PROGRAM Kota Sufi Se-Nusantara 2023 bakal berlangsung pada 25-27 Ogos 2023 ini di Masjid Sri Sendayan, Seremban.
PROGRAM Kota Sufi Se-Nusantara 2023 bakal berlangsung pada 25-27 Ogos 2023 ini di Masjid Sri Sendayan, Seremban.
Ahmad Azlan Raihan

Gelombang sufi kian terasa bahangnya. Insya-Allah, pada 25-27 Ogos 2023 ini, para syaikh, ulama dan para pencinta sufi dari Nusantara berhimpun di Masjid Sri Sendayan di program Kota Sufi Se-Nusantara 2023. Program yang bertemakan Memartabatkan Keilmuan Sufi, Memperkasa Ummah Nusantara merupakan program terbuka kepada segenap isi masyarakat yang berminat hadir. Sesungguhnya tasawuf dan kesufian bukan perkara asing di Nusantara ini termasuk di Malaysia.

Ajaran dan pengaruh kesufian kepada masyarakat nusantara khususnya sangat mendarah daging. Hal ini kerana penyebaran Islam di nusantara hasil gerakan dan inisiatif para ulama' sufi yang terkenal dengan kewalian sejak abad-13 seperti Sayyid Jamaluddin Kubro, Wali Songo, Sharif Ali (Pendakwah dan Sultan Brunei ke-3), Sultan Sharif Muhammad Kebungsuan (pendakwah dan Sultan Ke-7 Kesultanan Maguindanao), Sharif al Hasyim (pendakwah dan Sultan-1 Kesultanan Sulu), Syaikh Abdullah al Yamani (pendakwah dan ulama' yang mengislamkan Maharaja Derbar Raja II yang bergelar Sultan Muzaffar Shah I Kedah).

Dalam konteks Malaysia, ulama' berpengaruh dalam masyarakat dan hingga saat ini memberi kesan sama ada penulisan dan dakwah mereka seperti Tok Pulau Manis, Tokku Paloh, Tok Kenali, Tok Selehor, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Tulis, Dato' Bahaman, Mat Kilau, Syaikh Mohd Said Linggi, Paduka Mat Salleh Sabah, Syaikh Muhammad Nor al-Khalidi, Syaikh Husain Kedah al-Banjari, Kiyai Muhammad Ali Qoribun Sijangkang, Kiyai Husein Sijangkang dan ramai lagi. Mereka semua ulama sufi. Dari segi kitab Turath, karya-karya ulama' alim lagi sufi seperti Syaikh Abdullah Al-Fathani, Syaikh Ahmad Al-Fathani, Syaikh Wan Ismail Al Fathani (Pak Da'el) sangat berpengaruh dan demikian juga mereka semua adalah ulama' sufi.

Peranan ulama' dan pendakwah sufi amat besar dan diiktiraf cendiakawan nusantara terkenal iaitu Tuan Guru Haji Wan Saghir dipetik menyatakan:

Kalau kita mau meneliti secara jujur maka kita akan berkesimpulan di tahun-tahun pertama masuknya Islam ke nusantara yang terbesar sekali jasanya golongan shufi bukan golongan lainnya. Hampir semua daerah pertama memeluk Islam bersedia menukar kepercayaan asalnya dari animisme, dinamisme mahupun buddhaisme dan hinduisme tertarik dengan ajaran shufi itu sendiri, ini menunjukkan keahlian tokoh shufi itu menyusun sistem dan metode penyebaran dengan cara-cara khas mereka yang tak dapat ditiru golongan lainnya.

Objektif Program Kota Sufi Se-Nusantara 2023

Program Kota Sufi Se-Nusantara bertujuan memuzakarahkan dan mencetuskan pengisian ilmu kesufian yang menjadi teras kemajuan, keharmonian dan kestabilan sesebuah negara. Kupasan ilmu sufi berteraskan Tasawuf Al-Ghazali, Al-Junaidi disamping menelusuri perjalanan Al-Jailani dan Ibnu Arabi yang sangat berpengaruh di Nusantara. Selain itu, melihat bagaimana kesufian sebagai wadah pembinaan tauhid yang murni serta akhlak yang mulia. Impaknya adalah tersebar penghayatan Islam yang lengkap dalam segenap aspek tetapi berjalan dengan penuh cinta dan damai.

Selain itu, program ini diharap dapat menyemarakkan tasawuf sebagai teras dalam pembangunan peradaban yang bukan sahaja terhad kepada ruh kepada tarbiyah tetapi ruh kepada segenap aspek lain antaranya kepimpinan, pendidikan, ekonomi, perubatan, kekeluargaan dan kebudayaan.

Disamping itu, melalui Kota Sufi ini, dapat mendekatkan dan memberi ruang kepada masyarakat umum mengenali lebih dekat para masyaikh sufi dan para mursyid tarekah yang masih hidup. Disamping itu, masyarakat didedahkan maklumat dan saluran tarekat-tarekat yang benar serta berdaftar untuk diamalkan di dalam kehidupan mereka.

Kelebihan Kota Sufi Se-Nusantara 2023

Program ini tidak menonjolkan satu-satu tarekah tertentu untuk mewujudkan rasa kebersamaan kepada semua para masyaikh dan ahli serta para peminat kesufian. Semua merasa satu keluarga bersatu atas maksud silaturahmi. Disamping itu, menzahirkan kesatuan walaupun kepelbagaian aliran tarekat serta menampilkan bahawa para tokoh kesufian terdiri dari para tuan guru pondok, para pensyarah, professional, asatizah dan orang-orang umum.

Kota Sufi Se-Nusantara 2023 berlangsung selama 3 hari ini padat bermula dari pagi hingga malam dengan pengisian ilmu, forum ilmiah dan tausiah sebagai wadah pencerahan kepada hadirin, sekali gus menjawab isu berbangkit. Bukan itu sahaja, ada pelbagai pameran dan gerai jualan menarik untuk para hadirin. Para hadirin berpeluang menikmati kesenian sufi yang akan dipersembahkan para penganjur

Antara tajuk dibincangkan peranan dan pengaruh Syaikh Muhammad Said Linggi dan sumbangan Syaikh Abdul Wahab Rokan dalam penyebaran tarekah sufiah di nusantara. Selain itu, disentuh tajuk berhubung Nur dan Hakikat Muhammad yang sering diisukan, kepentingan tarekat tasawuf kepada ahli ilmu, konsep martabat tujuh, amalan tarekat tasawuf dari al-Quran dan sunnah, kajian pemikiran Imam Ibnu Arabi, kehidupan para awliya di alam barzakh dan banyak lagi. Disamping tajuk di atas, ada sesi perkongsian pengalaman, iaitu ulama dari Fathani yang akan berbicara kepada hadirin kenapa akhirnya beliau akhirnya bertarekah.

Kemuncak dari Kota Sufi adalah Negeri Sembilan berzikir di malam penutupan. Tagline berzikir adalah suatu cubaan baru selepas banyak tempat mengadakan negeri / daerah berselawat. Untuk kali ini, Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengetengahkan kalimah dan aktiviti zikir secara berjemaah disusuli tausiah wakil negara dari nusantara. Pada malam akhir akan dibacakan resolusi hasil muzakarah tertutup para masyaikh sufi yang berlangsung sebelum acara penutup.

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus menjemput seluruh muslimin dan muslimat untuk menyertai program Kota Sufi Se-Nusantara pada 25-27 Ogos 2023 ini di Masjid Sri Sendayan. Layari laman web kotasufi.com untuk maklumat lanjut.

Penulis Sekretariat Program Kota Sufi Se-Nusantara 2023

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 6:00 AM