FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Tindakan provokasi agama atau perbuatan yang mencetuskan kemarahan dan menyinggung sensitiviti pegangan serta kepercayaan orang lain amalan terkutuk yang dilarang dalam ajaran Islam. Perbuatan itu lambat-laun boleh menimbulkan konflik dan ketegangan yang berlarutan sehingga mengundang pergaduhan serta peperangan sekiranya tidak dapat dikawal. Provokasi adalah sifat dan amalan yang didalangi oleh syaitan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 48 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: 'Pada hari ini tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung serta penolong kamu.' Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: 'Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.'"

Islam mengajar umat manusia supaya tidak membalas setiap cercaan yang dihamburkan sebaliknya tindakan membalas serangan musuh di medan perang hanyalah bagi mempertahankan diri. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membalas terhadap golongan yang memusuhi dengan kata-kata kesat sebaliknya baginda tersenyum dan memberikan nasihat secara berhemah serta tidak menyakiti atau melukakan perasaan orang lain. Kita sering diingatkan agar tidak mudah melatah terhadap cacian dan kejian sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Zar RA yang bermaksud: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (Riwayat al-Bukhari)

Perbuatan provokasi agama yang menjurus kepada Islamophobia dan ekstremisme atau keganasan adalah bertentangan dengan prinsip ajaran Islam yang menitikberatkan nilai kasih sayang dan sifat mengambil berat terhadap manusia sama ada sesama Islam mahupun dengan bukan Islam. Justeru sebarang tindakan berbentuk keganasan termasuk yang dilakukan oleh umat Islam sendiri bukanlah mencerminkan ajaran Islam yang sebenar kerana Islam menentang segala bentuk penindasan dan kezaliman. Ajaran Islam juga menegah umatnya daripada menyakiti orang lain apatah lagi membunuh tanpa hak. Dalam peristiwa pembukaan kota Makkah, Rasulullah SAW memerintahkan umat Islam supaya hanya memerangi golongan yang memerangi mereka sahaja selaras dengan contoh teladan yang ditunjukkan oleh baginda sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 8 bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa kamu lakukan."

Islam adalah agama yang menjaga hak kemanusiaan demi martabat kemuliaan insan sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran pada Surah at-Tin ayat 4yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."

Oleh itu menjadi tanggungjawab bagi umat manusia untuk memelihara kemuliaan itu dengan melindungi keselamatan dirinya serta orang lain pada setiap masa. Firman Allah pada Surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya." Kebebasan bukanlah bermaksud seseorang bebas melakukan sebarang tindakan sehingga menyakiti orang lain. Dalam konteks Malaysia, panduan tentang had kebebasan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras utama masyarakat dibangunkan.

Tragedi membakar kitab suci al-Quran yang dilakukan oleh pemimpin ekstremis politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan baru-baru ini adalah contoh tindakan provokasi yang menerima kecaman hebat masyarakat Islam antarabangsa di seluruh dunia. Begitu juga tindakan ekstremis serangan bom bunuh diri ke atas sebuah masjid di Pakistan yang mengorbankan banyak nyawa. Kerajaan Malaysia telah menyatakan pendirian tegas dan tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan keganasan yang menggugat keharmonian hidup beragama dan bernegara. Perdana Menteri juga menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited dalam menghormati hak setiap individu untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Umat Islam hakikatnya bertanggungjawab untuk menyebarkan mesej kedamaian dan keharmonian Islam kepada seluruh dunia selaras dengan firman Allah pada Surah ali Imran ayat 64 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah.' Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: 'Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam.'"

Antara fokus Pelan Tranformasi Al-Falah yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini juga menekankan kepentingan pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun dengan memperluaskan jaringan kerjasama umat Islam di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan perpaduan serta melestarikan budaya dialog harmoni antara penganut agama dan tamadun. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga dilaporkan akan menyelaras usaha mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama. Pendakwah berkewajipan menyampaikan ajaran Islam dengan pendekatan yang terbaik serta perlu bijak mencari medan yang sesuai untuk memberikan pencerahan dan kefahaman kepada umat agar sindrom Islamophobia dan ekstremisme dapat dibanteras.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 6:00 AM