FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Datuk Mohd Ajib Ismail

Asas utama kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah masyarakat berkait rapat dengan nilai peradaban yang menjadi budaya serta amalan hidup setiap warganya. Antara nilai itu sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Malaysia dalam gagasan Negara Madani iaitu ihsan, rahmah dan hormat seperti terkandung dalam al-Quran yang juga sebahagian daripada akhlak serta keperibadian Nabi Muhammad SAW.

Ihsan bermaksud berbuat baik atau perbuatan seseorang untuk mengerjakan yang makruf dan menahan diri daripada dosa. Istilah ihsan terpakai dalam aspek hubungan manusia dengan Allah SWT serta sesama makhluk. Menurut Hamka dalam tafsir Al-Azhar, ihsan bermaksud selalu baik dan memperbaiki, selalu berbuat kebaikan, melakukan yang lebih elok dan lebih baik, demi diri dan untuk orang lain. Amalan itu lambat-laun menjadikan kehidupan masyarakat bertambah maju dan makmur. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Nahl ayat 128 yang bermaksud "Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya."

Ihsan juga sering dikaitkan dengan sifat peduli, belas kasihan dan memenuhi keperluan orang lain. Ihsan adalah perbuatan bagi menjalani kehidupan yang diredai Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Nahl ayat 90 yang bermaksud "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji lagi mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya." Perbuatan ihsan dijelmakan melalui penghayatan terhadap ajaran Islam dan perinsip keimanan. Firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud "Dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."

Nilai ihsan perlu dibangunkan bermula daripada keluarga sehingga kepada masyarakat dan pemerintahan negara. Perkara itu selaras dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran supaya berbuat kebajikan kepada ibu bapa dan ahli keluarga, berbuat baik terhadap orang yang menyakiti kita serta berlaku adil dalam masyarakat. Berbuat ihsan dalam kehidupan akan membangkitkan rasa cinta, persaudaraan, saling menyayangi, tolong-menolong, bertolak ansur serta kesepaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama. Allah SWT menjanjikan ganjaran kepada golongan yang berbuat ihsan sebagaimana firman-Nya dalam Surah ar-Rahman ayat 60 yang bermaksud: "Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?" Rahmah pula bermaksud rasa belas dan kasih sayang seperti firman Allah dalam Surah al-An'am ayat 133 yang bermaksud: "Dan Tuhanmu Maha Kaya lagi melimpah-limpah rahmat-Nya. Jika Dia kehendaki, nescaya Dia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendaki-Nya sebagaimana Dia menjadikan kamu daripada keturunan kaum yang lain."

Ajaran Islam menganjurkan supaya umat manusia hidup secara muafakat, bekerjasama dan berkasih sayang seperti firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: "Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)."

Ajaran yang terkandung dalam al-Quran amat menekankan kepentingan memelihara hubungan persaudaraan, menjadi pendamai bagi pihak yang bertelagah, menjaga tutur kata dan budi bicara supaya keharmonian dan kemesraan hidup bermasyarakat sentiasa terpelihara. Sifat rahmah diamalkan Rasulullah SAW dalam kehidupan baginda dengan menunjukkan sikap belas kasihan terhadap segenap lapisan masyarakat termasuk makhluk lain seperti binatang dan alam sekitar. Dalam aspek kepemimpinan pula, baginda menunjukkan sikap rahmah sebagai suami, bapa serta pemimpin masyarakat. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Orang yang mengasihi nescaya akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi)

Hormat pula sifat yang perlu diamalkan demi memelihara maruah dan hak sesama insan. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Isra' ayat 70 yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami memuliakan anak Adam dan Kami beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat serta di laut dan Kami memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan."

Sifat saling menghormati adalah sangat dituntut sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi." (Riwayat al-Bukhari)

Kita dituntut untuk saling menghormati kerana sifat itu menjadi lambang keindahan Islam, sekali gus resipi untuk merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat. Firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 86 yang bermaksud: "Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu." Berkaitan toleransi dalam kehidupan beragama, perkara itu bersandarkan firman Allah dalam al-Quran Surah al-An'am ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."

Selain itu, keharmonian masyarakat mesti dipelihara dengan menjauhi sikap saling menuduh tanpa asas dan bukti yang jelas. Perkara terbabit berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Zar RA, dikatakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (Riwayat al-Bukhari)

Sempena Hari Wilayah Persekutuan bertemakan 'Wilayah Persekutuan Untuk Semua' yang bakal disambut pada 1 Februari depan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan beriltizam menterjemahkan nilai ihsan, rahmah dan hormat dalam segenap program serta perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat melalui aktiviti seperti dakwah, keilmuan, kebajikan dan masjid mesra orang kurang upaya (OKU) dengan kerjasama pelbagai pihak. Mari kita semua menyemai sifat ihsan, rahmah dan hormat dalam kehidupan bermasyarakat supaya lahir sebuah Negara Madani yang diimpikan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:04 AM