MASJID meriah dengan  jemaah menunaikan solat Tarawih. FOTO BERNAMA
MASJID meriah dengan jemaah menunaikan solat Tarawih. FOTO BERNAMA
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Menjadi matlamat setiap Muslim untuk mendapat rahmat Allah SWT. Berada dalam Ramadan yang mulia ini adalah masa terbaik untuk menagih sebanyaknya rahmat Allah. Apatah lagi, rahmat Allah meliputi semua perkara. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu." (Surah al-A'raf, ayat 156)

Tempoh kehidupan di dunia, semua makhluk khususnya manusia mendapat rahmat Allah. Sama ada yang beriman atau tidak. Namun, di akhirat hanya Mukmin yang layak mendapat rahmat daripada-Nya. Malah, orang yang tidak beriman akan mendapat azab Allah di akhirat kelak. Itulah antara bukti sifat adil Allah kepada setiap makhluk-Nya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah menjadikan rahmat seratus bahagian. Dia menyimpan 99 bahagian dan menurunkan satu bahagian ke dunia. Di antara bahagian itu adalah sifat saling mengasihi antara makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat tapak kakinya daripada anaknya takut-takut akan terpijak anaknya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini membuktikan betapa luas dan banyaknya rahmat Allah kepada makhluk. Yang penting mentaati segala perintah Allah dan Rasul-Nya sebagai prasyarat mendapat rahmat-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat." (Surah Ali-Imran, ayat 132)

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan Kami lipatgandakan jumlah mereka, sebagai rahmat daripada Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang berfikiran sihat (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa kemalangan)." (Surah al-Sad, ayat 43)

Kita dilarang berputus asa dengan rahmat Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi, apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa." (Surah al-Rum, ayat 36)

Lebih dua tahun kita menghadapi pandemik Covid-19. Seluruh dunia dikejutkan dengan arahan untuk tidak menunaikan solat di masjid dan surau. Masjid diarahkan tutup, sedangkan masjid adalah antara syiar terpenting dalam Islam. Masjid juga lambang perpaduan umat dengan sama-sama mendirikan solat secara berjemaah dan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Sekarang tiba masanya bagi umat Islam kembali ke masjid. Pembukaan semula masjid tanpa had kapasiti, tiada penjarakan dan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang asas seperti memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri. Kelonggaran ini pula tiba pada Ramadan. Umat Islam menyambut baik keputusan ini. Masjid meriah dengan jemaah menunaikan solat Tarawih.

Namun, apa yang agak dikesali ialah sikap segelintir jemaah yang seolah-olah tidak menyedari atau meremehkan perkara berkaitan saf di dalam solat berjemaah. Ada sebahagian tidak memenuhkan saf di depan. Di samping ramai yang masih takut merapatkan saf (walaupun hanya merapatkan sejadah). Walaupun sebenarnya kita dituntut merapatkan saf, bukan hanya sekadar merapatkan sejadah. Antara sunah dalam solat berjemaah ialah melurus dan merapatkan saf. Perkara ini disebutkan dalam istilah ilzaq.

Ilzaq dari sudut bahasa memberi maksud menempel atau mencantumkan. Manakala, dari sudut istilah ilzaq di dalam solat memberi maksud menempelkan atau merapatkan sehingga bersentuhan bahu bertemu bahu, lutut bertemu lutut, kaki bertemu kaki sehingga tidak ada ruang kosong dalam saf yang didirikan.

Rasulullah berpesan tentang ilzaq: "Rasulullah menghadap kepada manusia, lalu berkata, "Dirikanlah saf (tiga kali). Demi Allah, dirikanlah saf atau Allah akan membuat perselisihan di antara hati kalian". Lalu An-Nu'man bin Basyir berkata: "Saya melihat seorang lelaki menempelkan kakinya dengan kaki orang di sebelahnya, lutut dengan lutut dan bahu dengan bahu." (Riwayat Abu Daud)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan: "Yang dikehendaki (hadis itu) adalah penegasan dalam meluruskan saf dan menutup ruang kosong dan telah dinukilkan daripada al-amru (perintah) berkenaan menutup ruang kosong di dalam saf dan galakan kepadanya, banyak hadis yang telah terkumpul, antaranya hadis Ibnu Umar bahawa Rasulullah berkata: "Dirikanlah saf dan selaraskanlah di antara bahu-bahu kamu dan jangan membiarkan ruang-ruang kosong saf terdedah kepada syaitan dan barang siapa menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan rahmat-Nya dan barang siapa yang memotong saf maka ia terputus daripada rahmat Allah." (Rujuk kitab Fathul Bari, (Jilid 2, halaman 211)

Perkara di atas menunjukkan pentingnya melurus dan merapatkan saf dalam solat berjemaah. Sehinggakan ulama membentangkan berbagai-bagai pandangan mengenai perkara ini. Apatah lagi ia berkaitan dengan rahmat Allah dan kesempurnaan solat berjemaah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Luruskan saf-saf kalian kerana meluruskan saf termasuk dalam sebahagian menegakkan solat (berjemaah)." (Riwayat Bukhari)

Perhatian besar Rasulullah terhadap perkara ini mestilah dipandang serius oleh umat Islam. Sunah ini mesti dikembalikan setelah sekian lama kita tidak berpeluang solat berjemaah berskala besar di masjid. Setelah kembali mengimarahkan masjid khasnya pada bulan Ramadan ini, sunah ini mesti dimartabatkan sebaiknya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah untuk syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, Allah akan menyambung (urusan) nya. Barangsiapa memutuskan saf, nescaya Allah memutus (urusan) nya." (Riwayat Abu Daud)

Kita tidak mahu pengabaian terhadap sunah penting ini akan mengakibatkan terputusnya rahmat Allah. Janganlah juga kealpaan kita dalam memartabatkan sunah ini menyebabkan turunnya kemurkaan Allah. Sesungguhnya Ramadan bulan keampunan dan rahmat Allah. Gunakanlah kesempatan ini untuk menagih rahmat-Nya yang luas.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 7:00 AM