilm al-bayan dan ilm al-ma'ani sebagai medium dakwah penyampaian terutama aspek ketuhanan. Menurutnya, Ibn Arabi menghuraikan kedudukan dan peranan lafaz tashbih dan lafaz tanzih dalam memberi kefahaman kepada masyarakat untuk mengetahui kewujudan Allah   dan kesempurnaanNya dan perbezaan ketara dengan makhluk. 

Dalam hal ini, Ibn Arabi   berpegangan dengan usul ketuhanan bahawa Allah adalah wujud mutlaq Esa, Qadim, tanzih dan taqdis   dan tiada sesutu yang sama dengan-Nya sama dengan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kupasan ketiga-tiga panel membawa masyarakat memahami konsep Akidah, Syariah dan Haqiqah Sufi Ibn Arabi. Ia jawapan yang sangat tuntas dalam berhadapan dengan tuduhan melulu terhadap Ibn Arabi. Forum ilmiah di Kota Sufi ini menjadi medan terbaik dalam penjelasan ilmu-ilmu masa kini terutama berkaitan perbahasan tasawwuf yang tinggi dan bermakna. 

Menurut hadirin yang sempat mengikuti Forum Khas ini menyatakan bahawa Ahli Panel Ilmuwan ASWJ ini   yang bukan sahaja mempunyai kelulusan yang tinggi malah mempunyai taraf pemikiran yang luas dan matang dalam pembacaan karya ilmiah turath. Ada yang menyatakan bahawa ilmuwan sebegini yang sepatutnya perlu difokus kerana mereka ini muncul dan berada di forum-forum ilmiah, pembicaraan intelek yang mantap serta mempunyai mata hati yang penuh intergriti. Ia dilihat sebagai satu kejayaan besar bagi legasi Ahli Sunnah Wal Jama'ah di bumi Malaysia yang berpusat di Negeri Sembilan. Semoga Allah memberkati insan-insan yang mendukung program Kota Sufi ini dengan perbahasan ilmu yang bernas, matang serta berfakta ilmiah yang tinggi.

Penulis Wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:02 AM