KERAJAAN Arab Saudi memutuskan ibadat haji musim 1442H dihadkan untuk warganegaranya dan warganegara lain sedia ada di negara itu serta terbatas kepada 60,000 jemaah sahaja. FOTO AFP
KERAJAAN Arab Saudi memutuskan ibadat haji musim 1442H dihadkan untuk warganegaranya dan warganegara lain sedia ada di negara itu serta terbatas kepada 60,000 jemaah sahaja. FOTO AFP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Tahun ini menjadi tahun kedua umat Islam tidak dapat mengerjakan ibadah haji seperti biasa. Ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Namun, akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kerajaan Arab Saudi terpaksa mengehadkan jemaah yang dibenarkan untuk mengerjakan haji.

Bagi musim haji 1442H, kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji hanya dihadkan untuk warganegaranya dan warganegara lain yang sudah sedia ada dalam negara itu. Bilangan mereka pula terbatas kepada 60,000 jemaah termasuk dianggarkan lebih 200 rakyat Malaysia di Arab Saudi yang layak menunaikan haji tahun ini.

Oleh kerana kerajaan Malaysia masih tidak dapat menghantar jemaah haji kali ini, tentu ramai bakal jemaah yang berasa amat dukacita kerana terpaksa menangguhkannya lagi. Semoga Allah SWT menerima niat dan azam mereka untuk melaksanakannya dengan ganjaran pahala yang sempurna.

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW ketika kembali dari Perang Tabuk dan hampir mendekati kota Madinah, baginda bersabda: "Sesungguhnya di Madinah ada beberapa kelompok orang yang tidaklah kamu sekalian menempuh perjalanan dan tidaklah kamu sekalian melalui suatu lembah melainkan mereka sebenarnya ikut serta bersama kalian (dari segi ganjaran pahala)." Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, sedangkan mereka berada di Madinah saja?" Baginda menjawab: "Mereka berada di Madinah kerana mereka dihalang oleh keuzuran." Riwayat al-Bukhari

Dalam hadis lain pula riwayat Jabir RA disebut: "Mereka dihalang oleh sakit." Riwayat Muslim

Namun begitu, lafaz 'keuzuran' dalam hadis Anas RA lebih umum daripada lafaz 'sakit'. Ia merangkumi semua yang terhalang daripada ikut serta kerana terlalu tua, sakit, terpaksa menjaga orang sakit atau ibu bapa yang uzur, mengawal keselamatan kota dan termasuk juga wabak penyakit.

Dalam menghuraikan hadis di atas, Imam an-Nawawi berkata dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim: "Dalam hadis ini terdapat kelebihan berniat untuk melakukan kebaikan. Sesungguhnya orang yang berniat untuk berperang dan selainnya daripada amalan ketaatan (seperti ibadah haji - penulis), lalu ditimpa suatu keuzuran yang menghalangnya maka dia akan memperoleh pahala niatnya itu. Oleh itu, setiap kali dia menambah rasa dukacita kerana terhalang daripada melakukannya, di samping bercita-cita untuk turut serta bersama pejuang dan yang seumpama mereka itu (seperti jemaah haji - penulis) maka akan bertambahlah pahalanya."

Meskipun konteks hadis diucapkan mengenai kelebihan niat berjihad di jalan Allah, namun dari segi istinbat hukum Imam an-Nawawi tidak membataskan maksudnya hanya kepada aspek berkenaan sahaja, malah ia merangkumi semua amalan ketaatan kepada Allah SWT.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari turut menyebut pengajaran umum daripada hadis: "Terdapat padanya pengajaran bahawa seseorang itu boleh mencapai pahala orang yang beramal melalui niatnya sekiranya dia dihalang oleh keuzuran daripada amalan berkenaan."

Perlu diketahui, pahala yang dicapai melalui niat ini tertakluk kepada hati yang benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amal kamu." Riwayat Muslim

Dua Tanah Suci iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang menjadi tumpuan jemaah haji adalah simbol penyatuan bagi umat Islam di seluruh dunia. Jika sebelum ini mereka dapat bersatu menunaikan ibadat haji secara bersama dengan aman dan tenteram, sewajarnya mereka juga dapat bersatu dalam menerima keputusan kerajaan Arab Saudi itu dengan penuh reda serta akur.

Orang yang bertuah dapat menunaikan haji atau umrah tentunya bakal memperoleh ganjaran pahala yang cukup besar seperti hadis Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Umrah demi umrah berikutnya adalah penghapus dosa antara jarak masa kedua-duanya dan haji mabrur tidak ada sebarang balasan baginya kecuali syurga." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Begitu juga hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menunaikan haji di Baitullah ini kemudian dia tidak berkata-kata keji dan tidak berbuat fasik maka dia akan kembali dalam keadaan seperti saat ibunya melahirkannya (iaitu suci tanpa sebarang dosa)." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Mudah-mudahan mereka yang terhalang daripada menunaikan haji disebabkan wabak penyakit ini turut memperoleh ganjaran pahala sedemikian atau paling tidak sebahagian daripadanya melalui niat hati mereka yang ikhlas kerana Allah SWT

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:21 AM