AL-QURAN Karim dipelihara oleh Allah SWT daripada penyelewengan apatah lagi segala bentuk penghinaan.
AL-QURAN Karim dipelihara oleh Allah SWT daripada penyelewengan apatah lagi segala bentuk penghinaan.
Oleh Dr  Mohd Hamidi Ismail dan Prof  Madya  Dr  Ahmad Najaa Mokhtar

Memasuki tahun baru 2023, umat Islam sekali lagi digegarkan dengan tindakan provokasi membakar naskhah suci al-Quran pada 22 Januari oleh Rasmus Paludan, pelampau sayap kanan Parti Stram Kurs, setelah pernah merancang melakukan tindakan yang sama pada 14 April tahun lalu. Paludan yang memiliki dua kerakyatan Denmark-Sweden telah melakukan jenayah agama dan kemanusiaan terbabit di hadapan Kedutaan Besar Turki di Stockholm, bukan sahaja membangkitkan kemarahan umat Islam malah mencalar kredibiliti kerajaan Sweden yang mempromosikan toleransi beragama sebagaimana termaktub dalam Tolerance Act (Sweden) 1781 dan pindaannya 1951. Kerajaan Sweden membelakangi kecemerlangannya dalam laporan PEW Research Center sebagai negara sekular paling mesra menerima kepelbagaian anutan apabila meluluskan permit kepada tindakan jenayah Paludan. Lebih mengejutkan, pihak berkuasa keselamatan kerajaan Sweden dikerahkan berada di tempat kejadian bagi memberi perlindungan kepada Paludan.

Beberapa hari selepas kejadian itu, satu lagi tindakan provokasi sama dilakukan ke atas kitab suci umat Islam mengambil tempat di Den Haag, Netherlands oleh Edwin Wagensfeld, ahli politik sayap kanan Belanda dan ketua pelampau anti-Islam Pegida. Sementara itu di Norway, Lars Thorsen seorang lagi pelampau agama turut bersedia dengan tindakan yang sama, seolah-olah melakukan penganiayaan ke atas al-Quran Karim dan perasaan umat Islam adalah acara bersiri yang mesti diadakan di atas slogan kebebasan bersuara.

Paludan direkodkan berkata "jika anda tidak fikir sepatutnya ada kebebasan ekspresi, anda perlu tinggal di tempat lain" telah disemak oleh pengkaji sebagai sebuah mesej politik dan perkauman. Akan tetapi, mesej yang disampaikan melalui tindakan sedemikian tidak memberi sebarang kesan kecuali mencerminkan kekolotan dan kedunguan pendemonstrasi.

Institusi pengajian Islam terkemuka dunia Universiti al-Azhar, menyifatkan tindakan jenayah tersebut hanya memberi kesan buruk kepada agenda kesejahteraan sejagat dan dialog antara agama yang sekian lama dibangunkan berbanding memberi kesan kepada umat Islam. Sheikh al-Azhar Prof Dr Ahmad Tayyib berkata, umat Islam sudah sekian lama mengharungi kezaliman dan penindasan yang dilakukan musuh, sehingga mereka dapat menjangkakan bagaimana kezaliman musuh terhadap kitab Allah dan agama Islam. Menurut Prof Dr Abbas Shawman, mantan wakil Sheikh al-Azhar pula, tindakan jenayah membakar naskhah al-Quran tidak mengurangkan kemuliaannya mahupun kemuliaan umat Islam akan tetapi mengurangkan intelektual, tamadun dan peradaban pihak yang membakarnya.

