SETIAP Muslim memberikan tumpuan setiap saat ketika mengerjakan ibadah solat dan menghayati setiap ayat yang diungkapkan supaya diberikan khusyuk dalam diri.
SETIAP Muslim memberikan tumpuan setiap saat ketika mengerjakan ibadah solat dan menghayati setiap ayat yang diungkapkan supaya diberikan khusyuk dalam diri.
Dr Azri Bhai

PERINTAH solat fardu diberikan secara langsung oleh Allah SWT kepada Nabi SAW dalam peristiwa israk dan mikraj yang disambut saban tahun pada bulan Rejab adalah untuk mengajar erti kehambaan kepada Allah SWT.

Solat daripada sudut bahasa boleh membawa erti doa iaitu permintaan hamba kepada Allah SWT atau juga bererti menghubungkan iaitu suatu amalan hubungan antara hamba dengan Allah SWT.

Solat adalah waktu seseorang hamba untuk hampir, rapat dan dekat dengan Allah SWT dalam berdoa, mengadu permasalahan, melepas kerinduan dan bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan.

Solat juga boleh menjalin hubungan dan ingatan berterusan dengan Allah SWT tanpa ada ruang untuk terpisah dalam jangka masa yang lama melalui pelaksanaan solat fardu lima waktu, solat sunat rawatib, solat sunat pada malam hari, solat sunat mutlak dan sebagainya.

Terdapat pelbagai hikmah pensyariatan solat yang perlu difahami dan diketahui oleh seluruh masyarakat Islam supaya lebih memberi perhatian terhadap kepentingan ibadah solat yang telah difardukan.

Pertama, merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada Hari Akhirat. Setiap amalan manusia di dunia ini akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak. Ibadah solat menjadi perkara pertama yang akan dihisab berbanding daripada amalan lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Perkara pertama seorang hamba itu dihitung adalah solatnya, jika sempurna solatnya. Jika tidak, Allah berfirman: 'lihatlah kepada solat-solat sunat yang dikerjakan oleh hamba-Ku ini jika ada yang sunat sempurnakanlah solat-solat fardhu itu dengan solat-solat sunat.'" (Riwayat Nasaie)

Hadis di atas menjelaskan kepentingan solat fardu terhadap setiap individu Muslim. Manakala, solat sunat pula mampu menutup lompong solat fardu yang tidak sempurna dan kurang berkualiti.

Namun, segelintir masyarakat kini menjadikan solat hanya sebagai suatu ibadah tambahan sahaja berbanding ibadah yang lain yang lebih diutamakan seperi puasa, solat sunat Aidilfitri, solat sunat Tarawih sehinggakan begitu meriah disambut. 

Solat fardu merupakan kewajipan setiap individu Muslim dan lebih dianjurkan untuk didirikan secara berjemaah. Manakala, solat sunat itu lebih dianjurkan untuk didirikan secara sendirian. Namun, masyarakat lebih mementingkan suasana, berbanding kepentingan melakukan sesuatu ibadah.

Kedua, melatih dan mendidik diri sentiasa berdisiplin. Setiap ibadah memiliki syarat, rukun dan perkara yang perlu dipatuhi, termasuklah dengan ibadah solat. Sekiranya, individu Muslim memelihara dan menekuni setiap syarat dan rukun yang telah ditetapkan pastinya menjadi suatu medium latihan untuk membentuk disiplin diri.

Pelbagai perkara yang perlu dipastikan sebelum mendirikan solat seperti menjaga kebersihan diri. Umpama menghadap seseorang yang terhormat pastinya perlu mengenakan pakaian yang bersih dan kemas, begitu juga dengan ibadah solat yang perlu dalam keadaan yang terbaik untuk menghadap dan bertemu Allah SWT.

Selain itu, pelaksanaan solat lima kali sehari perlu didirikan di awal setiap waktu. Sikap bertangguh adalah perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab. Ketetapan waktu solat membentuk masyarakat Islam lebih menghargai dan menepati waktu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Seterusnya apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah ketika kamu berdiri, pada waktu duduk dan ketika berbaring. Kemudian, apabila kamu telah merasa aman, maka laksanakanlah solat itu. Sesungguhnya, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman." (Surah al-Nisa': 103)

Ketiga, berpeluang menghapuskan segala dosa yang pernah dilakukan. Solat lima waktu yang diwajibkan sehari semalam adalah nikmat yang sangat besar kerana dapat menghapus dosa-dosa yang telah dilakukan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Solat lima waktu
dan solat Jumaat selepasnya merupakan pengampunan dosa di antaranya selagi tidak melakukan dosa besar." (Riwayat Muslim)

Selain itu, solat juga mampu mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar." (Surah al-'Ankabut: 45)

Keempat, meningkatkan dan menzahirkan sifat kehambaan dalam diri. Ibadah solat mengingatkan manusia kepada identiti dan kedudukan diri yang sebenar sebagai hamba kepada Allah SWT yang penuh kehinaan.

Sekiranya manusia lalai dan lupa hakikat diri disebabkan kesibukan dan keseronokan dunia, maka ketibaan waktu solat akan berfungsi untuk membantu dan memperbaharui ingatan bahawa diri ini adalah hamba yang dimiliki oleh Allah SWT.

Demikianlah, solat bukan sekadar rutin harian yang biasa atau amalan ritual semata-mata, sebaliknya mengandungi pelbagai maqasid atau tujuan di sebalik pensyariatan ke atas setiap individu Muslim.

Sewajarnya, setiap Muslim memberikan tumpuan setiap saat ketika mengerjakan ibadah solat dan menghayati setiap ayat yang diungkapkan supaya diberikan khusyuk dalam diri.


Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 5:59 AM