PENERAPAN nilai akhlak dititikberatkan dalam pendidikan Islam.
PENERAPAN nilai akhlak dititikberatkan dalam pendidikan Islam.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Mendepani ujian kehidupan khususnya masalah akhlak yang mencabar pada masa kini memerlukan satu pendekatan rabbaniyah yang berteraskan kepada penyucian rohani serta hakikat ilmu sebenar.

Untuk itu, kaedah untuk penyucian hati adalah menerusi jalan sufi yang berteraskan kepada zikrullah serta memberi keutamaan dalam pemantapan syariat Islam.

Disiplin tasawuf hakikatnya tidak dapat dipisahkan dengan sejarah kemasukan Islam ke Nusantara. Ini kerana fakta sejarah membuktikan pendakwah dan penyebar Islam yang awal datang ke Nusantara adalah daripada kalangan ahli sufi. Penerapan disiplin tasawuf dalam kalangan masyarakat kemudian diteruskan oleh ulama Nusantara sendiri sehingga jarang ditemukan dalam kalangan alim ulama Nusantara yang bukan daripada ahli sufi.

Di antara dua pihak yang melampau ini, iaitu yang menolak tasawuf dan golongan menunggang tasawuf menyebabkan ada pihak menganggap tasawuf bukanlah disiplin ilmu fundamental hingga sering terpalit kontroversi.

Ini mengakibatkan pengajian dan pembelajaran tasawuf mula dikesampingkan sedikit demi sedikit. Malah, istilah ilmu tasawuf juga adakalanya takut untuk disebut secara terang-terangan disebabkan gambaran negatif berkenaan. Lalu sebagai alternatif ditukar kepada istilah ilmu adab atau akhlak sahaja. Walhal, istilah adab atau akhlak lebih bersifat umum dan agak berbeza sedikit dengan istilah tasawuf yang lebih bersifat khusus serta sinonim dengan istilah al-ihsan.

Al-Ihsan adalah satu daripada empat rukun utama ad-Din (agama Islam) yang ditanyakan Jibril AS kepada Nabi SAW, lalu jawab baginda: "Kamu menyembah‏ ‏Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan sekiranya kamu tidak dapat ‎melihat-Nya sesungguhnya‏ ‏Dia melihatmu." (Riwayat Muslim)

Menyedari tentang kepentingan untuk kembali memartabatkan jalan sufi serta memberi kefahaman sebenar tentang tasawuf, Jabatan Mufti Negeri Sembilan menganjurkan program keilmuan Kota Sufi Se-Nusantara yang akan mengumpulkan ramai masyaikh sufi.

Program bermula hari ini iaitu 25 hingga 27 Ogos itu akan turut dilengkapkan dengan beberapa pembentangan kertas kerja daripada pakar pelbagai bidang keilmuan Islam sekali gus mampu untuk memberi manfaat kepada pengunjung.

Dalam konteks Malaysia, ulama berpengaruh dalam masyarakat dan hingga saat ini memberi kesan sama ada penulisan atau dakwah mereka antaranya Tok Pulau Manis, Tokku Paloh, Tok Kenali, Tok Selehor, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Tulis, Dato Bahaman, Mat Kilau, Syaikh Mohd Said Linggi, Paduka Mat Salleh Sabah, Syaikh Muhammad Nor al-Khalidi, Syaikh Husain Kedah al-Banjari, Kiyai Muhammad Ali Qoribun Sijangkang dan Kiyai Husein Sijangkang.

Mereka semua ulama sufi. Daripada segi kitab turath, karya ulama alim lagi sufi seperti Syaikh Abdullah Al-Fathani, Syaikh Ahmad Al-Fathani, Syaikh Wan Ismail Al Fathani (Pak Da'el) sangat berpengaruh dan demikian juga mereka semua adalah ulama sufi.

Pengaruh kesufian kepada masyarakat Nusantara khususnya sangat mendarah daging. Hal ini kerana penyebaran Islam di Nusantara hasil gerakan dan inisiatif ulama sufi yang terkenal dengan kewalian sejak abad ke-13 seperti Sayyid Jamaluddin Kubro, Wali Songo, Sharif Ali (pendakwah dan Sultan Brunei ke-3), Sultan Sharif Muhammad Kebungsuan (pendakwah dan Sultan Ke-7 Kesultanan Maguindanao), Sharif al Hasyim (pendakwah dan sultan Kesultanan Sulu), Syaikh Abdullah al Yamani (pendakwah dan ulama yang mengislamkan Maharaja Derbar Raja II bergelar Sultan Muzaffar Shah I Kedah).

Malah, pada zaman ini, peranan tasawuf amat penting dalam mendepani arus materialistik. Sejajar dengan itu, Ustaz Said Hawwa mengemukakan di dalam kitabnya Tarbiyatuna al Ruhiyyah H:13 dengan katanya: "Sesungguhnya zaman kami ini adalah zaman kesyahwatan, kerosakan dan kebendaan yang mesti dibanteras dengan alternatif lain. Dengan tegasnya saya menyatakan sesungguhnya hanyalah pentarbiahan tasawuf yang boleh dijadikan alternatif untuk mengatasi permasalahan ini. Syahwat tidak akan dapat dibanteras dengan nasihat atau kata-kata sahaja, tetapi ia mesti dibanteras dengan penampilan sikap, persekitaran yang baik dan pentarbiahan. Kecintaan kepada kebendaan pula tidak akan dapat dipadamkan dengan kata-kata sahaja, tetapi hendaklah dipadamkan dengan perasaan dan kemanisan iman. Penderhakaan dan pelampauan tidak dapat diubati hanya dengan kata-kata, tetapi ia dapat diubati dengan merendahkan diri kepada Allah, ketakwaan, kewarakan dan adab. Inilah jalan amali (praktikal) iaitu tasawuf."

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:00 AM