JADI kewajipan kita mempertahan dan membela Rasulullah SAW dalam segenap aspek dan keadaan.
JADI kewajipan kita mempertahan dan membela Rasulullah SAW dalam segenap aspek dan keadaan.
Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah

SEJAK akhir-akhir ini timbul isu dalam kalangan masyarakat berkaitan capal Rasulullah SAW.

Memuliakan dan mentakzimkan Rasulullah SAW dan apa-apa yang dikaitkan dengan Baginda SAW adalah dituntut dalam Islam pada setiap masa dan keadaan.

Firman Allah Taala dalam surah al-Fath ayat 8-9: "Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad SAW) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya) dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad SAW) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan supaya kamu kuatkan agama-Nya serta memuliakan-Nya dan supaya kamu beribadat kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."

Ulama mengambil berat dan perhatian khusus berkaitan capal Nabi SAW kerana keterikatannya dengan Baginda SAW dengan memuatkan dalam pelbagai tulisan karangan mereka.

Antara topik perbincangannya adalah berkaitan dengan sifat, ciri-ciri, warna, bilangan, bentuk, lakaran, ukuran, jenis dan puji-pujian sama ada dalam bentuk prosa atau syair.

Ada dalam kalangan mereka meletakkan tajuk khusus bab capal dalam karya mereka seperti dalam Kitab al-Syamail al-Muhammadiah oleh al-Imam Al-Tirmizi RH, kitab Wasaail al-Wusul ila Syamail al-Rasul, karya Al Imam Yusuf bin Ismail al-Nabhani Rahimahullahu dan pelbagai kitab lagi.

Capal dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Na'lu dan kata jamaknya ialah kasut atau capal digunakan sebagai pelindung kaki. Ia sebagaimana yang disebut Ibn Manzur dalam Mu'jamnya bermaksud: "iaitu apa yang melindunginya akan kaki daripada tanah."

  • Kedudukan capal mengikut perspektif sunah

    Capal atau kasut adalah termasuk dalam pakaian yang menjadi kebiasaan Nabi 'Alaihimussalam.

    Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa sandal itu pakaian nabi dan sesungguhnya manusia menggunakannya untuk memijak tanah dan melindungi kaki mereka. (Rujuk: Tuhfah al-Ahwazi, 5/468)

    Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW menggalakkan umatnya supaya sentiasa menggunakan capal kerana ia termasuk dalam salah satu bentuk ibadah. Baginda SAW bersabda bermaksud: "Selalulah memakai sandal. Ini kerana seseorang akan selalu naik kenderaan selama mana dia memakai sandal." (Riwayat Muslim, No 5615)

    Imam al-Nawawi menamakan bab untuk hadis ini iaitu anjuran untuk memakai capal atau alas kaki lainnya. Beliau kemudian menjelaskan maksud hadis terbabit: "Bahawa memakai sandal disamakan seperti orang yang menaiki kenderaan dalam masalah meringankan beban, tidak mudah keletihan dan kakinya selamat daripada sebarang bentuk bahaya seperti batu tajam dan duri di jalanan."

    Hadis ini menganjurkan supaya mengambil persediaan ketika dalam musafir dengan capal atau yang serupanya (bekalan yang diperlukan oleh musafir). (Rujuk: al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 14/73)

    Di samping itu, ulama banyak mengarang bab dan kitab dalam masalah capal nabi SAW. Antaranya Imam al-Tarmizi r.a yang mengarang satu bab khusus dalam kitab al-Syamail al-Muhammadiah berkenaan capal nabi iaitu Bab: Hadis Berkenaan Capal Rasulullah.

