JUMAAT hari dikumpulkan seluruh umat Islam di masjid bagi tujuan mendengar khutbah yang berisi nasihat dan wasiat Rasulullah.
JUMAAT hari dikumpulkan seluruh umat Islam di masjid bagi tujuan mendengar khutbah yang berisi nasihat dan wasiat Rasulullah.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Jumaat adalah hari yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Ini kerana terdapat pada hari itu keutamaan dan banyak fadilat perlu dihayati serta diamalkan umat Islam yang menjunjung tinggi al-Quran dan sunah. Ini kerana jelas hari itu mempunyai kelebihan yang tertentu berbanding hari lain. Keutamaan Jumaat disebabkan hari tersebut adalah penghulu segala hari. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia daripada Aidilfitri dan Aidiladha. Pada Jumaat terdapat lima peristiwa iaitu diciptakan Nabi Adam AS dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Nabi Adam AS dimatikan, pada hari Jumaat juga terdapat waktu yang jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram dan pada hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat." (Hadis Riwayat Ahmad) Selain itu, Abu Hurairah RA juga meriwayatkan hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya (hari cerah) adalah Jumaat, (kerana) pada hari ini Nabi Adam AS diciptakan, hari ini pula Nabi Adam AS dimasukkan ke dalam syurga dan dikeluarkan daripadanya". (Hadis Riwayat Muslim)

Kelebihan Jumaat juga berkaitan dengan penghapus dosa sehingga Jumaat seterusnya sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud Nabi SAW bersabda: "Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya adalah kafarah (penghapus dosa) di antara kedua-duanya selagi tidak melakukan dosa besar." (Hadis Riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadis itu boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar, akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya. Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan. Begitu luas dan besar rahmat Allah SWT buat hamba-Nya yang benar-benar mahu mengambil kelebihan berkenaan.

Jumaat hari dikumpulkan seluruh umat Islam di masjid bagi tujuan mendengar khutbah yang berisi nasihat, wasiat untuk bertakwa dan pelbagai doa yang ma'thur daripada Nabi Muhammad SAW di dalam teks khutbah. Usai mendengar khutbah Jumaat seluruh umat Islam akan bangkit mendirikan solat Jumaat. Hal ini ditegaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada Jumaat, bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Surah al-Jumaah, ayat 9)

Meninggalkan jual beli bagi menghadirkan diri ke masjid sebagai bukti menzahirkan hakikat iman yang sebenar.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Pada hari itu terdapat suatu masa apabila seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan, Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Jumaat adalah hari yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu ketika imam duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat Jumaat dan pada akhir waktu Asar. Ibnu Qayyim al-Jauzi mengatakan bahawa dalam banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan melalui banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar dan ini adalah pendapat yang terkuat daripada dua pendapat tadi.

Justeru, umat Islam dianjurkan mengambil peluang dan masa terbaik untuk memohon kepada Allah SWT supaya dianugerahkan segala kebaikan di dunia dan di akhirat.

Selain itu, setiap langkah demi langkah untuk hadir ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat diberikan pahala besar. Ini bersesuaian dengan hadis daripada Aus bin Aus RA beliau berkata, "Bahawa Rasulullah SAW bersabda: 'Sesiapa yang mandi pada Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang diayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, itu adalah hal yang mudah bagi Allah." (Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan)

Kelebihan Jumaat juga dikaitkan dengan khusnul khatimah (kematian yang baik) sesuai dengan hadis daripada Ibnu Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap Muslim yang mati pada siang Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya daripada fitnah kubur." (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Terdapat banyak lagi dalil yang menjelaskan tentang keberkatan Jumaat yang disediakan Allah SWT buat umat Nabi Muhammad SAW. Kelebihan ini sewajarnya meningkatkan semangat dan amal ketakwaan umat Islam bagi mendepani tantangan yang kian mencabar pada marcapada yang menghakis nilai dan adab manusia. Jadikan Jumaat pencetus ke arah usaha meningkatkan ketakwaan dan mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama Islam melalui prakarsa yang digariskan oleh agama. Semoga Jumaat sentiasa menjadi peluang cerah buat umat Islam menambahkan ilmu dan meningkatkan ketakwaan pada hari berkenaan.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 7:00 AM