GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

CINTA paling agung adalah cinta kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah SAW.

Orang beriman dan bertakwa, dalam jiwanya akan sentiasa merasai rindu dan kasih kepada Rasulullah SAW melebihi segalanya dalam hidup ini.

Mereka yang menyintai dunia termasuk ibu, bapa dan masyarakat lebih daripada Rasulnya tergolong dalam kalangan orang yang tidak sempurna imannya.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan Anas RA: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua-dua ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Sejauh manakah nilai cinta kita kepada Rasulullah SAW?

Berapa kali dalam hidup kita mengenang dan memperbaiki hubungan cinta kepada Rasulullah SAW?

Bukankah cinta kepada Baginda itu suatu yang amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT?

Baginda SAW adalah insan agung utusan Allah SWT yang menjadi perantaraan sehingga kita memiliki nikmat iman dan Islam, menjadi penyinar dan pembimbing memandu serta menjadi teladan manusia di atas muka bumi ini.

Perjuangan Baginda SAW adalah untuk memperbaiki dan menyempurnakan akhlak yang mulia dan membawa manusia kembali kepada akidah yang benar terhadap Allah SWT.

Tanpa susah payah perjuangan Baginda SAW mengajar dan mendidik kita, iman dan Islam yang ada pada diri kita tidak mungkin akan dapat dinikmati.

Allah SWT mengingatkan kepada hambanya bahawa mengikuti ajaran Rasulullah SAW adalah prasyarat mengenal Allah SWT.

Ini terbukti dalam al-Quran melalui firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu mencintai Allah, maka hendaklah kamu mengikuti aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan akan mengampunkan dosa- dosamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Rasulullah SAW juga seorang insan yang sangat sayang dan kasih kepada umatnya.

Kecintaan Baginda kepada umatnya sangat hebat jika dibandingkan dengan kita umatnya pada hari ini.

Ramai dalam kalangan umat Islam masih leka dan jahil dengan melakukan perkara dilarang Baginda.

Sikap mempertikaikan serta mempersenda Rasulullah SAW adalah bukti kejahilan yang nyata, bahkan tidak keterlaluan sikap itu sebenarnya menentang kebenaran daripada Allah SWT.

Sebagai contoh, memperlekeh sunah Nabi SAW sebagai ketinggalan zaman serta menolak hadis yang dikumpul ulama sebagai tidak benar adalah agenda bagi merendah-rendahkan kewibawaan Nabi SAW.

Sempena sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah dengan tema ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’, penulis ingin mengajak umat Islam sentiasa memperbanyakkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW.

Basahilah lidah kita untuk berselawat ke atas junjungan Nabi SAW dalam setiap kerja.

Berselawat ertinya mendoakan kesejahteraan Baginda. Amat malu kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW jika tidak rajin berselawat kerana Allah dan malaikat juga berselawat kepada Baginda.

>>Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 8:27 AM