    Terdapat banyak riwayat yang menggambarkan bentuk capal Nabi Muhammad iaitu antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada Qatadah bermaksud: Daripada Qatadah, katanya: "Aku bertanya kepada Anas bin Malik, bagaimanakah bentuk capal Rasulullah?" Anas bin Malik menjawab: "Sandal Baginda mempunyai dua tali qibal." (Riwayat al-Bukhari, No 5857)

    Imam Ibn Hajar menjelaskan dalam kitab Fathul Bāri bahawa masing-masing capal itu memiliki dua qibal. Qibal ertinya tali pengikat iaitu tali untuk mengikat syis' (tali pengikat jemari kaki) dan terdapat di antara dua jari kaki. (Rujuk: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 10/325)

    Rasulullah SAW sebagai panduan dalam setiap tatacara kehidupan adalah sebagai satu bukti dalam menzahirkan cinta kepada Rasulullah SAW.

    Hal ini demikian sebagaimana dalam firman Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

    Justeru, jelas bahawa capal atau sandal adalah salah satu pakaian Nabi SAW.

    Oleh yang demikian sekiranya seseorang mencontohi cara pemakaian Rasulullah SAW dengan niat untuk mengikuti sunah Baginda SAW, maka dia mendapat pahala kerana menghidupkan sunah Rasullulah SAW dalam pemakaiannya.

  • Perakuan ulama berkaitan sifat dan lakaran capal Baginda SAW

    Dalam kalangan ulama ada yang menjelaskan gambaran capal Rasulullah SAW dalam bentuk bait-bait syair. Umpamanya Imam al-Hafiz al-Iraqi mengungkapkan menyatakan reka dalam bait-bait syairnya dengan menyebut: "Dan capal Baginda SAW yang mulia lagi dipelihara, berbahagialah bagi sesiapa yang dipilih menyentuhnya."

  • Isu bertabaruk pada lakaran capal yang dibentuk

    Isu ini hendaklah dilihat dalam konteks perbincangan ulama dalam isu tabaruk. Perbahasan isu tabaruk adalah sangat panjang, cuma memadai untuk disebut di sini bahawa hukum secara umum berkaitan tabaruk (mengambil keberkatan) dengan athar Anbiya, auliya dan solihin ketika hidup mahupun ketika sudah wafat, sebahagian besar ulama mazhab yang empat bersepakat akan keharusannya.

  • Berpada dan langkah penjagaan

    Pada masa sama adalah tidak harus sama sekali untuk menjadikan keharusan tabaruk ini membuka ruang pula kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi SAW sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi yang menimbulkan fitnah kepada orang awam.

    Isu tabaruk adalah isu individu kerana ia berkait dengan rasa cinta dan kasih dan bukan umum kepada setiap orang.

    Sekiranya dikhuatiri kerosakan boleh berlaku pada orang awam sama ada dari segi akidah atau hukum fiqh maka ada tuntutan untuk membasminya, maka di sini datangnya peranan otoriti agama untuk melaksanakan apa yang sebaiknya dan ini masuk dalam kategori Sadd al Zari'ah (menghalang sesuatu keburukan) dan ini tentunya akan memerlukan kebijaksanaan tertentu dan kaedah yang sesuai, tetapi semua perkara itu hendaklah dilakukan tanpa ada elemen penghinaan dan memperolok-olok simbol terbabit yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW.

    Kesilapan yang berlaku ialah apabila neraca ilmiah dalam isu tabaruk sebagaimana yang dihuraikan di atas sudah dinafikan sedari awal lalu terus menghukum tabaruk dengan lakaran capal Nabi adalah syirik dan sebagainya dan akhirnya melahirkan pula sikap sinis terhadap apa-apa yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW.

    Tanpa disedari diri Rasulullah SAW yang dicintai dijadikan subjek gurauan dan sendaan.

    Oleh itu, dinasihatkan supaya dalam isu tabaruk ini hendaklah dalam ruang lingkup kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW dan berasaskan prinsip syarak dan dalam satu sudut lain tidak pula memandang sinis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan Rasulullah SAW dan sentiasa menjaga adab kita apabila berbicara berkaitan Baginda SAW.

    Pada masa sama menjadi kewajipan kita untuk mempertahan dan membela Rasulullah SAW dalam segenap aspek dan keadaan.

    Penulis adalah Mufti Wilayah Persekutuan (Kupasan terperinci boleh didapati di laman web Mufti Wilayah Persekutuan)

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 5:59 AM