Al-Quran Karim yang terbahagi kepada dua, kalam berlafaz dan kalam maknawi, dipelihara oleh Allah SWT daripada penyelewengan apatah lagi segala bentuk penghinaan. Allah SWT berfirman yang bermakdud: "Kamilah yang menurunkan peringatan (al-Qur'an) dan Kamilah yang menjaganya" (surah al-Hijr: 9) menegaskan berkenaan pemeliharaan dan pengawasan rapi al-Quran semenjak ia diturunkan kepada Rasulullah SAW hingga ke Hari Kiamat. Pemeliharaan al-Quran bukan hanya secara tulisan yang dikekalkan dalam bentuk mashaf malah dalam bentuk hafazan. Bahkan pemeliharaan dalam bentuk hafazan lebih utama kerana turut memelihara cara bacaan dan sebutan huruf al-Quran secara keseluruhannya. Oleh itu Nabi SAW mengangkat para huffaz sebagai ahli Allah dengan sabdanya: "Bagi Allah ahli-ahli-Nya dalam kalangan manusia, mereka adalah ahli al-Qur'an." (HR Ibnu Majah). Dalam sabda baginda yang lain: "Kemuliaan Allah diperolehi daripada memuliakan warga emas dan penghafaz al-Quran." (HR Abu Daud) mengisyaratkan kepada kedudukan yang tinggi bagi para huffaz, maka tidak hairan para sahabat berusaha menghafaz al-Quran walaupun setelah kewafatan Nabi SAW, termasuklah isteri-isteri baginda seperti Aisyah, Hafsah dan Ummu Salamah RA.

Umat Islam terus menerus mengekalkan kemuliaan menghafaz al-Quran. Setiap generasi di seluruh pelosok dunia pasti ada kelompok yang menghafaz al-Quran. Fakta ini memberi bukti nyata al-Quran tidak dapat dibinasakan sekalipun semua naskhahnya dibakar. Justeru, tindakan Paludan atau semisalnya hanyalah mengundang protes hebat umat Islam dan kritikan keras masyarakat dunia. Hellen Sejlert, saintis politik dan pejuang hak asasi memberitahu wartawan Anadolu, tindakan Paludan telah menyebabkan islamofobia yang turut menzahirkan anti-semitisme dan rasisme. Ia adalah mentaliti Nazisme yang mendapat kecaman agama lain dan bukan sahaja Islam. Rabai Yahudi Lody van de Kamp misalnya menyelar tindakan jenayah membakar al-Quran sebagai menyerang falsafah kepercayaan dalam kehidupan manusia. Ia bukan menyasarkan umat Islam sahaja tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai kepercayaan agama.

Pada zaman milenial ini, tindakan biadab ke atas mana-mana agama dianggap kolot dan terpisah daripada realiti. Pihak yang berbuat demikian seperti menyangkal kepesatan teknologi, kemudahan akses maklumat dan penyebarannya yang sentiasa memberi pencerahan kepada setiap pencari kebenaran. Jika pihak terbabit hanya mahu membangkitkan kemarahan umat Islam dengan menganggap umat Islam sebagai manusia gasar yang akan membalas dengan kekolotan maka usaha sedemikian pasti meleset. Umat Islam sedar jenayah membakar al-Quran merupakan sebuah lagi propaganda bagi menjauhkan mereka daripada melihat isu sebenar khasnya pergolakan dan pembantaian yang sedang berlaku di Tebing Barat, Palestin serta keengganan Ankara menerima Sweden menyertai Nato. Oleh itu banyak negara Islam mengambil pendekatan bijak dengan melancarkan pemboikotan barangan Sweden dan Denmark sebagai tanda protes terhadap jenayah yang mendapat sokongan kedua-dua negara terbabit.

Pihak yang anti-Islam sepatutnya belajar daripada sejarah bagaimana umat Islam berjaya menghadapi fitnah dan provokasi musuh yang tidak sedikit. Kuncinya terletak pada pegangan umat Islam terhadap kandungan al-Quran dan sanjungan terhadap Rasulullah SAW sebagaimana pesan baginda: "Aku tinggalkan dua perkara yang akan menyelamatkan kalian daripada kesesatan selama-lamanya: Kitab Allah (al-Qur'an) dan sunnah nabi-Nya SAW." (HR Malik). Justeru itu, survival umat Islam mustahil diganggu-gugat selagi mana mereka merealiasasikan wasiat Nabi SAW ini.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 6:00 AM