MENJAGA keharmonian dalam negara mesti dipupuk sejak kecil.
MENJAGA keharmonian dalam negara mesti dipupuk sejak kecil.
Addin

Kehidupan rakyat yang harmoni dilingkungi rahmat Tuhan pastinya menjadi dambaan kita semua. Mana tidaknya, kita sering membaca dan melihat paparan media berkenaan senario di sesetengah negara luar yang warganya tidak pernah kenal erti keamanan.

Kehidupan mereka asyik berbayangkan amukan badai perpecahan dan persengketaan yang bukan setakat meruntuhkan bangunan, tetapi lebih mengerikan ribuan nyawa menjadi mangsa keadaan. Suasana pagi sama sahaja dengan fenomena pada waktu senja. Panorama siang hari tidak sesekali mengubah pemandangan pada waktu malam. Dentuman senjata silih berganti seolah-olah menjadi melodi kehidupan. Mahukah kita melalui situasi sedemikian rupa?

Walaupun warga tanah air yang kita cintai ini pelbagai bangsa, aneka anutan agama dan berwarna-warni amalan budaya, hal sebegitu usah dijadikan tembok yang memisahkan hubungan mahabbah sesama ummah.

Sesungguhnya mahabbah adalah nikmat Allah yang tidak ternilai harga. Tanpa unsur mahabbah, tidak mustahil sebuah negara akan runtuh, memungkin pelbagai krisis akan berlaku. Kita mungkin biasa membaca dan mendengar ayat Allah pada Surah ali Imran ayat 103 yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai serta kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya."

Jika diperhatikan secara mendalam, ayat Allah itu memberikan gambaran bahawa perasaan mahabbah dan bersatu sesama ummah itu satu anugerah nikmat Allah. Ia juga sebenarnya satu arahan jelas daripada Allah supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang memungkinkan tercetus perpecahan. Insan yang faham arahan Allah itu, tentunya akan bertindak selaku 'duta Islam' yang sentiasa menggandakan usaha dalam aneka variasi kaedah demi menjayakan jalinan ukhuwah dan memunculkan senario masyarakat yang mengutamakan mahabbah.

Bergeraklah kita selaku warganegara yang cintakan keharmonian dengan berpegang kepada, 'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.' Kalimah persaudaraan yang disebut dalam ayat 103 Surah ali Imran itu sangat mendalam maknanya, malahan bagi sesetengah ulama, persaudaraan atas dasar agama lebih kuat ikatannya berbanding persaudaraan darah daging semata-mata. Persaudaraan atas dasar agama menjangkau kebangsaan dan sempadan daerah.

Menurut pandangan sebahagian pakar tafsir, ayat Allah itu merujuk kepada golongan Aus dan Khazraj yang dikatakan telah lama berperang atas alasan dan faktor kecil semata-mata. Sifat berpuak-puak dan cintakan dunia menebal dalam diri mereka sehingga disebabkan masalah keduniaan yang kecil sahaja mereka sanggup berperang.

Jika kita mengkaji sejarah zaman huru-hara masyarakat Madinah sebelum kedatangan Rasulullah SAW, sememangnya sarat dengan episod duka yang penuh isu berkonflik sesama mereka. Daripada satu generasi ke generasi seterusnya, 'darah pergaduhan' terus mengalir membasahi bumi tempat mereka huni. Lalu, masyarakat Yahudi bermaharajalela mengekspoitasi situasi itu untuk kepentingan mereka.

Kita boleh bayang betapa seksanya kehidupan masyarakat Madinah pra-Islam dahulu yang sentiasa dihimpit perang demi perang antara suku. Dicatat dalam sejarah masyarakat suku kaum Aus dan Khazraj saling berseteru serta api pergaduhan sentiasa bertiup kencang. Misalnya perang yang dikenali sebagai Perang al-Basus yang berlaku pada 494 Masihi hanya berakhir pada 534 Masihi. Ini bermakna selama 40 tahun kehidupan masyarakat di kedua-dua pihak berada dalam konflik yang mengakibatkan banyak pertumpahan darah dan kerosakan harta benda.

Seperti biasa, apabila sesebuah masyarakat mahupun negara sudah berada dalam pergaduhan dan berkonflik, pihak musuh akan mengambil peluang untuk mengeruhkan situasi demi kepentingan mereka. Demikianlah juga yang berlaku di Madinah era pra-penghijrahan Nabi SAW apabila golongan yahudi menambahkan lagi kocakan permusuhan itu.

Situasi dalam Kota Madinah kembali mencapai perdamaian dan perpaduan yang boleh dianggap 'luar biasa' tatkala Rasulullah SAW dan sahabatnya, golongan Muhajirin Makkah sampai di sana. Baginda SAW memperkenalkan kepada seluruh warga Madinah dengan agenda kehidupan bermasyarakat yang lebih harmoni.

Rasulullah berjaya menanggal tabiat jahiliah yang suka berseteru dan berkonflik kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang menyatukan hati sanubari segala suku yang ada di sekitar bumi Madinah. Rasulullah SAW membawa sinar hidup baharu kepada seluruh warga Madinah. Tentunya dalam hal ini, kita dapat menganggap mereka begitu terkesan dengan arahan Allah yang meminta mereka bersatu dalam persaudaraan yang padu.

Dalam ayat di atas, firman Allah yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (ketika jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara."

Dalam konteks negara kita Malaysia ini, seharusnya apa yang tercatat dalam lipatan sejarah bukan sekadar bahan koleksi bacaan, tetapi sewajarnya dengan perasaan penuh insaf kita jadikannya iktibar dalam membina kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang lebih padu serta kukuh.

Sesungguhnya, kepentingan agama, bangsa dan negara perlu diutamakan. Pandang jauh sebelum bertindak. Berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan bicara kata. Ini kerana masa hadapan negara yang kita cintai ini bergantung kepada tanggungjawab bersama.

Jadi, baik pemimpin mahupun rakyat bawahan, perlu melangkah seiringan tanpa ada yang terpinggir dan dipinggirkan. Pemimpin memimpin bersandarkan keadilan yang penuh saksama manakala rakyat pula menumpahkan taat setia dan bertanggungjawab. Semoga negara kita yang tercinta ini terus dilimpahi rahmat Allah dengan kurniaan panorama sosial yang harmoni. Amin, insya-Allah.

 

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 7:00 AM