POKOK Lycium shawii yang dikatakan pohon Gharqad. - Gambar Flora of Israel
POKOK Lycium shawii yang dikatakan pohon Gharqad. - Gambar Flora of Israel

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Tidak akan datang hari kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi dan membunuh mereka, sehingga bersembunyilah orang Yahudi di belakang batu dan kayu, lalu batu dan kayu berkata, 'Wahai orang Muslim, wahai hamba Allah, ini ada orang Yahudi di belakang aku, ke marilah dan bunuhlah dia kecuali pohon al-Gharqad (yang tidak berbuat demikian kerana ia termasuk pohon Yahudi'." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Nama pohon al-Gharqad sekali lagi diperkatakan susulan krisis Palestin-Israel yang sudah memasuki bulan kedua ini. Ia juga sering dilaporkan dalam beberapa laporan portal media di negara Islam termasuk di Indonesia, sejak kebelakangan ini.

Namun, terdapat pertikaian apa itu pohon al-Gharqad? Secara umumnya, ada yang merujuknya pokok Lycium shawii sebagai gharqad. Tapi, ada pula yang menyatakan gharqad adalah Nitraria retusa. Ia menimbulkan persoalan mana satu yang benar? Ini memandangkan kedua-dua tumbuhan ini seakan serupa. Kedua-duanya berduri dan mempunyai ketinggian kira-kira antara satu dan tiga meter (m).

Menurut satu artikel yang diterbitkan portal Indonesia, Republika, pencarian Lycium shawii sebagai pokok gharqad tidak akan menunjukkan hasil di laman-laman web Israel. Portal sama turut menyatakan meskipun banyak pihak mendakwa bahawa Israel giat menanam pokok gharqad, nama dalam Bahasa Arab itu itu tidak disebut secara khusus dalam beberapa laman web mengenai flora dan fauna di negara berkenaan.

POKOK Lycium shawii yang dikatakan pohon Gharqad mempunyai duri.
POKOK Lycium shawii yang dikatakan pohon Gharqad mempunyai duri.

Semakan terkini juga mendapati bahawa Lycium shawii tidak dinyatakan menerusi seksyen soalan dan jawapan (Q&A) mengenai jenis pokok yang ditanam dalam program penanaman pokok Tabung Kebangsaan Yahudi (JNF). Sebaliknya, ia menyatakan bahawa antara pokok yang ditanam menerusi program itu adalah pelbagai pokok yang secara semula jadi tumbuh di sesuatu kawasan di negara haram Israel. Ia termasuk zaitun, palma, oak, Jerusalem pine, sycamore dan sipres. Ia sedikit menimbulkan persoalan memandangkan organisasi sama dikatakan sudah menanam 240 juta pohon di Israel. Untuk rekod, program ini membolehkan mana-mana diaspora Yahudi di seluruh dunia menderma untuk penanaman pokok di Israel.

Sebaliknya, anda mungkin terkejut bahawa Lycium shawii sebenarnya turut menjadi tanaman untuk program penghijauan di negara Islam lain, seperti Qatar, dan di Dubai, selain negara lain di seperti Zimbabwe di Afrika. Semakan di laman web, floraofqatar.com, misalnya, menampilkan informasi mengenai Lycium shawii secara cukup terperinci, berserta gambar-gambar penanamannya di negara itu.

Ia juga menunjukkan foto buah pada pohon berkenaan dan nama lainnya iaitu Awsaj dan Desert Thorn.

Nama itu sinonim dalam bahasa Latin, Lycium abeliaeflorum, Lycium albiflorum, Lycium arabicum, Lycium barbarum, Lycium cufodontii, Lycium ellenbeckii, Lycium erythraeum, Lycium jaegeri, Lycium javellense, Lycium merkii, Lycium orientale, Lycium ovinum, Lycium persicum, Lycium somalense, dan Lycium tenuiramosum, Lycium withaniifolium.

Sementara itu, semakan di Rizab Pemuliharaan Gurun Dubai (https://www.ddcr.org/flora-and-fauna/) pula menyatakan Lycium shawii atau Desert Thorn adalah pokok renek berduri yang sangat tegar, sehingga tiga m tinggi, mempunyai batang tegak, banyak bercabang dengan berduri. Daunnya nipis, bentuk sudu dengan tepi licin, tirus di pangkal. Bunganya pula kecil. Selain itu buah pohon ini pula beri bersaiz kacang, sfera, berwarna oren, boleh dimakan dan mengandungi banyak biji.

Seperkara yang menarik adalah batangnya boleh direbus di dalam air dengan cecair yang ditapis untuk digunakan sebagai julap dan mempunyai manfaat dalam aspek diuretik. Daunnya dikatakan boleh digunakan untuk merawat penyakit kuning di Arab Saudi. Buah beri pada pokok ini boleh dimakan apabila masak, dan boleh ditumbuk dan dimakan untuk merawat kolik. Selain itu, ia juga digunakan di sekeliling mata untuk manfaat penglihatan.

Pada masa sama, nama Nitraria retusa yang digunakan untuk merujuk kepada pohon gharqad pula ada dinyatakan menerusi laman web flowersinisrael. Tanaman ini disebut dengan nama dalam Bahasa Arab iaitu gharqad atau ghardaq. Pohon ini kerap disebut sebagai tumbuhan semak. Ada juga hasil pencarian di Wikipedia (yang boleh disunting oleh mana-mana pihak) bahawa Nitraria retusa adalah pohon gharqad.

Semakan di laman web floraofisrael pula tidak merujuk Lycium shawii sebagai gharghad, namun ia menyatakan nama sinonimnya yang lain iaitu Arabian boxthorn atau Lycium arabicum boiss. Namun, laman web sama ada menyiarkan peta taburan pohon ini, yang kelihatan di kawasan semak dan gurun pasir, khususnya di kawasan selatan Israel.

POKOK Lycium shawii yang dikatakan pohon Gharqad.
POKOK Lycium shawii yang dikatakan pohon Gharqad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:46 AM