KESAN dan kesinambungan amalan ibadah haji ketika pulang ke tanah air perlu diteruskan agar menjadi kelaziman. FOTO Reuters
KESAN dan kesinambungan amalan ibadah haji ketika pulang ke tanah air perlu diteruskan agar menjadi kelaziman. FOTO Reuters
Dr Azri Bhari

Kepulangan jemaah haji ke tanah air sudah tentu dinanti-nantikan dan pasti akan disambut oleh seluruh ahli keluarga tercinta dengan penuh perasaan kerinduan.

Sewajarnya, jemaah haji yang telah berpeluang menjadi tetamu Allah pada tahun ini menginsafi dan bermuhasabah diri terhadap peluang dan anugerah yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Justeru, keberkesanan dari amalan ibadah haji yang telah dilaksanakan oleh tetamu Allah SWT ketika di Tanah Suci perlu terus berkesinambungan dan berkekalan dilaksanakan setelah kembali ke tanah air.

Pertama, beramal dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Pelaksanaan ibadah haji perlu dimulakan dengan niat yang jelas dan tertib mengikut susunan ibadah seperti niat, tawaf, saie, wukuf di Arafah dan sebagainya.

Bermakna seseorang yang pulang daripada Makkah akan berterusan melaksanakan amalan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT dan bukan sebab lain seperti riyak, sum'ah, 'ujub dan sebagainya.

Kedua, melazimi memohon keampunan, mengingati kematian dan perbanyakkan amalan soleh. Pakaian putih melambangkan kesucian dan fitrah melalui pakaian jemaah haji yang sama warna ketika wukuf di Arafah.

Falsafah wukuf di Arafah memberi gambaran Padang Mahsyar di Akhirat kelak. Sewajarnya jemaah yang pulang terkesan mengingati Hari Akhirat yang semua manusia akan berkumpul serta memberi fokus yang melebihi kehidupan sementara di dunia ini.

Ketika berwukuf, jemaah haji juga dianjurkan supaya banyak berdoa, solat sunat dan istighfar sehingga terkesan terus istiqamah atau konsisten melaksanakan ibadah seperti yang telah dilakukan sepanjang tempoh wukuf tersebut dari gelincir hingga terbenam matahari.

Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya telah bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Nabi SAW turut menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam di kawasan tersebut juga.

Ketiga, simbolik melontar 'jamrah' adalah membenci iblis dan syaitan. Ketika Nabi Ibrahim diberi wahyu menyembelih puteranya Nabi Ismail berhampiran lereng gunung di Mina, iblis telah muncul dengan menyamar sebagai manusia untuk menggoda Nabi Ibrahim supaya membatalkan niat tersebut.

Menerusi peristiwa inilah umat Islam diwajibkan melontar Jamrah menggunakan kerikil kecil, sebagai simbol mengusir iblis dan syaitan dari dalam diri manusia. Oleh itu, jemaah yang pulang akan berusaha untuk menjauhi perlakuan musuh utama orang beriman dan Nabi.

Keempat, melaksanakan ibadah korban yang membawa pengertian pengorbanan diri dan harta benda. Seseorang yang pulang dari haji tidak akan kedekut atau bakhil dengan harta yang dimiliki, sebaliknya tetap meneruskan kesinambungan amalan sedekah dan infaq di jalan Allah SWT walupun jumlah yang sedkit. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." (Surah al-Kauthar: 2)

Kelima, perubahan akhlak lebih baik termasuk menjaga masa dan tidak melakukan perkara lagha atau sia-sia.

Ketika jemaah di Tanah Suci tidak membuang masa, sebaliknya ke Masjidil Haram lebih awal untuk menjaga waktu solat. Begitu juga, sentiasa memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, solat tahajjud, solat jemaah dan sunat serta mengimarahkan masjid. 

Keenam, berdisiplin dan mentaati perintah Allah SWT. Nabi SAW bertahalul dengan menggunting atau mencukur rambut sebagai tanda tamatnya amalan haji. Simbolik 'tahalul' adalah manusia harus patuh dalam melakukan perkara yang dibolehkan syariat dan meninggalkan perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya.

Demikianlah, kesan dan kesinambungan amalan ibadah haji ketika pulang ke Tanah Air perlu diteruskan dan dikekalkan menjadi kelaziman oleh jemaah haji yang berpeluang menjadi tetamu Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 9:11 AM