AZLAN bersama Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan.
AZLAN bersama Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan.
Amirulhakim Ahmad Nadari

ZULHIJJAH adalah bulan yang dianugerahkan oleh Allah perayaan besar bagi umat Islam iaitu Aidiladha. Selain itu, bulan ini juga diberikan kelebihan dan kita digalakkan memperbanyak amal soleh terutama pada 10 hari pertama.

Terdapat beberapa hadis yang menyatakan tentang amalan pada 10 hari awal Zulhijah ini, antaranya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: "Tiada hari yang lebih agung dan disukai Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini, maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid kepadanya."

Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari iaitu: "Tidak ada amal soleh dilakukan lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (awal Zulhijah). Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: Tidak juga berjihad di jalan Allah, melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun."

Anjuran beramal dalam tempoh masa ini bukanlah membawa maksud tidak perlu lagi melaksanakan ibadah pada masa lain, namun tempoh ini sebagai titik permulaan proses mendidik diri dan jiwa melakukan amal soleh pada masa lain. Terdapat pelbagai amalan boleh dilaksanakan untuk mendekatkan diri dan meningkatkan takwa kepada Allah SWT pada 10 hari terawal Zulhijah ini. Antara amalan boleh dilaksanakan bagi meraih kelebihan dan keistimewaan di sisi Allah SWT adalah seperti berpuasa pada siang hari, qiamullail, perbanyakkan solat sunat, berbuat baik kepada ibu bapa, memperbanyakkan bacaan al-Quran, bertutur perkara baik, membantu orang susah dan memperbanyakkan zikir.

Perlu kita ingat juga, 10 hari terawal Zulhijah ini terdapat satu hari yang dinamakan Hari Arafah iaitu 9 Zulhijah. Pada hari ini dianjurkan melakukan puasa sunat dan anjuran ini hanya untuk umat Islam yang tidak menunaikan haji pada tahun berkenaan. Hal ini seperti amalan yang dilakukan oleh baginda SAW berdasarkan hadis yang dicatat dalam Sunan Abu Daud: "Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa 9 Zulhijah."

Selain itu, ada hadis dalam Sunan al-Tirmizi iaitu Nabi Muhammad bersabda: "Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya."

Kemuncak daripada amalan yang boleh dilakukan pada 10 hari awal Zulhijah adalah melaksanakan ibadah korban. Ibadah ini adalah satu ibadah agung menerusi peristiwa Nabi Ibrahim diperintahkan mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.

Terdapat hadis baginda SAW berkaitan dengan amalan korban ini, iaitu: "Tidak ada amalan dilakukan anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) lebih dicintai Allah selain menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya serta sesungguhnya darah itu akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihlah jiwa kamu (dengan berkorban)." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Namun begitu, terdapat juga larangan yang perlu diketahui oleh mereka yang akan melakukan ibadah korban. Larangan itu adalah jangan memotong rambut di kepala, wajah atau badan. Selain itu, jangan juga memotong kuku, sehinggalah haiwan korban itu disembelih. Larangan ini bersangkutan dengan hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dua selesai berkorban." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Menurut al-Imam asy-Syafii dan sebahagian ashabnya menyatakan bahawa larangan dalam hadis ini terhadap perbuatan itu adalah makruh tanzih dan bukanlah haram hukumnya. Oleh itu dapatlah difahami bahawa sunat bagi yang berkorban tidak memotong rambut dan kuku.

Kesimpulannya, 10 hari terawal Zulhijah adalah hari yang mempunyai keistimewaan dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Justeru itu, kita sebagai umat Islam sewajarnya tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan meningkatkan amal soleh pada waktu ini dan meninggalkan perkara yang dilarang agar memperoleh keberkatan serta rahmat daripada Allah.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 5:59 AM